Esscom masih jadi persoalan besar

NASRUDIN HASSAN | .

Perkongsian dari Parlimen. 55
Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh

B6 Jabatan Perdana Menteri
Butiran 280000 ESSCOM

Persoalan keberkesanan (effectiveness) dan juga kecekapan (efficiency) ESSCOM masih menjadi persoalan besar yang sukar untuk menemui jawapannya sehingga hari ini. Selain daripada dibangkitkan oleh beberapa diperairan Sabah. Nampaknya makin kronik dan juga makin berisiko tinggi walaupun kita sudah dijanjikan kawalan keselamatan oleh pihak kerajaan.

Saya tertarik dengan kenyataan YAB Perdana Menteri tentang kewujudan “orang dalam” yang menjadi talibarut aktiviti penculikan yang berlaku di perairan Sabah ini. Jadi saya hendak tahu orang dalam yang bagaimana itu yang dimaksudkan itu.

Adakah dia rakyat Filipina yang berada di Sabah, atau mungkin orang Sabah sendiri, atau pun orang dalam itu ialah terdiri daripada anggota pegawai keselamatan itu sendiri yang mungkin tidak jujur dalam perkhidmatan mereka atau pun ini hanya sekadar tanggapan daripada pihak kerajaan untuk menutup kegagalan ESSCOM dan sebagainya. Jadi saya Mohon penjelasan dalam perkara ini. Apakah yang dimaksudkan dengan orang dalam itu yang menghantui aktiviti penculikan di Sabah ?

Dato' Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Yang Berhormat Temerloh

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: Sila

Dato' Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Tuan Pengerusi, bolehkah saya cadangkan kepada Yang Berhormat Temerloh, mungkin juga orang dalam itu ialah mantan Permatang Pauh yang berada dalam jel sekarang ini kerana dia ada komunikasi dengan Nur Misuari. Apakah pendapat Yang Berhormat Temerloh dalam hal ini ?

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: [ketawa] itu sangat peliklah. Akan tetapi, walau bagaimanapun saya minta pihak kerajaan mesti memberi satu jawapan yang jelas kepada kita supaya ia dapat menyingkap satu kekeliruan. Apa yang penting sekali ialah supaya tidak ada fitnah-fitnah kepada mereka yang tentu sahaja tidak terlibat.

Baik , yang kedua adakah ESSCOM melakukan kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dalam mengatasi aktivti penculikan, tambahan kini kita dapati ESSCOM ini berhadapan dengan satu kumpulan yang disebut oleh YB Menteri iaitu satu kumpulan Kidnap for Ransom Group (KFRG).

Dia sebut ada satu istilah yang digunakan, saya tidak pasti ini nama kumpulan itu ataupun kerajaan yang menamakan itu sebagai kumpulan tersebut, daripada Selatan Filipina yang mana saya lihat kumpulan ini telah menyasarkan satu soft target ataupun sebuah kawasan mudah untuk mereka melakukan aktiviti - aktiviti penculikan mereka.

Jadi ini merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan. Maka saya minta supaya pihak kerajaan jelaskan apakah telah ada satu kerjasama dengan pihak Filipina ataupun tidak.

Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: Sedikit sahaja saya hendak tumpang perkara ini sebab sebelum ini Kerajaan Malaysia bertungkus lumus untuk melibatkan diri untuk satu perjanjian pendamaian dengan kumpulan Bangsamoro. Sekarang nampaknya sudah dapat mencapai itu, kita ingin dapat tahu apakah balasan daripada berkuasa Filipina untuk memastikan sempadan kita juga selamat. Bukan sahaja Malaysia yang menyumbang untuk keselamatan dan kedamaian di Filipina tetapi apa yang dibalas oleh pihak berkuasa Filipina.

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: Okey, saya kira soalan itu boleh masukkan dalam soalan saya untuk dijawab oleh pihak kerajaan tentang bagaimana situasi kerjasama yang sedang dilakukan oleh pihak kerajaan.

Kemudian yang kedua dalam masa yang singkat ini, satu lagi ialah saya ingin menarik perhatian untuk rujukan :

B.6 Butiran 470000 TalentCorp

yang mana ini adalah berkait dengan rancangan untuk membawa pulang tenaga-tenaga pakar yang berada di luar negara untuk mereka pulang berkhidmat dalam negara kita.

Saya dapat maklumat di mana 300,000 orang sebenarnya rakyat Malaysia yang berkemahiran dalam pelbagai lapangan bekerja di luar negara tetapi setakat ini kejayaan hanya membawa pulang sekitar 3,110 orang sahaja. Ertinya terlalu jauh daripada jumlah yang ada dan sasaran yang ingin dicapai.

Jadi, peruntukan yang telah diberikan kepada TalentCorp ini apakah sebenarnya digunakan oleh pihak kerajaan dengan cara berkesan untuk memastikan satu strategi membawa pulang tenaga-tenaga pakar ini berkhidmat dalam negara kita bagi memastikan, insyaallah, negara kita juga boleh mencapai negara maju pada masa akan datang.

Share on Myspace