Harapan kemerdekaan rakyat

NASRUDIN HASSAN | .

Seluruh rakyat Malaysia pasti bersyukur sekali dengan kemerdekaan yang diulang sambut pada setiap tahun. Pengalaman dijajah oleh kuasa imperialisme adalah pengajaran sangat berharga dalam berkendiri membangunkan bangsa dan negara tercinta ini.

Justeru, rakyat pasti mahu kemerdekaan ini ditatang dan dipelihara seluruh teras-terasnya.

Menghayati kemerdekaan ini, kami selaku rakyat mengharapkan bagi Malaysia ini:

- Perdana Menteri dan Kerajaan yang merdeka daripada belenggu masalah integriti dan kelemahan urus tadbir termasuk rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa serta amalan pembaziran dan penindasan.

- Sistem politik demokrasi yang merdeka daripada konsep dwi-parti yang saling bertentangan dan bermusuhan serta saling menyalahkan pada hampir setiap masa.

- Ekonomi negara dan ekonomi rakyat yang merdeka daripada unsur penipuan dan riba serta tidak mengalir secara saksama kepada semua.

- Keadaan sosial masyarakat yang merdeka daripada perbuatan jenayah dan ancaman kesihatan serta pencemaran.

- Variasi masyarakat dengan kepelbagaian kaum dan agama yang merdeka daripada dibatu apikan dengan hasutan dan diskriminasi serta tidak saling menghormati.

- Falsafah dan sistem pendidikan yang merdeka daripada menjadikan masyarakat sebagai hamba kepada material dan dijadikan sebagai bahan ujikaji dalam pelaksaan dasar-dasar tertentu yang sudah pun disahkan tidak berkesan dan tidak bermanfaat.

- Generasi pewaris bangsa dan negara yang merdeka daripada sebarang pengaruh dan budaya asing yang mencemarkan dan merosakkan jati diri serta membantutkan kecemerlangan.

Rakyat mesti dan akan "Sehati Sejiwa" merealisasikannya dan semoga Tuhan memakbulkan harapan kita semua.

Selamat meyambut hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-59.

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 31/8/2016

Share on Myspace