PAS terajui budaya politik matang dan sejahtera (7)

NASRUDIN HASSAN | .

9 Kriteria Politik Matang dan Sejahtera

KRITERIA KELIMA: Pertentangan Dasar bukan Pertentangan Fizikal

60. Perjuangan Islam tidak memusuhi sosok tubuh dan rupa wajah. Malah nama dan latar belakang kaum, bangsa dan bahasa bukan persoalan. Itu adalah ciptaan dan anugerah Allah swt yang tiada siapa berhak mempertikaikannya.

61. Islam datang bukan merubah nama, rupa wajah, kaum, bangsa dan bahasa, tetapi sebaliknya Islam membetulkan kefahaman, meluruskan pemikiran dan memurnikan pegangan hidup agar menepati apa yang dikehendaki oleh Allah swt sebagai Tuhan yang Maha Mencipta.

62. Berdiri atas manhaj inilah Islam membimbing dan mendidik manusia biarpun sehodoh mana wajahnya kerana Allah swt tidak memandang rupa wajah, biarpun sejahat mana perilakunya kerana pintu taubat Allah swt terbuka luas buat hambaNya. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah untuk menyelamatkan manusia dari api neraka Allah swt bukan meninggalkan mereka terkapai-kapai di tepi jurang neraka jahannam.

Islam Bukan Pendendam

63. Justeru itu:

a) Allah swt menghantar Nabi Allah Musa Alaihissalam menemui Firaun Alaihi Laknatullah yang zalim dan kejam  untuk mengajak Firaun beriman kepada Allah swt menggunakan kalimah yang lunak sedang Allah Maha Mengetahui bahawa Firaun akan kekal kufur sehingga matinya.

b) Nabi kita Muhammad saw mendoakan agar Islam diperkuatkan oleh salah seorang dari dua Umar sedang kedua-dua Umar pada waktu itu tegar memusuhi Islam. Sehingga akhirnya Allah swt memilih Umar Ibnu al Khattab untuk memperkuatkan Islam sementara Umar ibnu al Hisyam (Abu Jahal) kekal kufur.

c) Hari pembukaan Kota Makkah, Nabi saw membebaskan musyrikin Makkah dari sebarang hukuman balas atau dendam kesumat. Malah dengan penuh kasih sayang Nabi saw berkata: Siapa yang berada di dalam rumahnya maka dia selamat, siapa yang masuk rumah Abu Sufian maka dia selamat dan siapa yang masuk Masjidil Haram maka dia selamat.

64. Kita sebagai pejuang Islam sewajarnya menghayati manhaj ini agar perjuangan kita tidak dipengaruhi dendam dan kebencian sehingga kita menjauhkan diri daripada madu'u (sasaran dakwah). Sebaliknya berusaha mendekati semua orang bagi memasarkan Islam yang kita perjuangkan ini.

65. Lihat bagaimana pendekatan para sahabat Rhm. Saat mereka lemah dan ditindas, mereka berhijrah menemui An Najaasyi raja yang menganut agama Nasara. Walaupun asal mereka ingin mendapatkan perlindungan di bawah pemerintahan An Najaasyi, tetapi akhirnya prinsip para sahabat Rhm yang dipimpin oleh Jaafar bin Abi Talib pada waktu itu membuatkan An Najaasyi akhirnya menerima kebenaran Islam.

66. Sejarah juga menarik untuk dikaji bagaimana Islam dengan pendekatan para alim ulamaknya berjaya menunduk dan mengislamkan bangsa yang menjajah mereka dengan kejam.

a) Siapa tidak tahu dengan Dinasti Hulagu Khan yang menghancurkan pusat peradaban Islam Baghdad pada tahun 1258 malah tentera Monggol yang dipimpinnya membunuh dan merogol penduduk Kota Baghdad dengan begitu sadis. Namun ringkasnya, bangsa Monggol yang ganas dan kejam itu kemudiannya menerima Islam agama yang mereka jajah dan menjadi pejuang Islam yang handal dalam sejarah moden.

b) Kisah perang salib yang memaparkan bagaimana tingginya akhlak Sultan Salahudin Al Ayyubi yang menghantar tabib merawat Richard The Lionheart yang cedera parah (setengah kisah meriwayat bahawa Salahudin sendiri menyamar sebagai tabib), akhir menyaksikan Richard The Lionheart terpaksa patah balik ke England seraya berkata "hari ini kita tewas bukanlah kerana kekuatan jumlah ummat Islam tetapi kerana kekuatan akhlak Salahudin Al Ayubi".

Serangan Pemikiran dan Peradaban

67. Masa dan tempat kita berjuang hari ini, tidak lagi menggunakan senjata. Bukan sahaja alim ulamak kita berijtihad untuk memperjuangkan Islam ini secara Muwaajahah Silmiyah (mendepani lawan secara aman) bahkan sememangnya musuh Islam tidak menggunakan senjata untuk menghadapi kita. Sebaliknya mereka menyerang Islam melalui pemikiran, kebudayaan, sosial dan peradaban.

68. Menghadapi serangan pemikiran ini, kita tidak perlu menghunus pedang atau menghalakan senjata api ke dada musuh, sebaliknya kita mesti menguasai hujjah dan memiliki keupayaan budi bahasa yang tinggi untuk memenangi hati mereka melalui prinsip dan akhlak Islam yang jitu agar mereka menyokong dan mengundi perjuangan Islam di bumi Malaysia ini.

Politik Dakwah

69. Politik dakwah menjadi salah satu sarana utama dalam mendepani serangan pemikiran. Malah selain dari keutuhan ilmu, kebijaksanaan tindakan dan penguasaan psikologi sangat penting dalam perjuangan Islam di era ini. Ia bukan lagi soal pertentangan fizikal tetapi dasar dan pegangan hidup yang mesti diperbetulkan. Merealisasikan pendekatan ini, kita mesti mendekati semua orang (dengan cara yang tidak bertentangan dengan syarak) bukan menjauhkan diri dan membina benteng antara kita dengan mereka.

70. Bagaimana kita boleh menjauhkan diri dari mereka? Sedang yang rosak fikiran itu mungkin ahli keluarga kita, jiran tetangga kita, ahli qaryah kita dan juga pemimpin negara kita. Tugas kita sekarang ialah selamatkan mereka dari api neraka Allah swt. Dekati mereka dan sampaikan Islam yang benar kepada mereka. Bimbing dan didik mereka dengan Islam yang benar selama mereka tidak memerangi kita dengan kekerasan dan persenjataan. (bersambung)

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 25/3/2016

Share on Myspace