Fiqh keluarga haraki (9)

NASRUDIN HASSAN | .

Keluarga haraki asas kekuatan Gerakan Islam

71. Kekuatan sebuah gerakan Islam banyak bergantung kepada kualiti anggotanya. Samada pemimpin atau ahli biasa, mereka adalah anggota yang bertanggungjawab untuk memastikan gerakan Islam ini mempunyai energy yang tinggi mendepani ganasnya cabaran yang dihadapkan oleh musuh Islam dan bonekanya.

72. Anggota gerakan Islam juga bertanggungjawab penuh bagi mengukuhkan benteng dalamannya dari pelbagai rupa virus yang boleh melumpuhkan organ dalaman perjuangan ini. Selain daripada aneka aktiviti dalaman gerakan Islam untuk mentarbiyah dan membentuk anggotanya, keluarga haraki bagaikan kilang yang melahirkan tunas-tunas baru perjuangan. Berfungsi sebagai mata rantai perjuangan dan meneruskan kesinambungannya

Pembentukan & pentarbiyahan awal

73. Rumahtangga Haraki sangat berbeza patternnya dengan rumahtangga biasa. Lagi bertambah jauh dengan rumahtangga yang huru hara dan tunggang terbalik atau kacau bilau dengan pertelagahan, curiga mencurigai antara satu sama lain, pukul sana, maki sini, menjerit jerit saban ketika dan sebagainya.

74. Rumahtangga haraki adalah sebuah rumah bertanggakan perjuangan Islam. Orientasinya adalah perjuangan Islam. Persekitarannya juga adalah perjuangan Islam. Justeru itu, matlamat pembentukan keluarga haraki, objektif dan hala tujunya juga adalah berpaksikan perjuangan Islam.

75. Perjuangan Islam memerlukan pejuang yang faham, ikhlas, berilmu, sanggup berkorban untuk Islam, kental mendepani cabaran, fizikal yang mampu merealisasikan  aktiviti amal Islami, aktif dan mempunyai wibawa kepimpinan yang hebat. Ertinya, keluarga haraki mesti memenuhi kriteria tersebut. - HARAKAHDAILY 15/5/2016

Share on Myspace