Nizam Al-Mulk dan sistem pentadbiran Kerajaan Islam

Pimpinan
Typography

BERBEZA dengan pemikir siasah Islam sebelumnya yang banyak memberi fokus kepada falsafah negara ideal dan fiqh kenegaraan, Nizam al-Mulk, seorang sarjana Islam yang aktif dalam pentadbiran negara membawa pendekatan baru pemikiran politik Islam. Beliau mengambil pendekatan yang bersifat code of conduct dalam sistem pentadbiran Islam. Pendekatan beliau adalah sesuai dengan kedudukan Bani Saljuk dalam Daulah Abbasiyah yang sedang berada di puncak kegemilangan sehingga dikatakan sebagai golden age bagi Baghdad sebagai pusat kekhalifahan Islam. Ternyata faktor kesarjanaan Nizam al-Mulk, keagungan Dinasti Saljuk dan kedudukan beliau sebagai wazir (perdana menteri) yang paling terkenal dalam sejarah Daulah Abbasiyah.

fadli ghaniSebenarnya, tema pentadbiran Islam yang diangkat oleh Nizam al-Mulk turut dipelopori oleh Imam al-Ghazali (m. 1111M) dan al-Mawardi (m. 1059M) dalam karya mereka. Nasihat al-Muluk karya al-Ghazali dan al-Ahkam as-Sulthaniyah wa al-Wilayah ad-Diiniyah karya al-Mawardi pada asasnya membawa tema tentang sistem pentadbiran negara. Tetapi, karya Nizam al-Mulk, Siyar al-Mulk atau teks asal berbahasa Parsinya, Siyasat Nama ternyata sangat berpengaruh di Alam Melayu dan menjadi rujukan tentang sistem pentadbiran kerajaan Islam di rantau ini. Dua karya besar di Alam Melayu, Bustan as-Salatin karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan Taj as-Salatin karya Bukhari al-Johori yang dipengaruhi oleh karya Nizam al-Mulk ini.

Nizam al-Mulk: Sarjana Politik Saljuk

Nizam al-Mulk adalah seorang pentadbir utama kerajaan Bani Saljuk di bawah Daulah Abbasiyah. Beliau dilahirkan pada 408H/1018M, di sebuah bandar kecil, Radkhan yang terletak di pedalaman daerah Tus, dalam negara Iran sekarang. Nama sebenar beliau ialah Abu Ali Hassan bin Ali bin Ishak al-Tusi. Ayahnya seorang pegawai kerajaan Ghaznawi, sedangkan beliau juga pernah menjadi pegawai Ghaznawi sebelum menjadi gabenor Saljuk. Beliau pernah menjadi mushi (konsul) dan katib (setiausaha) kepada Alp Arslan, sebelum menjadi wazir. Beliau menjadi wazir kepada Alp Arslan (1063-1072M) dan Malik Shah I (1072-1092M). Beliau sebelumnya mendalami hadis dan fiqh di bawah guru utamanya, Abdul Samad Funduraji dan Imam Muwaffaq. Beliau juga belajar di Bukhara, Merv dan beberapa bandar di Transoxiana.

Selain peranannya sebagai perdana menteri, sumbangan terbesar Nizam al-Mulk ialah menubuhkan madrasah Nizamiyah sebagai sebuah universiti yang terulung ketika itu, dan dapat melahirkan ulamak besar seperti Imam al-Juwaini (m. 1085M) dan al-Ghazali. Di samping itu juga, beliau sangat terkenal kerana pembaharuan-pembaharuan pentadbiran yang dibuat terutama dalam menstabilkan negara yang melibatkan hubungan Tukri-Parsi, Sunni-Syiah, Sultan-Khalifah dan Saljuk-Abbasiyah. Dua karya terbesar beliau dalam bidang politik ialah Siyasat Nama atau Siyar al-Muluk dan Qabus Nama atau Dastur al-Wuzara. Walau bagaimanapun, seorang pembesar politik, beliau mempunyai banyak musuh, terutama pesaing Saljuk. Beliau akhirnya mati dibunuh oleh kelompok Syiah.Qaramithah di Nahavand pada 1092M.

Pendekatan kepemimpinan Nizam al-Mulk

Nizam al-Mulk sebagai pemimpin besar Bani Saljuk terkenal kerana pendekatan politiknya yang menarik dalam menghadapi Sultan Alp Arslan dan juga dalam memenuhi keperluan rakyat. Menjejaki pendekatan Saiyidina Umar bin al-Khattab, beliau terkenal kerana mengambil pendekatan pentadbiran 'turun ke bawah' untuk memahami masalah dan keperluan rakyat. Ternyata pendekatan ini menjadikan beliau begitu popular dalam kalangan rakyat. Langkah pentadbiran beliau sangat penting dan berpengaruh ialah perhatian besar beliau terhadap sistem pendidikan tinggi, sehingga dapat menubuhkan madrasah Nizamiyah di Baghdad pada 459H / 1067M. Penubuhan madrasah ini telah membolehkan beliau menguasai kelompok elit ilmuwan.

Sebagai perdana menteri, beliau mengambil tiga langkah utama. Pertama, menjamin kestabilan negara dengan memberikan pekerjaan kepada imigran Turki yang datang ke Parsi selepas kejayaan Saljuk. Kedua, meningkatkan kekuatan tentera untuk menghadapi pemberontak. Dan ketiga, mempertahankan kedudukan pemimpin tempatan tanpa mempertimbangkan Sunni atau Syiah, tetapi semua gabenor mesti dari Bani Saljuk. Dengan pendekatan yang diambil ini, Daulah Abbasiyah telah menjadi stabil dan kuat, sedangkan lima kerajaan Saljuk yang wujud di bawah Daulah Abbasiyah ketika itu menjadi sumber kekuatan Daulah Abbasiyah. Dalam tempoh selama 30 tahun sebagai Perdana Menteri Saljuk, Nizam al-Mulk diakui sebagai wazir terbaik dalam sejarah.

Sistem pentadbiran kerajaan menurut Nizam al-Mulk

Kitab Siyar al-Mulk yang dikarang oleh Nizam al-Mulk pada asasnya mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian pertama dengan 39 bab yang menjelaskan tentang aturan atau panduan pentadbiran dalam tatakelola pemerintahan negara, sedang bahagian kedua dengan 11 bab memberikan fokus kepada pertahanan negara dalam menghadapi ancaman aliran-aliran sesat. Pada bahagian pertama, tumpuan diberikan oleh beliau tentang percukaian, melantik pegawai kerajaan, pembentukan biro inteligen, penyusunan tentera, pemberian pangkat kepada orang yang berjasa dan pelatihan pegawai istana. Manakala bahagian kedua menjelaskan kedudukan kelompok Mazdak, Qaramitah, Syiah dan kumpulan batiniah sebagai ajaran sesat yang mengancam negara.

Buku ini memberi gambaran umum tentang pemikiran politik pentadbiran Nizam al-Mulk yang sebenarnya agak dipengaruhi oleh budaya politik Parsi, selain menjelaskan bagaimana administrasi negara dikendalikan mengikut cara Islam. Beberapa aspek penting yang boleh dilihat dalam pemikiran Nizam al-Mulk tentang pentadbiran negara, iaitu:

1) Beliau menjelaskan, walaupun terdapat pengaruh budaya Parsi, tetapi gagasannya adalah mengikut pemikiran Mazhab Syafie dan Hanafi. Kelompok Qaramitah, Syiah dan Batiniah adalah tidak termasuk dalam ajaran Islam, kerana ia adalah ajaran yang mengancam negara. Negara mesti berhati-hati dengan mereka, termasuk tidak melantik mereka dalam pentadbiran. Turut ditolak oleh Nizam al-Mulk ialah penglibatan orang kafir dalam pentadbiran kerajaan, selain tidak bersetuju penglibatan perempuan dalam pentadbiran negara;

2) Pengelompokan tugas dan pekerjaan diagihkan mengikut kepakaran suku-suku bangsa Islam. Beliau mencadangkan tentera dilantik di kalangan orang Khurasan dan Dailamites. Manakala pembantu istana khalifah orang Turki, sedangkan pengurus pentadbiran negara diberi kepada orang Parsi; dan

3) Sistem birokrasi antara khalifah dan sultan dengan rakyat, mesti diwujud kelas atasan dan bawahan. Di mana para birokrat menjadi orang tengah di antara raja dan rakyat. Birokrat adalah pegawai yang melaksanakan dasar-dasar negara bagi pihak khalifah, dalam masa yang sama berfungsi memenuhi keperluan rakyat.

Dalam aspek pentabiran secara khusus, Nizam al-Mulk telah menghuraikan tentang beberapa tanggungjawab khalifah dalam memastikan kestabilan negara, antaranya:

1) Khalifah mesti sentiasa mengadakan pertemuan dengan rakyat secara mingguan untuk mendengar sendiri keluhan rakyat, mengetahui penyelewengan birokrat dan memahami keperluan rakyat. Pendekatan ini lebih berkonsep ombudsmen;

2) Penggajian dan upah birokrat yang setimpal dengan kerja mereka untuk mengelakkan penyelewengan;

3) Sistem penggiliran atau pertukaran (rotation) pegawai mesti dibuat untuk mengelakkan mereka berada di zon selesa dan terdedah kepada salah laku;

4) Pengawasan pegawai kerajaan melalui pembentukan agen inteligen. Rakyat juga berhak melaporkan penyelewengan pegawai kepada Diwan al-Nazar fi al-Mazalim.

5) Perlantikan hakim dan qadhi hendaklah dengan syarat yang ketat, di mana hakim mesti melaporkan penyelewengan hakim lain, dan semua pegawai kerajaan yang didakwa di mahkamah mesti meletakkan jawatan untuk mengelakkan bias.

6) Percukaian melalui Diwan.al-Kharaj adalah hak kerajaan yang dibalas dengan menjamin keamanan kepada rakyat, di mana Nizam al-Mulk menghurai dengan lebar hal-hal berkaitan percukaian dan pegawai-pegawainya;

7) Pembentukan agen inteligen di semua wilayah Islam untuk memantau keadaan politik dan sosial di setiap wilayah. Ia berfungsi untuk memantau keamanan dari dalam dan luar negara; dan

8) Sistem kemilitaran yang cekap sangat penting sama jumlah tentera mahupun persenjataannya. Ia melibatkan pengawal istana hinggalah pasukan tentera.

Pendekatan menarik yang dibawa oleh Nizam al-Mulk dalam menghurai tentang pentadbiran negara adalah dengan tidak memberi fokus yang meluas berkait hukum-hukum fiqh, walaupun pada asasnya beliau berpandukan Mazhab Syafie dan Hanafi. Sebaliknya, sebagai seorang pentadbir terkemuka, beliau banyak membawa kes studi dan juga anekdot-anekdot berdasarkan pengalaman dan peristiwa lampau untuk membentuk kefahaman pembaca tentang pemikiran pentadbirannya. Walaupun bercampur dengan budaya Parsi, Nizam al-Mulk tidak memesongkan pemikirannya daripada aspek asas pentadbiran Islam, sehingga meletakkan karyanya lebih terkehadapan daripada karya birokrasi Max Weber (m. 1920M).

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 29/5/2019