Praktis pentadbiran patuh syariat

NASRUDIN HASSAN | .

Salah laku penjawat awam memerlukan kerajaan mempraktiskan amalan pentadbiran patuh syariah

1. Isu salah laku dalam kalangan penjawat awam dilihat masih tidak berpenghujung. Terbaru adalah kes tuntutan palsu yang melibatkan nilai mencecah RM4.9 juta.

2. Jika ditelitistatistik yang dikeluarkan oleh SPRM, sehingga Februari tahun ini sahaja, 173 kes tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu, 57 peratus iaitu 98 kes melibatkan penjawat awam. Malah, sepanjang tahun 2015 sahaja, 398 kes tangkapan telah dilakukan melibatkan penjawat awam daripada 841 jumlah keseluruhan kes.

3. PAS menggesa agar kerajaan termasuk agensi-agensi yang terlibat supaya meneliti aspek pencegahan dan hukuman terhadap salah laku dan jenayah rasuah yang seperti tidak dapat dibendung terutamanya melibatkan pemimpin negara dan penjawat awam.

4. Tambahan lagi, PAS juga mencadangkan agar kerajaan dan agensi-agensi yang terbabit meneliti semula serta memperkemaskan Pelan Pengurusan Risiko (PPR) dan Unit Integriti yang ditubuhkan dalam setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menangani salah laku. Ini kerana kedua-dua langkah strategik tersebut seharusnya memadai untuk mengurangkan risiko terhadap salah laku terutamanya dikalangan penjawat awam. Namun, jika dilihat kepada data kes, ia seolah-olah tidak memberikan impak yang diharapkan.

5. Ketiadaan suatu peraturan dan tindakan yang lebih tegas juga telah menyebabkan kes-kes salah laku tidak dapat dibanteras dengan baik. Maka, seharusnya penggubalan undang-undang berkaitan dengannya diambil perhatian secara serius oleh pihak berwajib bagi memastikan Malaysia menuju kepada sebuah negara yang berintegriti.

6. Suatu yang jauh lebih penting daripada itu ialah kerajaan mesti menunjukkan contoh pemerintahan dan pentadbiran yang baik serta patuh syariah sepenuhnya agar menjadi panduan  dan contoh yang baik pula kepada semua penjawat awam dengan mempraktiskan kepimpinan melalui tauladan.

7. Kepatuhan kepada syariat dengan memulakan pendidikan amalan pentadbiran patuh syariat adalah langkah yang mesti terlebih dahulu diambil oleh kerajaan di samping mewujudkan satu undang-undang yang berkesan. - HARAKAHDAILY 19/4/2016

Share on Myspace