Puasa Euro

NASRUDIN HASSAN | .

Taujihul Haraki 08
Min Raudhati Ramadhan

1. Temasya Piala Euro 2016 yang menyaksikan kejuaraan bola sepak antara 24 buah negara-negara Eropah sedang rancak berlangsung di Perancis bermula 11 Jun yang lalu. Kejuaraan Euro yang dijadualkan 4 tahun sekali itu kebanyakan perlawanannya bersiaran pada jam 3 pagi waktu Malaysia dan Euro edisi 2016 ini pula berlangsung di bulan Ramadhan Al Mubarak.

2. Ramadhan tahun ini turut menyaksikan kejuaraan Copa America 2016 yang bersiaran antara jam 5 hingga 10 pagi sejak 3 Jun yang lalu. Copa America 2016 akan berakhir pada 27 Jun sementara Euro 2016 akan melabuh tirai pada 11 Julai. Ini bermakna sebahagian besar jadual dua kejohanan berprestij itu berlangsung dalam bulan Ramadhan.

3. Awas, kedua-duanya mampu mengalih tumpuan kita terutama kepada peminat tegar sukan bola sepak. Saya akui, tidaklah mengapa meminati sukan ini, namun sebagai seorang muslim tambahan pula sedang menjalani pesta ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini perlu berhati-hati agar Euro 2016 tidak merosakkan Ramadhan kita.

4. Keletihan dan mengantuk kerana mengamati dan mengikuti jadual perlawanan Euro 2016 dan juga Copa America 2016 ini berpotensi besar untuk meletakkan kita gagal bertahajjud, gagal khatam Al Quran, gagal berzikir, gagal menghayati pesta ibadah Ramadhan malah masa selebihnya akan banyak dihabiskan untuk tidur di siang hari demi Eurolail (bukan qiamulail).

5. Waktu yang penuh dengan keberkatan akan berlalu begitu sahaja sedang kesempatan yang bernilai tinggi seperti detik Ramadhan ini bukanlah setiap masa kita akan temui. Jangan lalai dan jangan benarkan tumpuan teralih jauh. Anda boleh sahaja ke Bordeaux tapi segera pulang ke tikar sajadah, boleh ke Lyon tapi segera kembali ke rehal tadarrus, boleh ke Marseille tapi jangan lupa masjid surau untuk berjamaah.

Sabda Rasulullah SAW:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ في السَّحُوْرِ بَرَكَةً

Bersahurlah kerana pada sahur itu ada keberkatan. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Para alim ulamak menyebut bahawa berkat itu bukan hanya pada makanan tetapi juga pada waktunya. Justeru itu banyakkan ibadah dan munajat di saat penuh berkat ini termasuk waktu hampir berbuka puasa.

Namun, apa yang pasti tidak ada hadis Tasayyeuro Fa Inna Fiyyeuro Barakah. Justeru, berpada-padalah nak join euro pun jangan sampai abaikan keberkatan yang disediakan oleh Allah dan akhirnya puasa kita jadi Puasa Euro.

Nasrudin Hassan
Musolla Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah - HARAKAHDAILY 13/6/2016

Share on Myspace