UPSR: Tidak semudah itu kementerian beri respons

NASRUDIN HASSAN | .

Saya merujuk kepada Butiran 080000 – Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beberapa tahun yang lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah pun menyasarkan penggunaan Bahasa Melayu dalam sesi pengajaran kursus undang-undang di institusi pengajian tinggi di seluruh negara dengan sasaran untuk mencapai 70 peratus. Sasaran ini, saya difahamkan adalah sebahagian daripada matlamat untuk memperkasakan sistem perundangan negara melalui bahasa kebangsaan.

Jadi saya mohon daripada pihak kementerian untuk menjelaskan sejauh mana pencapaian sasaran ini sehingga saat ini yang mana saya kira sepatutnya sasaran telah pun berada pada paras 40 ke 50 peratus. Kemudian, keduanya ialah pelan tindakan yang dirangka dan dilaksanakan ke arah mencapai sasaran itu khususnya yang telah dibuat di peringkat sistem pengajaran dan pembelajaran.

Tuan Pengerusi, pada tahun 2013, Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut terlibat sama dalam penerbitan Buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Massa oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Itu nama yang dipakai pada waktu itu yang mana bertujuan untuk memastikan semua media penyiaran dan juga media cetak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu seragam dalam siaran radio, televisyen, akhbar dan juga majalah.

Akan tetapi kalau kita lihat pada hasilnya yang berlaku pada hari ini, pelaksanaannya masih berada pada tahap yang sangat tidak memuaskan di mana kecelaruan penggunaan bahasa Melayu ataupun bahasa Malaysia masih lagi berleluasa sama ada dalam media kerajaan ataupun media swasta. Sama ada kesalahan itu pada penggunaan bahasa ataupun pada tulisan dan juga sebutannya. Ini masih lagi terlalu ketara. Jadi sebagai pihak yang bertanggungjawab membina, mengembangkan dan juga memasyarakatkan serta membudayakan bangsa Melayu, saya ingin penjelasan sejauh manakah sebenarnya bidang kuasa dan juga peranan Dewan Bahasa dan Pustaka ke atas pihak-pihak yang berkenaan ini.

Seperkara lagi ialah pada awal tahun ini, negara kita telah pun dikejutkan dengan satu isu novel Pantai Kasih yang telah dijadikan sebagai komponen  sastera Tingkatan 4, yang mana dilaporkan bahawa novel ini mempunyai unsur lucah yang telah menonjolkan hubungan negatif antara seorang doktor dengan jururawat dalam novel tersebut sehingga ia mencetuskan kemarahan para ibu bapa dan juga orang ramai termasuk pelbagai pihak yang mengamati dan juga mengikuti perkembangan sastera dalam negara kita.

Jadi walaupun pihak penerbit buku juga bertanggungjawab terhadap kualiti penulisan yang akan diterbitkan supaya dia dapat membina pemikiran pembaca daripada hanya memikirkan soal keuntungan penerbitan buku semata-mata tetapi saya lihat juga ialah panel pemilih yang juga turut bertanggungjawab bagi komponen sastera ini sepatutnya peka dengan masalah ini sebelum ia menjadi sebahagian daripada kandungan dalam kurikulum sekolah menengah di negara kita. Jika tidak, memang ini akan menjejaskan imej dan juga kredibiliti Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah organisasi yang telah pun diberikan peranan untuk memperkasakan sastera kebangsaan melalui pembinaan dan juga perluasan khalayak sastera serta penghasilan produk sastera yang berkualiti tinggi dalam negara kita.

Kedua saya merujuk kepada Butiran 060000 – Dasar, Penilaian dan Pengurusan Prestasi. Dalam perkara ini saya ingin mengulas mengenai dengan keputusan UPSR baru-baru ini yang telah pun menunjukkan satu pencapaian yang sangat berbeza dari tahun-tahun yang lalu yang mana jumlah mereka yang mendapat kesemua ‘A’ berkurangan sebanyak 87 peratus daripada 38,344 kepada hanya 4,896 orang sahaja pada tahun ini.

Kita semua memahami bahawa pelajar UPSR ini telah menggunakan satu sistem baru iaitu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ini yang telah pun mula diterapkan sejak daripada tahun 2011 untuk pelajar Darjah 1 tahun 2011. Manakala dalam Malaysia Education Blueprint dengan izin, 2013–2025 meletakkan sistem KBAT ini akan diterapkan 40 peratus dalam soalan-soalan UPSR. Ini juga bererti orientasi peperiksaan berubah daripada asas membaca, mengira dan menulis kepada suatu tahap yang lebih tinggi iaitu berfikir, menyelesaikan masalah dan menganalisis situasi.

Namun apa yang mengecewakan saya ialah apabila kementerian telah memberi satu ulasan yang sangat simplistic terhadap keputusan yang begitu rendah pada keputusan UPSR baru-baru ini yang mana alasan dan ulasan yang diberikan oleh pihak kementerian bahawa keputusan itu adalah memuaskan apatah lagi ini adalah merupakan batch yang pertama yang mengaplikasikan sistem KBAT ini.

Jadi saya fikir sepatutnya tidak semudah itu bagi kementerian untuk memberi respons terhadap penurunan yang begitu ketara sebagai suatu pencapaian yang memuaskan. Hujah saya Tuan Pengerusi, pelaksanaan KBAT ini, ia sebenarnya telah bermula sejak tahun 2011, bermula dengan Darjah 1. Maknanya dalam tempoh enam tahun, mereka telah menggunakan sistem KBAT ini dalam proses pembelajaran dan juga pengajaran mereka di sekolah. Maknanya sepatutnya dalam tempoh enam tahun itu, mereka selayaknya telah memahami dan telah sebati dengan sistem KBAT ini. Tetapi dengan keputusan UPSR baru-baru ini yang diumumkan baru-baru ini, ternyata rendah dan keupayaan di kalangan mereka untuk mendapat straight ‘A’ itu sangat rendah.

Jadi, saya ingin mendapatkan penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku? Apakah memang murid itu yang gagal untuk mengadaptasi sistem yang telah dikemukakan oleh pihak kementerian atau keupayaan guru dalam mengajar pelajar-pelajar ini terbatas sehingga keputusan yang sedemikian telah keluar dan memang ia telah menjadi satu penanda aras yang cukup membimbangkan kita kerana kita melihat bahawa ini telah enam tahun dilaksanakan. Persoalan yang lebih luas lagi, apakah polisi kerajaan ini tidak dapat diadaptasi dengan baik oleh sistem pendidikan di sekolah-sekolah?

Ini persoalan yang sangat besar, kementerian perlu berikan perhatian dan ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh dan dijawab begitu mudah sahaja bahawa ini adalah pencapaian yang memuaskan.

Ini kerana pada saya jika sekiranya kerajaan menyebut bahawa angka ini adalah merupakan suatu pencapaian yang memuaskan, maka ini adalah satu sikap bermudah-mudah tanpa meletakkan apakah sebenarnya hasil kajian daripada kejatuhan keputusan ini ataupun kementerian sebenarnya tidak bersedia, tidak ada kajian yang lengkap. Kajian terhadap polisi yang telah dibuat, yang telah dilaksanakan. Apakah pencapaian itu berdasarkan kepada pelan yang telah pun ditetapkan?

Sebab itu saya ingin tekankan di sini, pada pandangan saya ialah kementerian perlu ada satu badan bertindak untuk melakukan analisis terhadap sebarang polisi-polisi yang besar yang telah pun dikemukakan terutamanya seperti KBAT ini. Apakah ia telah menepati polisi yang telah ditetapkan dengan penilaian impak yang telah ditetapkan?

Saya perlukan jawapan daripada kementerian ini supaya kita dapat menilai secara objektif kelemahan yang terdapat dalam polisi baru ini sepanjang tempoh ia dilaksanakan iaitu tempoh enam tahun sejak tahun 2011 sampailah kepada 2016. Ini juga akan memberikan kesan kepada masa depan pelajar untuk mereka menyambung ke peringkat sekolah menengah.

Kalau hanya 4,000 yang mendapat 6A, ertinya selepas ini sekolah berasrama penuh akan kehilangan pelajar. Nampaknya mereka terpaksa menurunkan pula gred kemasukan ke peringkat asrama penuh, di peringkat sekolah menengah nanti. Jadi kalau mereka turunkan kepada 3A, 3B sebagai contoh atau 4A, 2B sebagai contoh, ertinya mereka balik asal. Balik asal seperti tidak ada KBAT. Mereka terpaksa turunkan gred itu untuk masa depan pelajar sekolah rendah ini. Jadi apakah ertinya KBAT itu kalau sekiranya ia gagal untuk menepati apa yang disasarkan oleh pihak kementerian?

Oleh sebab masa sangat terbatas, saya kira sekadar itu yang dapat saya kemukakan. Saya harap jawapan yang tuntas daripada pihak kementerian, terima kasih. - HARAKAHDAILY 23/11/2016

Ucapan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan ketika membahaskan Anggaran Pembangunan 2017 Kepala B.63 dan Kepala Pembangunan P.63 di bawah Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat pada 22 November 2016.

Share on Myspace