Fiqh keluarga haraki (8)

NASRUDIN HASSAN | .

Keizinan Suami

61. Bagi mujahidah (pejuang wanita) pula terdapat feqh perjuangan tersendiri yang mesti dipatuhi. Antaranya, seorang isteri sebelum siap turun ke medan juang sedang ia terpaksa keluar dari rumahnya, maka pada asasnya terlebih dahulu ia perlu mendapatkan izin dari suaminya. (kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak  dimana tenaga muslimah sangat diperlukan pada waktu itu untuk kesinambungan perjuangan Islam atau suasana yang kritikal dan huru hara seperti negara sedang diserang oleh musuh).

62. Selayaknya pula, encik suami mengizinkan isterinya melibatkan diri dengan perjuangan Islam dan aktiviti amal Islami justeru telah dipertegaskan berulangkali bahawa perjuangan adalah satu kewajipan yang mesti ditunai oleh semua.

Sabda Nabi SAW:

إذَا اسْتَأْذَنَكُم نِسَاؤُكُمْ بِاللّيْلِ إلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوْا لَهُنَّ

Apabila isteri kamu meminta izin kepada kamu pada malam hari untuk pergi ke masjid, maka izinkanlah mereka. (Riwayat Imam Bukhari)

Al Hafiz Ibnu Hajar Rhm telah naqal ucapan Imam An Nawawi Rhm: "dari hadis ini, diambil dalil bahawa isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suami, kerana perintah untuk memberi izin tersebut ditujukan kepada para suami. (Rujuk Fathul Bari - 3/266)

63.  Inilah asas kenapa kita menegaskan bahawa pembentukan rumahtangga haraki mementingkan pasangan yang saling memahami dan memiliki fikrah Islam yang syumul. Ianya adalah supaya kerja Amal Islami ini tidak tergendala.

Mahram sebagai Pengiring

64. Seorang muslimah pasti mengetahui betapa tingginya nilai maruah dan kehormatan mereka sebagai seorang pejuang. Tidak mungkin Islam membiarkan para mujahidahnya turun ke medan  yang ganas dan berisiko tinggi tanpa memelihara maruah dan kemuliaan dirinya. Islam mensyariatkan mahram bagi menemani dan mengiringi mujahidah beraksi.

65. Sejurus mendapat izin dari encik suami yang memahami betapa perjuangan ini memerlukan penyertaan dan pengorbanan isterinya, maka mujahidah ini mesti merancang siapakah mahram yang perlu dibawa untuk mengiringinya ke medan. Terlebih afdhal ia diiringi oleh encik suami, namun jika encik suami berhalangan, maka penyertaan mahram yang lain diperlukan.

قال ابن عباس رضي الله عنهما : سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يخطب يقول : لا يَخْلُونَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلاَّ وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ ، ولا تُسَافِر ُالْمَرْأَةُ إلاَّ مَعَ ذِيْ مَحْرَمٍ . فقام رجلٌ فقال : يا رسولَ اللهِ إنَّ امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّة ، وأنِّي اكْتُتِبْتُ في غَزْوَةِ كذا وكذا . قال : اِنْطَلِقْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِك َ. رواه البخاري ومسلم واللفظ له .

_Telah berkata ibnu Abbas Rhma, aku telah mendengar Rasulullah saw berkhutbah : Janganlah berdua-duaan lelaki dan perempuan kecuali bersamanya mahram, jangan bermusafir seorang wanita kecuali ditemani mahramnya. Lalu bangun seorang lelaki lantas bertanya : Ya Rasulullah saw : sesungguhnya isteriku telah keluar untuk mengerjakan ibadah haji sedang aku telah disenaraikan di medan perang begitu dan begini. Rasulullah saw bersabda: berangkatlah kamu dan tunaikan ibadah haji bersama isterimu. (Riwayat: Muttafaqun Alaihi)

66. Andai tiada mahram dari kalangan lelaki, maka sekurang-kurangnya 2 orang muslimah diperlukan bagi menggantikan tempat mahram lelaki. Bagi muslimah yang terlibat aktif dengan gerakan Islam, tidak selayaknya menganggap ini sebagai kesukaran. Sebagaimana kita boleh mengatur jentera muslimah turun ke berdakwah dan menjalankan gerakkerja amal jamaei, kenapa sukar bagi mujahidah mencari team atau pasukan yang sedia membantunya turun ke medan.

67. Amal Nisa' , Skuad Khas Muslimah atau Briged Amal Muslimah atau apa jua nama boleh dibentuk dalam sayap perjuangan muslimah bagi mengatasi masalah mahram kepada pejuang-pejuang muslimah yang turun ke medan.

68. Sangat tidak manis, malah terdedah kepada fitnah dan bahaya yang tidak dijangka bagi muslimah yang ke hulu dan ke hilir berjuang berseorangan tanpa mahram menempuh perjalanan yang jauh dan kadangkala terpaksa meredah gelap malam. Tambahan mutaakhir ini, situasi negara kita sangat terdedah kepada jenayah dan mungkar. Perjalanannya bukan sahaja tidak selamat, bahkan dalam situasi begini, ianya tidak direstui syariat.

69. Berbeza situasi yang hanya melibatkan perjalanan yang dekat, pula diyakini selamat seperti menghadiri markaz dalam kampung yang jaraknya hanya berselang 4 atau 5 buah rumah, maka tidaklah syariat Islam mengetatkan hukum mahram ke atas mujahidah yang mahu menjalankan tanggungjawab perjuangannya.

70. Namun, izin suami tetap diperlukan kerana bimbang ketika itu, isteri diperlukan oleh suami sementelah suami baru pulang dari musafir yang jauh. Usahkan keluar dari rumah, berpuasa sahaja perlu mendapatkan izin dari suaminya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : لا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلا بِإِذْنِهِ

Dari Abi Hurairah Rha dari Nabi SAW telah bersabda: Tidak halal bagi wanita berpuasa (puasa sunat) sedang suami ada bersamanya melainkan dengan izin suami. (Riwayat: Bukhari dan Muslim)

(bersambung)

Share on Myspace