Bagaimana PAS berjuang (3)

NASRUDIN HASSAN | .

Aplikasi 2: Dakwah

20. Sebagai sebuah gerakan Islam, dakwah menjadi prioriti kepada PAS. Memahamkan rakyat mengenai Islam dan memposisikan Islam pada tempat yang selayaknya adalah urusan PAS yang utama.

21. Mementaskan dakwah di arena politik bukan suatu yang mudah namun ia adalah satu kewajipan dan perjuangan yang mesti direalisasikan dengan penuh hikmah, tegas dan tabah mendepani cabaran semasa.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat (pengajaran) yang baik, dan berbahaslah dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah (petunjuk). (Surah An Nahl: 125)

22. Justeru itu, PAS tidak memisahkan orientasi politiknya daripada kerja-kerja dakwah. Malah dakwah adalah sarana dan mekanisme utama PAS dalam menggerakkan agenda penyelesaian dan perubahan yang total menepati perintah Allah swt dan RasulNya saw.

23. Prinsip dakwah adalah menggamit madu'u (sasaran dakwah) dan bimbing mereka ke jalan yang benar agar selamat dari murka Allah swt. Ia mengatasi sempadan warna kulit, bahasa lidah dan fahaman politik. Realiti ini membuatkan cabaran senantiasa sukar dan realiti senantiasa rumit buat PAS.

24. Sebagaimana dakwah kepada non muslim untuk memahamkan mereka mengenai Islam yang sebenar adalah suatu yang sukar justeru ia di luar sempadan muslim, maka begitulah dakwah rentas sempadan parti politik bagi memahamkan mereka bagaimana Islam mengemukakan solution yang betul dalam pergolakan politik tanah air, adalah sukar dan penuh cabaran.

25. Inilah perjuangan. Malah perlembagaan PAS turut menggariskan tugasan murni ini sebagai usaha yang mesti dilakukan oleh PAS. (Fasal ke 6 Perlembagaan PAS)

26. PAS mesti menemui semua orang dan berusaha menyampaikan risalah perjuangannya kepada seberapa ramai manusia yang boleh dan seberapa banyak ruang yang mampu dengan pelbagai variasi penampilan dan kaedah pendekatan.

27. Bersikap matang, berjiwa besar dan berlapang dada antara spirit yang mesti dimiliki oleh seluruh kepimpinan dan ahli PAS bagi menjayakan aplikasi dakwah di pentas politik yang mempunyai 1001 sudut ancaman dari musuh politiknya.

(bersambung)

Share on Myspace