Bagaimana PAS berjuang (2)

NASRUDIN HASSAN | .

PAS adalah Gerakan Islam

10. PAS tentu sahaja berbeza dengan parti-parti politik yang lain. Justeru PAS adalah sebuah badan, jamaah atau gerakan yang ditubuhkan untuk melestarikan perjuangan Islam di bumi bertuah ini.

11. Para alim ulamak PAS terdahulu lantas berijtihad dengan mengambil pendekatan atau langkah berjuang secara aman dan damai. Iaitu Muwaajahah Silmiyah (berdepan dengan pihak lawan secara aman), bukan secara perang, revolusi atau subversif.

12. Bermula dari situ, PAS akhirnya didaftarkan sebagai sebuah parti politik bagi membolehkan ia berjuang jauh ke hadapan mengambil lunas demokrasi lalu menyertai pilihan raya untuk bersaing secara aman dan sihat ke arah mendapatkan kuasa dan mandat rakyat.

Tarbiyah, Dakwah dan Siasah

13. Memahami asal usul PAS, jelas kepada kita bahawa PAS tidak terhenti orientasinya sebagai sebuah parti politik semata-mata sebagaimana parti politik yang lain. Sebaliknya PAS melunaskan kesyumulan perjuangan Islam secara seimbang dan sepadu dengan 3 aplikasi yang telah menjadi identiti PAS.

14. Anggota PAS samada pemimpin mahupun ahli biasa bertanggungjawab menggerakkan wadah perjuangan Islam ini menerusi 3 aplikasi tersebut secara seimbang dan sepadu melalui potfolio yang telah ditetapkan dalam organisasi PAS. Dasar, matlamat, objektif, halatuju dan aktiviti PAS diterjemahkan secara bijak dengan 3 aplikasi perjuangannya :

Aplikasi 1: Tarbiyah

15. Intima' atau penyertaan ahli PAS akan diisi dengan pentarbiyahan berasaskan silibus yang telah ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat. Tarbiyah secara langsung direalisasikan melalui aktiviti seperti usrah, tamrin, liqa' fikri, mukhayyam, kuliah, ceramah, ziarah dan taklimat khas.

16. Tarbiyah PAS juga boleh dikecapi secara tidak langsung melalui ujian atau tribulasi yang dihadapkan kepada PAS tanpa henti di sepanjang tempoh perjuangannya. Bunuh, buang daerah, penjara, jauh perjalanan dan cabaran getir semasa berjuang menjadi 5 sunnah atau tabiat perjuangan yang terpaksa didepani dengan tabah dan sabar oleh semua anggota PAS.

17. Lima Tabiat Perjuangan ialah:

Penjara
Bunuh
Buang daerah
Jauh perjalanan
Cabaran yang sukar

18. Tabiat atau sunnah perjuangan yang lima ini telah ditatah oleh Allah swt di dalam wahyunya. Tiga daripadanya (penjara, bunuh dan buang daerah) termaktub di dalam firman Allah swt:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir merancang untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah swt sebaik-baik perancang.

19. Sementara dua daripada tabiat perjuangan tersebut (jauh dan sukar) terdapat di dalam firman Allah swt:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ

Jika perjuangan ini suatu destinasi yang dekat dan satu perjalanan yang hampir, nescaya mereka akan mengikutmu (wahai Muhammad SAW) tetapi ianya jauh dan terlalu sukar dirasakan oleh mereka. (Surah At Taubah: 42)

bersambung...

Share on Myspace