Fitnah copy & paste

NASRUDIN HASSAN | .

1. Mudah dan pantas serta pedas dan rangup. Begitulah senang cerita bagi saya gambarkan betapa renjatan aliran fitnah yang mampu mengorbankan akhlak dan nilai kemanusiaan pemangsa atau pembawa virus fitnah.

2. Mereka hanya perlu "copy & paste" dan mereka hanya perlu "click & foward" untuk viralkan seantero dunia sebarang fitnah.

3. "Print Screen" juga satu fenomena untuk menceroboh dan mendedahkan privasi individu, group atau jamaah.

4. Wabak ini turut melanda sebahagian anggota gerakan Islam. Mereka teruja untuk menjadi orang pertama kononnya dalam menyebarkan maklumat, tanpa menyelidik benar salahnya maklumat tersebut.

5. Mereka terlalu ghairah untuk mencari rating dan ranking dari kalangan pembaca sama ada blog, facebook, whatsapp, we chat, telegram dan sebagainya. Mereka lupa untuk menempatkan diri pada rating di sisi Allah SWT.

6. Terdapat juga pihak yang sengaja cipta fitnah dengan melakukan pengkhianatan kepada jamaah. Belum sempat pengerusi majlis menutup majlis mesyuarat dengan tasbih kaffarah dan surah Al Asr, satu persatu minit mesyuarat boleh dibaca dan dimuat turun oleh mereka yang berada Amerika, Britain, Australia, Singapura dan lainnya.

7. Selayaknya kita tahu asas rujukan dan sandaran bertindak sebagai seorang pejuang Islam dan pendakwah. Amalkan prinsip tabayyun (selidiki kebenaran) lalu bertindak memberi sokongan dan membantu pada yang benar dan tidak bersekongkol apalagi menjadi tali yang membarut kesalahan dan fitnah.

8. Tiada sikap playsafe antara benar dan salah. Jangan ambil sikap muzabzab (benar pun tidak sokong salah juga tidak sokong kononnya) semata-mata nak jaga hati atau memang berniat mahu makan keliling. Seperkara lagi, ingatlah pesan Nabi SAW:

سَتَكُونُ فِتَنٌ ، الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنْ الْقَائِمِ ، وَالْقَائِمُ فِيهَا خَيْرٌ مِنْ الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنْ السَّاعِي ، وَمَنْ يُشْرِفْ لَهَا تَسْتَشْرِفْهُ ، وَمَنْ وَجَدَ مَلْجَأً أَوْ مَعَاذًا فَلْيَعُذْ بِهِ

Maksudnya: Akan berlaku fitnah, orang yang duduk padanya lebih baik dari berdiri. Orang yang berdiri padanya lebih baik dari berjalan. Orang yang berjalan padanya lebih baik dari berlari. Sesiapa yang berhadapan dengan fitnah, hendaklah ia mendepaninya dan barangsiapa yang menemui tempat persembunyian maka berlindunglah dengannya. (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)

9. Jika jelas sesuatu kebenaran, maka kita mesti berpihak pada yang benar justeru kita pejuang kebenaran. Tegakkan yang benar dengan hikmah.

10. Jika kita tidak tahu mana yang benar atau tidak tahu betul duduk sesuatu perkara, maka diam itu lebih baik. Jangan siram petrol atas bara api. Jangan gatal tangan untuk copy & paste. - HARAKAHDAILY 29/12/2016

Share on Myspace