Dari Tanah Suci ke Rusila

NASRUDIN HASSAN | .

Sekali Serban Dililit. 60
Dari Tanah Suci ke Rusila

1. Ayah Chik apa khabar? Baik Alhamdulillah, Ayah Chik menjawab ringkas. Mari nak peluk orang baru balik umrah ni, sambil beliau memeluk saya dan mengucap selamat pulang. Saya baru sahaja tiba dari Tanah Suci sekitar jam 11.00 pm semalam.

2. Pada jam 12.30 tengah hari tadi, saya langsung ke Rusila untuk menziarahi Ayahanda YB Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang kini namanya terhangat di pasaran ekoran kehadiran beliau ke Muktamar Perpaduan Islam Antarabangsa ke 30 di Tehran tempoh hari.

3. Dari persoalan politik tanah air hinggalah isu politik antarabangsa dikupas dan diulas secara panjang lebar. Lebih menarik YB DS Tuan Guru turut menjelaskan sikap beliau terhadap konflik di Syria dan kenapa beliau hadir ke persidangan di Tehran.

4. Saya tidak berhasrat untuk menyalin semula "kuliah politik antarabangsa" yang telah disampaikan secara langsung kepada saya petang tadi di kolum terhad ini. Sebaliknya biarlah anda dengar dan baca sendiri dari bicara  dan pena YB  DS Tuan Guru selepas ini. Insyaallah Lajnah Antarabangsa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh beliau sendiri akan menganjurkan Talk Show dan Wacana Khas bersama YB DS Tuan Guru mengenai isu Konflik di Syria dalam masa terdekat ini.

5. Kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf kepada semua pihak ekoran khilaf saya dalam memahami atas kapasiti apa YB DS Tuan Guru hadir ke persidangan di Tehran baru-baru ini, sebagaimana yang saya catatkan pada point ke-5 dalam artikel peribadi saya "Sekali Serban Dililit. Siri ke 59" yang bertajuk: Hentikan Keganasan.

6. YB DS Tuan Guru menjelaskan kepada saya bahawa beliau pergi ke persidangan itu adalah atas kapasiti beliau sebagai Presiden PAS, bukan mewakili Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) namun beliau telah memaklumkan perkara ini kepada pihak KUIS sebelum menghadiri persidangan tersebut.

7. Justeru itu saya juga telah menggantikan point ke-5 dalam artikel saya sebelum ini (Sekali Serban Dililit. Siri 59) dengan ayat atau point yang baharu dan mengekalkan keseluruhan point-point yang lain.

8. Paling penting ialah PAS komited menentang sebarang bentuk keganasan, kezaliman dan campur tangan asing dalam urusan ummat Islam dan negaranya. Sebagaimana PAS mendukung fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah bukan fahaman Syiah bagai yang difitnah.

9. PAS juga aktif melalui pelbagai pendekatan termasuk menggunakan khidmat proksi dan NGO-NGO untuk menyalurkan pelbagai sumbangan kemanusiaan kepada mereka yang tertindas di negara bergolak serta penglibatan serius dalam misi damai dan menangani konflik antarabangsa.

10. Sebagai makluman kepada rakan pembaca setiap edisi tulisan saya, bahawa tulisan saya terbahagi kepada dua kategori:

Kategori Pertama: Tulisan Rasmi

i - Kenyataan Media Penerangan (bersiri)
ii - Al Bayaanul Mubin (bersiri)

(Ianya diterbitkan atas nama Ketua Penerangan PAS pusat setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Harian PAS Pusat)

Kategori Kedua: Tulisan Peribadi

i - Sekali Serban Dililit (bersiri)
ii - Perkongsian Dari Parlimen (bersiri)
iii - Posting atau status biasa di facebook

(Ianya diterbitkan atas nama Nasrudin bin Hassan atau status di facebook saya tanpa meletak nama atau jawatan)

Sekian.

Masjid Rusila Terengganu
21 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 21/12/2016

Share on Myspace