Peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi masih rendah

NASRUDIN HASSAN | .

1. Malaysia akan terperangkap dengan kelembapan peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi sekiranya tiada inisiatif baru yang diambil menjelang tahun 2020. Secara tidak langsung, pertumbuhan ekonomi negara akan perlahan dan banyak bergantung kepada sumber luar. Malaysia mesti mencapai sekurang-kurangnya 45 peratus jumlah tenaga kerja mahir untuk meningkatkan produktiviti negara berbanding hanya sekadar 28 peratus sahaja pada tahun ini.

2. Saya bimbang kerana peningkatan jumlah siswazah tidak disokong dengan kewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Peratusan kategori ini semakin menurun daripada 27.6% pada tahun 2010 kepada 25.2% pada tahun 2014. Ini bermakna lambakan jumlah siswazah kebanyakannya mungkin memenuhi kategori tenaga kerja berkemahiran separuh mahir. Fakta menunjukkan peratusan tenaga kerja berkemahiran separuh mahir meningkat secara signifikan daripada 7.3% (2010) kepada 8.4% (2014).

3. Pada masa yang sama, keadaan ini bertambah buruk apabila pergantungan negara terhadap buruh asing semakin tinggi bagi mengisi tenaga kerja berkemahiran rendah. Pada tahun 2014 sahaja, jumlah pekerja asing yang berdaftar telah mencecah lebih 2 juta orang dan ia meningkat secara mendadak sebanyak 150% sejak dari tahun 2000. Hal ini bermakna, kadar pengangguran khususnya dalam kalangan belia tempatan mungkin akan melebar kerana tidak dapat memenuhi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

4. Keadaan ‘mismatched’ dalam pasaran buruh akan menjejaskan rentak pertumbuhan ekonomi dan tidak mustahil ramai golongan berpendidikan tinggi akan mendapat pulangan yang tidak setimpal dengan tahap pendidikan mereka. Malah, lebih parah lagi jika mereka berhijrah ke negara-negara luar. Keadaan ini menunjukkan pasaran buruh di Malaysia semakin tidak kompetetif dan satu penggemblengan usaha mesti dilakukan dengan lebih segera.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Zulkaedah 1437 | 9 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace