Kepimpinan ulamak

NASRUDIN HASSAN | .

1. Kepimpinan ialah suatu institusi, sementara ulamak adalah merit ilmu yang dimiliki. Ringkasnya kepimpinan ulamak adalah institusi kepimpinan secara kolektif (jamaei) yang memiliki ilmu untuk memimpin jamaah (parti) dan ummah (masyarakat). Ianya satu kewajipan yang mesti ditegakkan.

2. Berlawanan dengan kepimpinan ulamak ialah kepimpinan juhalak. Iaitu institusi kepimpinan secara kolektif tanpa ilmu (jahil) untuk memimpin jamaah dan ummah. Ianya satu kebatilan yang mesti dicegah.

3. Sebagaimana yang disebut oleh Imam Bukhari di dalam shohihnya, Kitabul Iman bab:الإغْتِبَاطِ فِي الْعِلْمِ وَالْحِكْمَةِ:  bahawa Saidina Umar Al Khattab Rha pernah berkata:

تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا

"dalami olehmu (akan ilmu) sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin."

4. Merit utama untuk memimpin ialah memiliki ilmu. Tanpa ilmu bagaimana seseorang itu mampu untuk memimpin. Pemimpin persatuan matematik selayaknya mempunyai ilmu matematik yang baik. Pemimpin persatuan alam sekitar sayugianya mempunyai ilmu alam sekitar yang baik.

5. Selayaknya juga pemimpin jamaah (Gerakan) Islam adalah terdiri dari kalangan mereka yang memiliki ilmu Islam yang baik dan mendalam (alim ulamak).

6. Tidak masuk akal jika kepimpinan gerakan Islam adalah kepimpinan tanpa ilmu yang baik dan mendalam. Kaedah umum yang diterima pakai ialah:

فاقِدُ الشئ لا يُعْطِيْه

"yang tidak memiliki apa-apa (kosong/jahil) ia tidak boleh memberi apa-apa."

7. Kepimpinan ulamak bukan isu batang tubuh figure si polan bin si polan, tetapi adalah berkait nilai merit yang dimiliki iaitu ilmu Islam yang mendalam untuk melayakkan ia menduduki amanah kepimpinan Gerakan Islam.

8. Justeru nilai merit inilah yang akan membawa kebaikan dalam kepimpinan.

Dari Muawiyah bin Abi Sufian Radhiallahua'nhuma telah berkata bahawa aku telah mendengar Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّين

"Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah swt, nescaya diberikan kefahaman mendalam pada urusan agama." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

9. Inilah usul dan asal Kepimpinan Ulamak khasnya yang diterima pakai dalam PAS. Sebuah gerakan atau jamaah yang meletakkan Ilmu Islam yang mendalam sebagai merit kepimpinan.

10. Maksudnya siapa jua yang memiliki merit ini maka ia layak menggalas amanah kepimpinan gerakan Islam ini. Kerana sangat tidak munasabah bagi seseorang yang mahu memimpin Gerakan Islam tetiba ia sendiri jahil atau lemah ilmu mengenai Islam.

11. Seorang juru jual yang baik dan cemerlang serta berjaya ialah juru jual yang memiliki "product knowledge" yang baik. Pemimpin yang baik, cemerlang dan berjaya ialah pemimpin yang memahami dasar perjuangannya.

12. Sementara dasar perjuangan PAS ialah Islam maka pemimpinnya mesti memahami Islam dengan baik untuk memacu perjuangannya.

13. Ertinya Kepimpinan Ulamak dalam PAS adalah berasal dari pedoman Islam dan kesedaran terhadap tuntutan syariatnya. Menganggap ianya sebagai salinan (copy paste) dari "Wilayah Fakeh" sebagaimana amalan syiah di Iran adalah merupakan tohmahan yang tidak wajar.

14. Sekali lagi saya tegaskan bahawa Kepimpinan Ulamak adalah institusi murni berteraskan prinsip kepimpinan yang diasuh oleh Islam. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Dan tidaklah (wajar) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian dari kalangan mereka untuk mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya apabila mereka kembali kepada kaum mereka. Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah At Taubah: 122)

(bersambung)

Share on Myspace