Bagaimana PAS berjuang (akhir)

NASRUDIN HASSAN | .



Aplikasi 3: Siasah

28. Politik atau siasah adalah sebahagian dari Islam sementara Islam adalah dasar perjuangan PAS. Justeru itu PAS mengambil pendekatan untuk menyertai pilihan raya bagi memanfaatkan ruang demokrasi yang ada bagi membolehkan Islam dapat didaulatkan di bumi bertuah ini.

29. Namun tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sistem demokrasi dan pilihan raya yang berlangsung di Malaysia ini juga bukanlah diamalkan secara patuh syariat 100 peratus. Walaupun begitu, ini satu-satunya ruang untuk perolehan kuasa politik secara aman.

30. Melalui ijtihad politik para alim ulamak terdahulu, untuk memimpin kebangkitan dan gerakan perubahan rakyat secara "muwajahah silmiyah" iaitu berdepan secara aman, maka PAS mengambil keputusan menyertai pilihan raya untuk manafaatkan ruang yang masih ada guna mengembangkan risalah perjuangan Islam.

31. Tanggungjawab PAS sangat mencabar. Bukan sahaja untuk memenangkan perjuangan Islam tetapi terpaksa jua mengislahkan sistem politik negara agar bebas dari politik kotor dan jahiliyah.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera

32. Bertolak dari noktah ini, PAS membudayakan seni politik matang dan sejahtera ke arah membina mindset baru di pentas politik Malaysia. Satu budaya politik yang bersendikan syariat dan akhlak Islami. Sekaligus memulihkan iklim politik tanahair dari jerebu politik wang, politik fitnah, politik emosi, politik dendam, politik maki hamun, politik benci, politik perkauman, politik kesat dan kasar kepada mengamalkan politik kasih sayang, politik fakta, politik realiti, politik bistari, politik harmoni, politik taqwa, politik akhlak, politik dakwah, politik kebenaran, politik matang dan sejahtera.

33. Cabaran ini tidak mudah untuk direntas oleh PAS. Selain daripada masyarakat awam dan pihak lawan politik, PAS juga mesti berdepan dengan usaha mematangkan ahli dan penyokong sendiri agar menghayati malah mempraktiskan budaya politik matang dan sejahtera bersendikan syariat dan akhlak Islami ini.

34. Matlamat jangka panjang perjuangan PAS (ghayah) ialah menggapai Mardhatillah "keredhaan Allah" swt. Ertinya politik PAS mestilah menjurus kepada redha Allah swt. Kita tidak mahu sekali-kali terjebak dalam politik mungkar yang memulangkan kemurkaan Allah swt kepada kita. Lantaran itu kita wajib menjauhkan diri dari politik maki hamun, fitnah dan sebagainya kerana ia adalah mungkar.

Menuju Kemenangan di Akhiratjaya

35. Berdiri diatas tunjang ini juga, politik PAS ditegakkan atas prinsip Islam yang kukuh. Kita sekali-kali tidak akan meninggalkan Islam semata-mata mencongak kemenangan sementara di dunia. Maksudnya PAS tidak hanya memburu kemenangan di Putrajaya teta pi juga PAS mahu menang di Akhiratjaya.

36. Matlamat jangka pendek perjuangan PAS (hadaf) ialah memenangi setiap pilihan raya yang disertai agar dapat membentuk kerajaan ataupun paling tidak, PAS boleh membawa suara Islam ke Dewan Rakyat, Dewan Negeri juga Dewan Negara.

Tahaaluf, Taawun dan Tafahum Siasi

37. PAS juga mempunyai dasar tersendiri mengenai hubungan dengan pihak non muslim dan juga pergerakkan atau pertubuhan yang tidak berteraskan Islam.

38. Tahaaluf Siasi (kerjasama politik yang diikat dengan terma syarat dan janji sepakat yang tertentu), Taawun Siasi (kerjasama politik berasaskan kesepakatan tertentu dalam hala tuju yang sama) atau Tafahum Siasi (persefahaman politik yang dijalin secara mesra saingan tanpa sebarang terma syarat) antara ijtihad politik PAS yang boleh diaplikasi mengikut kesesuaian semasa.

Hubungan NGO, Tokoh dan Blok Ketiga

39. Penglibatan PAS di pentas politik tidak menjarakkan PAS daripada enggagement dengan pelbagai pihak. Tidak sahaja parti-parti politik, PAS juga mengambil sikap mesra NGO dan tokoh-tokoh seperti ahli akademik, pejuang bahasa, aktivis sosial dan lainnya.

40. Pendekatan terbaru PAS dalam mengemudi politik tanah air ialah membentuk Blok Ketiga dan ianya menjadikan lanskap politik Malaysia kian menarik setelah meletakkan rakyat lebih selesa untuk memilih. Mereka tidak lagi terhad untuk memilih salah satu antara dua. Bahkan PAS kini menjadi bahan perhatian yang "terlajak laris" untuk diperkata dan diberi perhatian oleh semua pihak kawan dan lawan. Situasi ini meletakkan PAS lebih strategik dalam menentu iklim politik negara selepas hujan politik yang lebat kembali reda. - HARAKAHDAILY 26/4/2016

Share on Myspace