Wanita dan politik

NASRUDIN HASSAN | .

1. Politik adalah satu tuntutan syarak dan menjadi keperluan ummah. Ianya menepati satu bahagian agama yang wajib ditangani berlandaskan petunjuk Allah SWT untuk menyusun atur dan mengurus tadbir kehidupan ummah di atas muka bumi ini.

2. Tanpa petunjuk Allah SWT, politik menjadi kotor dan kejam. Inilah antara peranan utama khalifah Allah swt di atas muka bumi sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniyyah:

نِيابةً عن النبوة في إِقامة الدين و سياسة الدنيا به

"Menyambung tugas kenabian dalam urusan menegakkan agama (Islam) dan mentadbir dunia dengan menggunakan agama (Islam).

3. Justeru kaum wanita juga bertanggungjawab untuk melibatkan diri dengan perjuangan ini bagi menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran.

4. Islam tidak mengenepikan wanita dan peranan mereka dalam kehidupan, perjuangan, mempertahankan hak serta berlumba-lumba menggapai pahala dalam setiap amal kebajikan.

Firman Allah SWT:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At Taubah: ayat 71)

5. Janganlah kaum wanita menganggap bahawa urusan perjuangan khasnya di pentas politik hanya urusan kaum lelaki sebaliknya keperluan kaum wanita menangani kerencaman politik moden hari ini sangat diperlukan.

6. Penglibatan wanita dalam kancah politik tanah air menjadi satu kewajipan kontemporari terutama bagi mengangkat maruah kaum wanita yang sering dieksploit oleh politik Machiavelli yang tidak mempunyai sempadan dosa dan pahala.

7. Wanita menjadi salah satu sayap penting kepada perjuangan untuk memartabatkan maruah ummah dengan menegakkan keadilan, kebenaran dan keluhuran aqal budi manusia berpaksikan petunjuk Allah SWT Tuhan Yang Maha Mencipta.

8. Wanita tidak lagi boleh terperuk di dapur tetapi bangkit menjadikan dapur mereka sebagai kilang untuk menyajikan segala keperluan ummah untuk tampil dan muncul sebagai ummat yang kuat dan terbaik sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Allah swt di dalam Al Quran:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Surah Ali Imran: ayat 110)

9. Namun penegasan penting bagi kaum wanita sebagai susuk tubuh yang dimuliakan oleh Allah SWT agar memelihara maruah diri apabila keluar ke medan juang. Jangan berjalan seorang diri melainkan ditemani mahram atau dalam kelompok wanita yang ramai dan selamat. Pelihara aurat wanita serta tidak melunakkan suara sehingga mencetus fitnah dalam bermuamalah dengan kaum lelaki yang bukan mahram.

10. Sementara kaum lelaki yang bergelar suami atau ayah kepada wanita, benarkanlah mereka turun ke medan juang malah iring dan temani mereka menyertai perjuangan suci ini. Jangan "kurung" jasad dan pemikiran mereka sehingga memberi peluang kepada musuh terus keriangan "menjarah" dan "menjajah" pemikiran ummah khasnya kaum wanita. - HARAKAHDAILY 26/12/2016

https://telegram.me/nasrudinhassan

Share on Myspace