Pemimpin mesti berilmu

NASRUDIN HASSAN | .

1. Sebagai anggota gerakan Islam, kita mesti berusaha untuk menuntut ilmu. Khasnya mereka yang berada pada posisi pemimpin, justeru kita tidak punya pilihan.

2. Siapapun yang mahu dipilih sebagai ketua atau pemimpin, ilmu adalah syarat utama. Pemimpin mesti berilmu. Terlebih wajar, ketika kita memilih pemimpin kepada gerakan Islam. Pemimpin itu mesti berilmu dan memahami Islam yang mahu diperjuangkan.

Dari Tamim Ad Daari Rha bahawa Saidina Umar Al Khattab Rha telah berkata:

 إِنَّهُ لَا إِسْلَامَ إِلَّا بِجَمَاعَةٍ ، وَلَا جَمَاعَةَ إِلَّا بِإِمَارَةٍ ، وَلَا إِمَارَةَ إِلَّا بِطَاعَةٍ ، فَمَنْ سَوَّدَهُ قَوْمُهُ عَلَى الْفِقْهِ ، كَانَ حَيَاةً لَهُ وَلَهُمْ ، وَمَنْ سَوَّدَهُ قَوْمُهُ عَلَى غَيْرِ فِقْهٍ ، كَانَ هَلَاكًا لَهُ وَلَهُمْ " .

Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan adanya jamaah. Tiada jamaah melainkan dengan adanya kepimpinan. Tiada kepimpinan melainkan dengan adanya ketaatan. Maka barangsiapa yang kaumnya telah melantiknya sebagai pemimpin berdasarkan kefahaman, ia adalah kejayaan baginya dan mereka. Barangsiapa yang kaumnya telah melantiknya sebagai pemimpin tanpa berdasarkan kefahaman, ia adalah kecelakaan baginya dan mereka. (Sunan Ad Daarimi)

3. Seseorang yang tidak menguasai dan memiliki ilmu Islam adalah tidak wajar dipilih atau dilantik menjadi pemimpin gerakan yang memperjuangkan Islam.

4. Nabi kita Muhammad SAW telah menjelaskan kesan langsung jika mereka yang tidak berilmu dilantik atau dipilih sebagai ketua.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba tetapi Dia menarik ilmu dengan mengambil nyawa para ulamak sehingga apabila tiada lagi ulamak, orang ramai melantik ketua-ketua yang jahil lalu mereka ditanya lantas mereka memberi fatwa tanpa ilmu lantaran itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Imam Nawawi dalam Syarah Muslim menghuraikan hadis di atas dengan katanya:

(وَفِيهِ التَّحْذِير مِنْ اِتِّخَاذ الْجُهَّال رُؤَسَاء )

“Hadis ini mengandungi amaran mengambil orang-orang jahil menjadi ketua.”

6. Orang-orang jahil yang dimaksudkan oleh beliau ialah orang-orang jahil yang tak mampu merujuk kepada al-Quran dan al-hadis dalam memberikan pandangan kerana hadis di atas merujuk kepada orang-orang berilmu tentang al-Qur’an dan al-Hadis.

6 Januari 2017 / 7 Rabiul Akhir 1438
Irsyad Balok - HARAKAHDAILY 6/1/2017

Share on Myspace