Mesra Al-Quran

NASRUDIN HASSAN | .

1. Ramadhan juga dimasyhurkan sebagai Bulan Al-Quran. Padanya diturunkan Al Quran oleh Allah swt. sebagai petunjuk kepada ummat manusia. Firman Allah swt:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Surah Al Baqarah: 185)

2. Kesempatan ini mesti dimanafaatkan semaksimum mungkin oleh seorang muslim amnya dan para pejuang Islam khasnya. Jangan leka dan lalai melainkan para pejuang Islam mestilah sering mendampingi al Quran. Baca, faham dan hayati kandungan Al Quran.

3. Al Quran akan membekalkan kekuatan dan karamah tersendiri kepada mereka yang mesra Al Quran, justeru Al Quran adalah mukjizat Nabi SAW yang kekal sampai hari kiamat. Siapa yang memiliki mukjizat ini, pastinya ia menjadi insan yang hebat. Pejuang Islam memerlukan kehebatan ini.

4. Mesrakan diri dengan Al Quran dan mulakannya dengan istiqamah membaca dan menghayati setiap titah perintah Allah swt. Ramadhan adalah kesempatan terbaik. Sebaiknya kita praktis dengan mengambil peluang khatamkan al quran di bulan Ramadhan ini sekurang-kurangnya sekali.

Dari Abu Umamah Rha. beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اِقْرَؤُ القُرآنَ فَإنه يَأتِى يَوْمََ الْقِيَامَةِ شَفِيْعاً لَأَصْحَابِهِ

Bacalah Al Quran kerana Al Quran akan datang pada hari Qiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pemiliknya (yang istiqamah membaca Al Quran). (Riwayat Imam Muslim)

5. Tip mudah untuk melakukannya ialah:

Satu juzuk mempunyai 20 muka surat. Solat mempunyai 5 waktu sehari semalam. Maka kita boleh membaca 4 muka surat setiap kali selesai solat fardhu. Insyaallah kita akan khatam satu juzuk sehari. Ramadhan 30 hari, ertinya kita boleh khatam 30 juzuk Al Quran sejurus tamat bulan Ramadhan.

Nasrudin Hassan
Musolla Ar Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah

Share on Myspace