Tertinggal kereta api

HARAKAHDAILY | .

Taujihul Haraki. 11
Min Raudhati Ramadhan

1. Sedar atau tidak, kita telah sebelas hari berpuasa. Masa pantas berlalu. Masa yang telah lepas pergi tidak kan kembali. Imaginasi ciptaan mesin peralihan masa supaya kita boleh kembali ke masa silam atau boleh pergi ke masa depan sebelum tiba masanya adalah sebuah khayalan filem fiksyen sains yang tidak akan pernah menjadi kenyataan.

2. Kita perlu hargai masa yang sedang kita hadapi agar tidak berlalu begitu sahaja tanpa kita manfaatkan dengan aktiviti yang memulangkan pahala dan berkat dalam hidup kita. Lebih malang jika ia dihabiskan dengan aktiviti yang mengundang murka Allah swt.

3. Para pejuang Islam harus bijak mengendali schedule hidupnya agar tidak terlepas peluang keemasan yang telah disediakan oleh Allah swt khas di bulan Ramadhan al Mubarak ini. Hari ini adalah hari kesebelas kita berpuasa, berapa juzuk al Quran telah kita baca? Berapa banyak wang telah kita sedekah? Berapa kali qiamulail telah kita lakukan? Berapa orang yang telah kita sampaikan dakwah Islam kepadanya?

4. Jangan ketinggalan kereta api. Orang lain sudah 11 juzuk, tapi kita baru dua juzuk? Orang lain telah ratusan ringgit bersedekah, kita masih mengira-ngira berapa wang yang masih ada? Orang lain sudah 7 kali qiamulail, tapi kita baru sekali? Orang lain sudah sudah seminggu keluar berjuang dan berdakwah, kita masih mencongak hari?

Persoalannya ke mana masa kita terbuang? Sibuk melayani perbincangan whatsapp group yang tidak membangunkan agama dan minda kita? Asyik dengan gerak kerja yang tidak menguntungkan Islam dan perjuangannya?

5. Masih terdapat detik-detik emas yang perlu diraih oleh setiap dari kalangan kita sebelum berakhir Ramadhan edisi 1437H.

• Waktu mustajab doa menjelang berbuka puasa. Apa yang kita lakukan pada masa itu? Kenapa tidak doakan agar Islam dan perjuangannya beroleh kemenangan?

• Detik penuh keberkatan ketika sahur. Di mana kita berada pada saat itu? Kenapa sukar membebaskan diri dari selimut tebal untuk bangun menggandakan ibadah kepada Allah?

• Sepuluh malam akhir Ramadhan yang diperkaya dengan Lailatul Qadar. Bersediakah kita memburunya atau asyik keluar masuk kompleks membeli belah untuk persiapan hari raya?

Dari Ibnu Abbas Rhma telah berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

اغتنم خمساً قبلَ خمسٍ  
شبابَكَ قبلَ هَرَمِكَ  
و صِحَّتَكَ قبلَ سَقَمِكَ
و غِنَاكَ قبلَ فقرِكَ
و فراغَكَ قبلَ شُغلِك
و حياتَكَ قبلَ موتِكَ

Peliharalah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang lain, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa faqirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, masa hidupmu sebelum datang masa matimu. (Riwayat Al Hakim)

Nasrudin Hassan
Musolla Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah - HARAKAHDAILY 16/6/2016

Share on Myspace