DAP anti Islam?

NASRUDIN HASSAN | .

1. Kerajaan bagi laluan kepada PAS membentangkan usul pindaan Akta 355 di parlimen, apakah PAS akan bergabung dengan Umno selepas ini? Apakah PAS akan bentuk UG selepas ini? Apakah PAS akan deal dengan Umno untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bagai yang dikata?

2. Sebetulnya inilah dendangan lagu dan lirik lama yang dikumandangkan sejak bertahun-tahun yang lalu dalam pelbagai genre. Sesekali didendang dengan genre rock dan sesekali dengan genre dangdut dan sesekali yang lain pula didendangkan dengan genre melayu asli bagi mengelak kebosanan masyarakat dengan lagu dan lirik yang lama dan sama.

3. Sebelum wujudnya isu pindaan Akta 355 ini, isu PAS bergabung dengan Umno telah didendangkan sekian lama oleh samseng-samseng politik. Tanpa pedulikan fakta dan kebenaran, mereka gembira dan puas dengan fitnah yang mereka cipta. Apabila timbul isu pindaan Akta 355 maka sekali lagi mereka tukar genre untuk didendang buat kesekian kalinya.

4. Realitinya, inilah kematangan politik yang didambakan selama ini. Sebelum ini kita mempersoalkan sukarnya RUU Persendirian diangkat ke parlimen. Kita mahu transformasi parlimen dilakukan. Nah kini ianya berlaku, maka kenapa masih ada yang terpinga-pinga? Kenapa fitnah PAS kononnya PAS telah bergabung dengan Umno?

5. Ada pula yang kehairanan, kenapa PAS boleh sambut kerjasama Umno sedang Umno adalah kerajaan dan PAS adalah pembangkang? Tidak sukar memahami situasi ini bagi mereka yang berilmu dan mengamalkan politik matang dan sejahtera. Inilah bentuk ta'awun (kerjasama) yang dianjurkan oleh Islam dan menjadi sebahagian dari amalan politik matang dan sejahtera. Firman Allah swt:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"Dan hendaklah kamu berkerjasama atas urusan  melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya." (Surah Al Maaidah: Ayat 2)

6. Saya lihat DAP dan PAN telah kehabisan idea untuk mendepani PAS. Mereka mula meracau tidak ketentuan hala. Isu sepenting ini pun mereka gagal untuk memahaminya semata-mata kerana ia datang dari PAS.

7. Walhal pindaan Akta 355 adalah bertujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah. Tentu sekali ia tidak ada kena mengena dengan pihak non muslim. Selayaknya DAP usah campur urusan ummat Islam atau mereka sememangnya sedang berusaha bagi membuktikan kepada umum bahawa mereka benar-benar anti Islam?

8. Biarlah bagaimana halangan dan rintangan, insyaallah PAS tidak akan berhenti untuk berjuang. Kejayaan membentang usul Pindaan Akta 355 di parlimen hanyalah satu langkah melewati garis mula. Sedang perjalanan masih berliku dan destinasi masih jauh. Perlukan kesabaran dan kesungguhan yang tidak sedikit. Sabar menerima kritikan dan maki hamun dari pihak yang memusuhi serta bersungguh-sungguh mendepani cabaran, halangan dan sabotaj.

9. Semua pihak khasnya pemimpin ummat Islam sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang mestilah mempunyai kesedaran iman dan kemahuan politik yang tinggi terhadap usaha untuk memperkasakan institusi syariah di Malaysia.

10. Teruskan berjuang, lipat ganda usaha dakwah kepada semua lapisan masyarakat termasuk kepada non muslim dan banyakkan munajat kepada Allah swt. Jangan dilayan sangat kemuncup di stokin. Firman Allah swt:

فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

"Laksanakan apa yang Allah swt perintah dan usah pedulilah perancangan dan bantahan golongan musyrikin (berpalinglah dari mereka). (Surah Al Hijr: Ayat 94)

Share on Myspace