Tegakkan Islam jangan berpecah

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sejarah tercipta apabila parlimen hari ini menyaksikan YB Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah).

2. Secara kronologinya, RUU Persendirian ini dimuat naik dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) parlimen di kedudukan no 15 pada awal pagi ini. Selepas sesi rehat, pada jam 2.30 petang, YB Menteri Hal Ehwal Parlimen Datuk Azalina Othman  melalui Aturan Mesyuarat 14(2)  telah mengusulkan agar RUU Persendirian YB Marang didahulukan.

3. Sebaik sahaja Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia ingin menjemput YB Marang membentangkan RUU Persendirian Pindaan Akta 355 yang bertujuan untuk memperkasa Institusi Mahkamah Syariah, Ahli-Ahli Parlimen DAP bangun membantah dan cuba menghalang keputusan Tan Sri Speaker. Turut bangun mempersoalkan kenapa RUU Persendirian YB Marang diberi laluan hari ini ialah Ahli Parlimen PAN.

4. YB Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan dan YB Kuala Nerus, Datuk Dr Khairudin Aman Razali antara yang sempat berdiri bagi mempertahankan kewajaran RUU Persendirian ini dibentang. Akhirnya Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Speaker Dewan Rakyat membenarkan YB Marang membentangkan Pindaan Akta 355.

5. Sebaik sahaja selesai membentang RUU Persendirian tersebut, YB Marang memilih untuk menangguhkan perbahasan bacaan kali pertama ke persidangan parlimen akan datang iaitu Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Parlimen pada 17 Oktober 2016 akan datang.

6. Langkah ini diambil kerana mengambil kira masa yang suntuk. Hari ini adalah hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Malaysia sedang RUU Persendirian ini baru dimuat naik ke AUM pada hari ini. Maka wajarlah untuk memberi masa secukupnya kepada semua ahli parlimen meneliti dan mengkajinya maka ia ditangguhkan perbahasannya ke sidang yang akan datang.

7. Pada awalnya ada pihak yang menyanggah kerana kononnya RUU Persendirian ini baru ni muat naik hari ini, ahli parlimen tidak sempat menelitinya meskipun ini adalah kali ke-3 RUU Persendirian ini dimasukkan dalam AUM di parlimen.

8. PAS mengambil langkah yang demokratik. Pula tidak gopoh dan kita membentangkannya di parlimen serta bersedia berdepan dengan pelbagai pihak. Pada masa yang sama, kita mengharapkan semua ahli parlimen memberi sokongan yang padu justeru Akta 355 ini sudah terlalu lama sejak 1965. Kedudukan bidang kuasanya lebih rendah dari mahkamah majistret.

9. Selaras pula dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada sessi pembukaan Parlimen Penggal Keempat agar Institusi Mahkamah Syariah diperkukuhkan.

10. Marilah kita hayati firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara ugama apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah agama, dan janganlah kamu berpecah belah padanya".
Berat bagi orang musyrikin terhadap apa yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah kepada agamaNya itu sesiapa yang kembali kepadaNya (dengan taat). (Surah Asy Syura: 13)

Tegakkan agama dan janganlah kamu berpecah belah. Ini arahan Allah swt.

Sama-samalah kita tunggu persidangan akan datang. Perjalanan kita masih jauh. Halangan masih banyak dan cabaran masih kuat. Semoga Allah swt memudahkan urusan kita dan diberikan kekuatan oleh Allah swt. kepada para pejuangNya. Ameen! - HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace