Macam-macam masalah landa Felda

NASRUDIN HASSAN | .

Perkongsian dari Parlimen. 54
Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh

Perbahasan Peringkat Jawatankuasa
Rujukan saya: B6 Jabatan Perdana Menteri
Butiran: 010300 Kawal Selia FELDA & 010400 Seranta FELDA

Sejak Pengerusi FELDA yang ada pada hari ini setelah dilantik oleh YAB Perdana Menteri pada 2011, saya lihat bermacam-macam permasalahan melanda FELDA khususnya peneroka yang paling terkesan.

Antaranya ialah:

* kegagalan FELDA membayar duit hasil jualan BTB kepada peneroka pada masanya. Bayaran sebelum ini dibuat secara harian dan kini tertangguh menjadi bulanan.

* kontraktor FELDA tidak menerima bayaran tuntutan kerja mereka pada masa yang sewajarnya. Ada yang terima bayaran selepas 3 bulan dan ada yang masih belum menerima bayaran.

* penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia yang tidak menguntungkan dan sangat terdedah kepada risiko

* Koperasi Permodalan Felda (KPF) ditendang dari Felda Holding Berhad (FHB) menyebabkan kepentingan peneroka terabai.

Selain itu, peneroka juga terpaksa menanggung hutang bernilai ratusan ribu ringgit dan mereka tidak diberi penyata terperinci mengenai hutang yang ditanggung.

Ditambah lagi hutang itu diwariskan pula kepada generasi kedua FELDA. Jika ditambah dengan kos tanam semula, peneroka FELDA akan terbeban dengan hutang yang berganda.

Begitu juga berlaku kepada projek perumahan generasi kedua FELDA yang terbengkalai.

Janji Kerajaan menyediakan perumahan untuk generasi kedua FELDA ternyata gagal ditunaikan apabila tinjauan menunjukkan beberapa tapak projek perumahan tersebut kini terbiar.

Tuan Pengerusi, saya mahu tahu setakat ini berapa buah rumah telah siap dibina ? Sebab, semasa mahu menyenaraikan FGV sewaktu dulu, YAB Perdana Menteri janji nak bina 20 ribu unit rumah dalam masa 5 tahun. Sekarang dah 4 tahun.

Diharapkan isu ini dapat diselesaikan segera mungkin yang boleh, antaranya dengan mengembalikan kepercayaan peneroka dan orang awam kepada pengurusan FELDA.

Kalau banyak perkara tidak selesai, Tuan Pengerusi, tidak keterlaluan saya cadangkan supaya kerajaan menukar Pengerusi FELDA. Supaya masa depan FELDA dan pengurusannya lebih baik. Jabatan Perdana Menteri perlu memberikan perhatian yang serius terhadap isu ini.
(bersambung)

Share on Myspace