Mujahid Siber: Tangani dakwah siber

NASRUDIN HASSAN | .

1. Mujahid Siber merangkap ad-dae’I Ilallah adalah sebuah institusi penting buat ummah. Berfungsi untuk memberi pedoman dan menunjuk jalan ke arah mardhatillah.

2. Menyambung risalah an nubuwwah dalam memimpin, membimbing dan menyelamatkan ummah dari kegelapan jahiliyyah kuno atau moden.

3. Sementelah dilihat dewasa kini, ummah sedang berhadapan dengan ancaman berbisa dari musuhnya yang memangsakan aqidah, fikrah dan syakhsiyyah tanpa simpati, khasnya melalui media baru.

4. Lebih malang apabila sebahagian besar dari mereka terperangkap dalam kejahilan yang tebal dan kelalaian yang melampau.

5. Dunia dan ummah memerlukan Mujahid Siber (pejuang di alam siber) sebagai dae’i (pendakwah) yang ikhlas dan gigih meredah segala rintangan, malah membelah segala halangan demi menyelamatkan ummah agar tidak musnah dan binasa lantaran pengaruh fitnah serta maklumat palsu yang berlegar di media baru.

6. Kehadiran Mujahid Siber atau dae’i siber bukan sebagai badan sukarela atau kebajikan yang melaksanakan tugas secara volunteer tetapi ia adalah suatu yang bersifat ijbaari (wajib laksana) justeru ia adalah perintah Allah swt ke atas setiap individu muslim.

Firman Allah swt:

أدع إلى سبيل ربك بالحكمة و الموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله و هو أعلم بالمهتدين

Serulah (dakwahlah) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan berdebatlah dengan baik (mencari kebenaran). Sesungguhnya tuhanmu, Dialah yang Maha Mengetahui siapa yang menyeleweng (sesat) dari jalanNya dan Dialah yang Maha Mengetahui siapa mendapat petunjuk. (Surah an-Nahl: 125)

ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير و يأمرون بالمعروف و ينهون عن المنكر و أولئك هم المفلحون

Hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah yang menyeru manusia ke arah kebaikan, menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan. (Surah a’ali Imran: 104)

5 Januari 2017 / 6 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 5/1/2017

Share on Myspace