Tarawih Charlie Chaplin

NASRUDIN HASSAN | .

Taujihul Haraki. 09
Min Raudhati Ramadhan.

1. Mutakhir ini viral di laman sosial bagaimana terdapat pihak yang mengadakan solat tarawih 20 rakaat dalam masa 7 minit. Bukan sahaja kelihatan lucu dan menghilangkan hikmah solat Tarawih malah ia seperti mempersendakan syariat dan syiar Islam itu sendiri. Entah apa yang dikejar dengan tarawih berkelajuan turbo. Sekali pandang seperti aksi pelakon jenaka Charlie Chaplin.

Tarawih Rasulullah SAW

2. Solat Tarawih adalah sunnah Rasulullah SAW yang selayaknya ditunai semampu mungkin berasaskan apa yang telah dilakukan oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW solat Tarawih sebanyak 8 rakaat ditambah witir 3 rakaat dan solatnya dengan bacaan yang panjang dan penuh khusyu'.

Diriwayatkan dari Abi Salamah bin Abdur Rahman Rh bahawa ia bertanya A'isyah Rha "Bagaimanakah solat baginda saw di bulan Ramadhan?

فَقالَتْ مَا كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَزِيْدُ فِي رَمَضَانَ وَ لاَ فِي غَيْرِ رَمَضَانَ عَلى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً ؛ يُصَلِّى أَرْبَعاً فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَ طُوْلِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّى أَرْبَعاً فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَ طُوْلِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّى ثَلاَثاً

A'isyah menjawab: Rasulullah SAW tidak menambah di bulan Ramadhan atau di bulan yang lain lebih dari 11 rakaat. Baginda solat 4 rakaat tanpa perlu ditanya lagi betapa elok dan panjangnya solat baginda SAW. Kemudian baginda solat lagi 4 rakaat jua tanpa perlu ditanya betapa elok dan panjangnya solat baginda SAW. Kemudian akhirnya baginda solat 3 rakaat (witir). (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

3. Namun ada ulama menganjurkan agar dilaksanakan Tarawih sebanyaj 20 rakaat dan ditambah witir 3 rakaat. Pandangan ini berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Saidina Umar Al Khattab Rh. Al Imam Al Baji sewaktu mensyarahkan hadis tentang bilangan rakaat solat menyatakan: "Berlaku khilaf di dalam riwayat daripada Umar Rh berhubung dengan rakaat Tarawih. Riwayat daripada as Saib bin Yazid ialah 11 rakaat. Daripada Yazid bin Ruman menyebut 23 rakaat. Riwayat Nafi' hamba Ibn Umar Rhma menyatakan sebanyak 39 rakaat termasuk solat witir 3 rakaat.

Maka dengan ini, kemungkinan Saidina Umar memulakan solat Tarawih dengan 8 rakaat dengan membaca 200 ayat quran pada setiap rakaat. Apabila melihat orang ramai tidak mampu berdiri lama, maka beliau menambah sehingga 23 rakaat termasuk witir. Kemudian ditambah lagi sehingga 39 rakaat termasuk witir atau 41 rakaat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Sirin. (Lihat Syarah al Muwattha' 1/208)

4. Apa yang dianjurkan oleh Saidina Umar Rh tidak bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW justeru Saidina Umar Rh adalah salah seorang Khulafa Ar Rasyidin dan Nabi SAW telah bersabda:

عَلَيْكُمْ بِسُنَّتَي وَ سُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ المَهْدِيِينَ مِنْ بَعْدِ وَ عَضُّوا عَلَيْها بِالنَوَاجِذِ

Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku dan genggamlah seerat eratnya dengan geraham kamu. (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

Berkata Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyah Rhm: "apa yang dilakukan oleh khulafa ar Rasyidin bukanlah bida'ah dari segi syara' yang ditegah daripadanya walaupun dari segi bahasa dinamakan bida'ah". (Lihat Majmuk Al Fatawa 21/318-319)

5. Maka usahlah ummat Islam berkelahi sama Ada solat Tarawih ini 8 rakaat atau 20 rakaat. Keduanya mempunyai asas nas yang kukuh. Tidak melakukan solat Tarawih itulah yang tidak ada nas. Malah lebih menepati maqasid syariah jika sewaktu rehat antara 4 rakaat itu diisi dengan tazkirah atau tafsir ayat quran yang dibaca oleh imam, memandangkan rata-rata ummat Islam hari masih lemah penguasaan ilmu Islamnya, sedang menuntut ilmu Islam itu wajib hukumnya.

Mengambil kesempatan ummat Islam berduyun-duyun mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat Tarawih di bulan Ramadhan ini, maka sebagai pejuang dan pendakwah Islam, ambillah kesempatan ini untuk mencurahkan ilmu kepada mereka selain menunaikan solat Tarawih.

Nasrudin Hassan
Musolla Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah - HARAKAHDAILY 14/6/2016

Share on Myspace