Surat Pekeliling Allah SWT

NASRUDIN HASSAN | .

Taujihul Haraki 17
Min Raudhati Ramadhan

1. Ramai umat Islam menjadikan al Quran sekadar tangkal azimat, menghambat hantu jembalang, hanya dibaca pada malam khatam al Quran dan majlis perkahwinan atau baca Yassin pada hari tertentu seperti malam nisfu sya’ban, di majlis kematian dan seumpamanya.

2. Al Quranul Karim adalah surat pekeliling yang mengandungi arahan dan peraturan daripada Allah swt kepada seluruh ummat manusia. Firman Allah swt:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu mengikutnya; dan janganlah kamu ikut jalan yang lain, kerana menyelewengkan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al Ana’am: Ayat 153)

3. Sebagai muslim kita kena tahu cara berinteraksi dengan al Quran dengan betul.

i. Al Quran dibaca dan ditadabbur (dihayati)

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu. Kitab Yang penuh berkat untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. (Surah Shod Ayat 29)

ii. Al Quran dipelajari dan dilaksanakan

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Dan hendaklah Engkau jalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan waspadalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang Yang fasik. (Surah al Maaidah Ayat 49)

4. Jangan sekali-kali kita abai dan lalai. Lupa al Quran. Jauh daripada Al Quran. Lihat bagaimana akibat berpaling dan mendustakan ayat-ayat Allah swt.

a) Mengalami kesempitan hidup

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا

قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatanku, maka baginya kehidupan Yang sempit, dan kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
Ia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta, padahal dulu aku tidak boleh melihat?"
Allah berfirman: Demikianlah telah datang kepada engkau ayat-ayat kami , tetapi engkau melupakannya maka demikianlah pula hari ini engkau dilupakan.” (Surah Taaha Ayat 124-125)

b) Terhalang dari memasuki syurga Allah

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan berlagak angkuh sombong daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak boleh masuk syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. (Surah al A’raaf Ayat 40)

c) Menerima azab neraka yang sangat pedih

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang- yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan panggang mereka dalam api neraka. tiap kali kulit mereka masak hangus, kami gantikan kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah an Nisa’ Ayat 56)

Nasrudin bin Hassan
Musolla Raudhah
Taman Pelindung Perdana Beserah - HARAKAHDAILY 22/6/2016

Share on Myspace