Gajet dakwah

NASRUDIN HASSAN | .

Taujihul Haraki 16
Min Raudhati Ramadhan

1. Sebahagian dari urusan perjuangan yang sangat penting ialah memberi ilmu, membimbing dan memimpin ummah ke arah jalan yang diredhai Allah swt.

2. Kesempatan ini boleh direbut ketika mana ummat Islam mudah dibimbing ke masjid surau di bulan Ramadhan al Mubarak ini. Selain melangsungkan solat sunat Tarawih, sangat bijak jika diambil peluang untuk memahamkan ahli jamaah terhadap ayat-ayat al Quran yang dibaca oleh sang imam.

3. Namun, tidak sekadar tazkirah formal di masjid dan surau semata-mata tetapi kita boleh lazimi usaha memberi ilmu, membimbing dan memimpin ummah di sepanjang masa melalui pelbagai cara. Tidak hanya terhad kepada kuliah, tazkirah atau ceramah bahkan ilmu Islam boleh disalur melalui perbualan biasa, penulisan dan 1001 komunikasi kita dengan masyarakat.

4. Lihat apa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ. Sabda Rasulullah ﷺ:

مَن دلَّ على خيرٍ فله مِثْلُ أجرِ فاعِلهِ

Barangsiapa yang menunjuk jalan ke arah kebaikan maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut. (Riwayat Imam Muslim)
 
5. Sebetulnya dihadapan kita terdapat banyak peluang untuk menunjuk arah kebaikan berbanding kejahatan dan keburukan. Cuma kita mesti memulakannya dan serius melakukannya. Aneka gajet yang menjadi alat komunikasi moden hari ini sangat membantu kita untuk lebih memudah menyampaikan ilmu dan mendidik ummah agar mereka hidup dalam iklim Deenul Islam.

Jadikan gajet kita adalah Gajet Dakwah Sepanjang Masa disemua kategori komunikasi termasuk politik dan ekonomi. Jangan jadikan gajet kita sebagai jengkaut dosa sepanjang masa yang akan menghumbankan kita ke lubuk neraka.

Sabda Rasulullah ﷺ:

مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيءٌ وَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيءٌ
 
Barangsiapa yang mengasaskan sesuatu tindakan di dalam Islam sebagai suatu tindakan yang baik maka baginya pahala kebaikan itu dan pahala mereka yang melaksanakan tindakan tersebut selepasnya tanpa mengurangkan sedikitpun dari pahala mereka dan barangsiapa yang mengasaskan sesuatu tindakan di dalam Islam sebagai suatu tindakan yang jahat maka baginya dosa kejahatan itu dan dosa mereka yang melaksanakan tindakan tersebut selepasnya tanpa mengurangkan sedikitpun dari dosa mereka. (Riwayat Imam Muslim)

Share on Myspace