Perkongsian dari parlimen

NASRUDIN HASSAN | .

 

Perkongsian Dari Parlimen. 51

Transkrip
Ucap Bahas Bajet 2017 : SIRI 01
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Parlimen : 01 Nov 2016 : 8.12 malam

بسم الله الرحمن الرحيم.     

الحمد لله رب العالمين و به نستعين
 في أمور الدنيا و الدين

Terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua kerana memberi ruang dan keizinan kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan bajet kita pada hari ini. Saya mempunyai beberapa perkara yang ingin saya utarakan pada kesempatan waktu yang terbatas ini (15 minit)

Derita Rakyat

Tuan Yang di Pertua, di mana kita semua sedar pada hari ini khasnya rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Mereka juga hari ini sedang membuat penyesuaian selepas pengumuman Bajet 2017 yang lalu, yang dilihat secara umumnya tidaklah menyebelahi mereka.

Kenaikan Harga Minyak

Tambah pula pada hari ini mereka dikejutkan dengan kenaikan harga minyak pada kadar 15 sen satu per liter. Ini umumnya telah memberi satu kesan yang berantai dengan kenaikan kos bahan api ini. Ia akan berikutan dengan kos transport dan juga barangan lain di pasaran. Sudah tentu ia akan menjejaskan rakyat secara umumnya.

Justeru itu Tuan Yang di Pertua, mudahnya rakyat pada hari ini sedang mendepani satu bebanan yang bertimpa-timpa. Ia semakin hari semakin mencabar dan menekan mereka. Bermula perlaksanaan GST yang dikenakan ke atas mereka. Kemudian penurunan subsidi terhadap barangan keperluan mereka dan ditambah pula dengan peluang pekerjaan yang terhad dan pendapatan mereka pula tidak bertambah. Akhirnya mengakibatkan tabungan rakyat itu semakin surut dan semakin susut.

Jadi, yang lebih memeritkan ialah apabila disaksikan kerajaan pula dilihat mengambil satu formula mudah untuk menghadapi cabaran ekonomi yang sebegini.

Pertama : Menaikkan cukai
Kedua : menurunkan subsidi

Kemudian beri BR1M. Umumnya melihat BR1M ini boleh disifatkan sebagai ubat pelali untuk melalikan rakyat seketika daripada menghadapi bebanan hidup dan juga derita kos sara hidup yang ditanggung oleh mereka.

Tangani Kenaikan Harga Minyak

Tuan Yang di Pertua, persoalan di sini ialah apakah kerajaan tidak mempunyai satu kaedah yang lain ? Sebagai contoh untuk mengatasi kenaikan harga minyak ini. Kenapa tidak kerajaan menetapkan harga siling sebagai contoh bagi harga runcit petrol dan kerajaan menampung lebihan kos daripada harga siling itu dengan memberi subsidi kepada rakyat ?

Dengan itu Tuan Yang di Pertua, saya cadang supaya kerajaan kaji semula formula yang telah digunakan untuk penemuan harga petrol dan diesel ini dengan menetapkan harga siling untuk ia mengurangkan sedikit kejutan rakyat yang sedang menghadapi beban hidup dengan kenaikan kos sara hidup pada hari ini.

Kerajaan Mesti Berjimat dan Berhemah

Pastinya kalau kita bercakap tentang subsidi ini bagi membolehkan kerajaan selesa memberi subsidi kepada masyarakat dan juga kepada rakyat maka kerajaan janganlah hanya membiarkan rakyat sahaja berjimat cermat. Akan tetapi biarlah terlebih dahulu kerajaan juga berjimat dan mengamalkan langkah berhemah dalam pengurusan ekonomi negara.

Antaranya sebagai contoh boleh dikaji saiz Kabinet yang saya lihat lebih besar daripada keperluan. Kemudian menteri bolehlah contohnya memulangkan elaun minyak, elaun tol, percutian, keraian supaya sedikit aebanyak boleh merasai penderitaan rakyat marhaen dalam negara kita. Kalau perlu pemotongan gaji 10 peratus ke 20 peratus elaun bulanan ataupun gaji bulanan menteri.

Tuan Yang di Pertua, maksud saya ialah penjimatan daripada perbelanjaan protokol menteri ini dan kemudian menghadkan juga projek-projek mewah yang ada dalam negara kita yang kurang memberi impak kepada rakyat terbanyak serta cegah kawal terhadap ketirisan dan salah guna kuasa, salah guna dana negara yang mana semua ini adalah boleh dijadikan sebagai mechanism untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang sedang dirasai ataupun dideritai oleh rakyat mutakhir ini.

Perkongsian Dari Parlimen. 52

Transkrip
Ucap Bahas Bajet 2017 : SIRI 02
Oleh : Nasrudin bin Hassan
_Parlimen : 01 Nov 2016

SALAH LAKU PENJAWAT AWAM
 
Tuan Yang di Pertua, pada 2015, 398 penjawat awam ditahan kerana kesalahan rasuah; ini ertinya meningkat sebanyak 173 orang berbanding pada 2014 yang berjumlah 225 orang.

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2016 ini sahaja, sudah 98 orang ditahan di atas kesalahan yang sama.

Pada Mac 2016, seorang berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah berjumlah RM38.4 juta.
 
Pada Ogos 2016 pula, seorang pegawai kanan DBKL ditahan bersama 2 yang lain kerana kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Wang simpanan dan amanah saham bernilai melebihi RM13 juta dibekukan serta beberapa kediaman, kenderaan mewah dan wang tunai berjumlah RM400,000 turut disita.
 
Terbaru, Tuan Yang di Pertua pada Oktober 2016, Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Bekalan Air Sabah ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

SPRM berjaya merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan RM30 juta, sekali gus menjadikan kes ini adalah kes terbesar dalam sejarah tangkapan SPRM sendiri.

Jadi, Berikutan kes yang sama ini juga, 19 jurutera turut ditahan dan RM2.4 juta dirampas.
 
Tuan Yang di Pertua, Kesemua kes ini menunjukkan betapa membarahnya gejala rasuah dan budaya salah guna kuasa yang berlaku dalam kalangan penjawat awam dalam negara kita.

Kita tidak mahu melahirkan Negara Dosa.

Yang Di Pertua, kita tidak mahu negara kita ini akhirnya lahir sebagai sebuah negara dosa, negara yang dimurkai oleh Allah swt.

Justeru itu Tuan Yang di Pertua, membasmi masalah ini, Kerajaan mesti dulu menunjukkan teladan yang baik termasuk dengan merobohkan amalan kronisme dan nepotisme kerana ia telah menjadi benteng bagi melindungi para pelaku rasuah dan salah guna kuasa dalam struktur pentadbiran Kerajaan.

Benteras Rasuah

Kerajaan perlu komited dan telus membanteras gejala salahguna kuasa dan rasuah, bermula dari pemimpin negara dan khususnya yang berlaku di kementerian dan jabatan atau agensi Kerajaan.
 
Dr Izani bin Husin [Pengkalan Chepa] : Yang Berhormat Temerloh.

Timbalan Yang di Pertua [Datuk Seri Dr Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pengkalan Chepa bangun, Yang Berhormat

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh] : Sila.

Dr Izani bin Husin [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di Pertua dan juga Yang Berhormat Temerloh. Soalan saya dalam masa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri cuba untuk mengatasi perkara rasuah namun demikian gejala rasuah juga berlaku dan semakin berleluasa dan juga secara terang-yerangan. Apakah masalahnya ? adakah ini berkaitan dengan contoh melalui teladan ? Terima kasih.

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: Ya Tuan Yang di Pertua sudah pastinya ia bermula dengan qudwah yang baik atau pun contoh yang baik di samping kesungguhan dan juga penguatkuasaan yang benar-benar telus dalam membasmi rasuah yang berlaku di dalam negara kita.

Tuan Yang di Pertua, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa inilah – rasuah dan salah guna kuasa – sebenarnya punca negara tidak cukup duit untuk berbelanja; bukannya kerana kejatuhan harga komoditi minyak dan getah serta kejatuhan nilai ringgit dan seumpamanya.

Akan tetapi saya lihat negara kita sekarang sedang dibelenggu oleh satu dosa dan juga kemurkaan daripada Allah swt. Saya suka mengambil peringatan daripada Allah swt apabila Allah berfirman :

وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (Surah Al Isra' : 16)

Nau'zubillahi min zaalik. Kita minta jauh.

Perkongsian Dari Parlimen. 53

Transkrip
Ucap Bahas Bajet 2017 : SIRI 03
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Parlimen : 01 Nov 2016

MAJLIS HISBAH BELANJAWAN KERAJAAN

Tuan Yang di Pertua, sehubungan dengan itulah maka saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan apa yang disebut sebagai Majlis Hisbah Belanjawan Kerajaan.

Yang mana peranan Hisbah dalam sistem Kerajaan Islam merupakan sesuatu yang begitu penting. Asasnya terdapat di dalam Surah Ali Imran : 104

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan melarang manusia berbuat kejahatan. Dan manusia yang sedemikian adalah orang yang berjaya.”
 
Tuan Yang di Pertua, sebenarnya terdapat pelbagai penulisan yang membicarakan prinsip Hisbah yang saya cadangkan ini seperti Al-Hisbah Fi Al-Islam oleh Ibn Taimiyyah dan juga secara umum di sentuh dalam kitab Ahkam Al-Sultaniyyah oleh Imam Al-Mawardi dan Ihya’ Ulum Ad-Din oleh Imam Al-Ghazali.
 
Ini kita boleh rujuk untuk dijadikan panduan bagaimana pelaksanaan dan penubuhan hisbah yang saya maksudkan itu

Tuan Yang di Pertua, cadangan Hisbah Belanjawan Kerajaan ini wujud kerana melihatkan pelbagai salah laku dan rasuah dalam agensi kerajaan yang telah menyebabkan negara kerugian berjuta-juta ringgit dan tentunya kesan akan kembali kepada rakyat.
 
Malah, kalau kita lihat, Tuan Yang di Pertua, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) saban tahun juga saya lihat mempamerkan atau menunjukkan kepada kita bagaimana kelemahan-kelemahan tertentu dalam pengurusan projek dan juga perkhidmatan yang melibatkan wang rakyat dalam agensi-agensi dan juga kementerian-kementerian kerajaan.

Jadi ini adalah merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian Tuan Yang di Pertua. Sebagai contoh, banyak projek dan perkhidmatan yang telah terlaksana dan tidak terlaksana dalam Bajet 2015 dan 2014 yang lalu, yang telah dibentangkan yang kita tidak tahu bagaimana kesudahannya.

Adakah ia benar-benar memenuhi specs yang telah ditetapkan ataupun berlaku penyelewengan, berlaku keciciran, ketirisan dan seumpamanya ?

Ini semua persoalan yang masih belum terjawab jikalau kita lihat dalam laporan audit saban tahun yang jelas menunjukkan berlaku kepincangan ini.
 
Tuan Yang di Pertua, justeru, Majlis Hisbah Belanjawan ini tidak hanya berfokus mengatasi masalah rasuah dan salah laku semata-mata.

Akan tetapi ia juga merupakan satu pengawasan terhadap kecekapan dan keberkesanan dalam penyaluran setiap wang negara yang mana perkara ini memang perlu dititik beratkan supaya kerajaan tidak bersikap sewenang-wenangnya terhadap keluar masuk wang dalam negara kita ini.

Jadi mestilah mempunyai satu pengawasan yang serius selain mengatasi masalah rasuah dan salah laku yang saya sebutkan tadi.

Majlis Hisbah ini juga mengawasi ketidakcekapan dalam setiap projek dan peruntukan yang dirancang pihak kerajaan.

Akhirnya Tuan Yang di Pertua, Suatu perkara yang penting juga adalah, Hisbah ini bersifat pelengkap (complement) kepada Jabatan Audit Negara dan SPRM itu sendiri. Ini kerana keupayaannya untuk mengawasi setiap tindakan dan juga pengurusan pihak kerajaan itu sendiri. Dia bukan hanya sekadar menjadi pengaudit setelah satu-satu tindakan telah diambil kerana itu tidak menyelesaikan masalah ketidakcekapan, masalah keciciran, masalah salah laku dan juga penyelewengan yang berlaku.
 
Akan tetapi dia lebih kepada untuk sebelum pelaksanaan itu berlangsung, ada pengawasan dan kawalan yang cekap dan juga telus.

Jadi, perkara ini saya harap dapat diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan untuk menangani keberkesan dan juga mungkin ketidakberkesanan dalam pengurusan kewangan.

Mestilah dilihat samada berkesan atau tidak berkesan, mesti ada satu badan hisbah dan itu insyaallah akan melahirkan sebuah kerajaan yang baik selepas daripada ini.

Oleh sebab masa yang terbatas dan terhad, sekadar itu sahaja. Terima kasih Tuan Yang di Pertua di atas keizinan yang telah diberikan kepada saya.

Share on Myspace