Menangani keganasan dan pelampau media

HARAKAHDAILY | .

 

Melestari Budaya Politik Matang dan Sejahtera, YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS terus memacu perjuangan ini merentas pelbagai sempadan dan tembok yang melingkar dalam usaha mengarusperdanakan perjuangan dan penyelesaian Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Petang kelmarin, menyaksikan satu lagi siri pendekatan yang mempertemukan YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan YB Datuk Salleh Tun Said Menteri Penerangan Malaysia di pejabatnya Angkasapuri. Mengiringi YB Datuk Seri Tuan Guru ialah YB  Ustaz Idris Ahmad Naib Presiden PAS dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar Setiausaha Politik Presiden PAS.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam pertemuan tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat. YB Datuk Seri Tuan Guru yang juga di atas sifatnya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa telah memberi penglibatan untuk sama-sama mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah dan  menegaskan perlunya satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan YB Datuk Seri Tuan Guru kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan dalam kalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.

YB Datuk Seri Tuan Guru turut menarik perhatian agar isu menangani media sosial dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber itu. Justeru itu, YB Datuk Seri Tuan Guru turut menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat dalam negara kita.

Kunjungan ini turut mempamerkan pendekatan PAS sebagai Pembangkang Konstruktif (Pembangkang Yang Membina). Bertemu dan memberi pandangan, kritikan serta membantu untuk sama-sama ambil tanggungjawab bagi merungkai masalah semasa yang membelenggu negara dan rakyat.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 28/10/2016

Share on Myspace