Mesyuarat Agung Khas jadi muktamar pertama dalam sejarah PAS

Pimpinan
Typography

KEJAYAAN mewujudkan disiplin parti ketika meluluskan Undang-undang Tubuh PAS 1951 rupa-rupanya telah memberi kesan terhadap proses pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS yang diadakan dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya pada 24 November 1951. Faktor sebenar yang membawa kepada krisis ini ialah parti yang baru ditubuhkan ini didukung oleh umat Islam yang aktif dalam pelbagai pertubuhan politik sebelum daripada ini, termasuk parti-parti yang diharamkan oleh British di bawah Ordinan Darurat 1948. Antara parti tersebut termasuklah Umno, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Persatuan Melayu Seberang Perai, Persatuan Anak Kalimantan (Perkam) dan Persatuan Pakistan Perak, serta ahli bekas-bekas parti seperti Hizbul Muslimin, AWAS, API, PKMM dan lain-lain yang hadir atas nama badan-badan bukan politik.

Fadli2Apabila peraturan disiplin parti diwujudkan, mana-mana orang yang dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS sama sekali tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik selain PAS secara serentak. Keadaan ini telah menimbulkan kegawatan ketika proses pencalonan dibuat. Hal ini kerana kebanyakan ulamak yang aktif dalam kepemimpinan politik adalah ahli-ahli Umno atau IMP. Syed Abdullah al-Edrus, Pengarang Qalam, mengkritik keras ulamak-ulamak yang masih 'sayangkan Umno' ketika proses penubuhan PAS sedang berlangsung. Hakikatnya, sebahagian mereka masih berjawatan dalam Umno atau parti-parti lain. Atas sebab ini, proses pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS hampir gagal. Hal ini berlaku disebabkan setiap kali seorang tokoh mendapat pencalonan, ia terpaksa menarik diri kerana masih menjadi ahli parti lain.

Mesyuarat Agung Khas PAS: Langkah merungkai kekusutan

Kekecohan yang berlaku kerana tidak ada tokoh ulamak yang sanggup dicalonkan untuk memegang jawatan-jawatan dalam PAS terus menimbulkan kebuntuan. Akhirnya, Pengerusi Persidangan, Ustaz Haji Ghazali Abdullah (ayahanda Dr Lo'lo' Ghazali) telah menggunakan kebijaksanaannya dengan menangguhkan persidangan tersebut sementara waktu untuk merungkaikan kebuntuan tersebut. Beliau kemudiannya telah mengisytiharkan bahawa Persidangan Persatuan Ulamak Malaya ditukar menjadi Mesyuarat Agung Khas PAS. Mesyuarat agung khas ini adalah muktamar yang pertama dalam sejarah PAS. Ia berlangsung sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama yang diadakan pada 3 Januari 1953. Tujuan Mesyuarat Agung Khas PAS pada 24 November 1951 ini adalah untuk meminda Undang-undang Tubuh PAS 1951, bagi membolehkan disiplin parti yang menghalang pimpinan PAS menjadi ahli parti lain dihapuskan.

Dalam Mesyuarat Agung Khas ini, satu usul untuk menghapuskan Ceraian (i) Fasal 22 yang menyekat pemimpin PAS menjadi anggota parti lain telah dikemukakan. Memandangkan suasana yang agak tegang dan berlarutan, para perwakilan, termasuk tokoh-tokoh Hizbul Muslimin yang mencadangkan perkara ini sebelumnya, terpaksa akur bahawa peruntukan itu terpaksa dihapuskan. Jika tidak demikian, "mungkin menggagalkan sama sekali rancangan penubuhan parti Islam (PAS)..." Seorang perwakilan, Haji Mokhtar Ahmad berkata, jika tidak kerana kebijaksanaan Pengerusi Persidangan, "cita-cita kita (untuk menubuhkan PAS) tidak akan berhasil dan kita balik dengan tangan kosong."

Pemilihan parti berjalan lancar

Sebaik sahaja Fasal 22 Undang-undang Tubuh PAS 1951 berjaya dipinda, proses pencalonan kepemimpinan PAS diadakan semula. Untuk jawatan utama PAS iaitu Yang Dipertua PAS, dua tokoh telah mendapat pencalonan iaitu (1) Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang juga Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam. Beliau pernah menjadi Pemangku Pesuruhjaya Agama Terengganu dan merupakan Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang. (2) Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim, bekas Pengerusi Bahagian Agama Umno yang juga bekas Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas. Beliau juga merupakan bekas Ahli Panel Penasihat Hizbul Muslimin dan ketika itu merupakan Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai. Selepas pemilihan dijalankan, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama.

Selepas itu, pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS telah dijalankan. Tokoh-tokoh yang dipilih ialah:

1) Timbalan Yang Dipertua PAS
Ustaz Haji Ghazali Abdullah. Beliau ialah lulusan Madrasah Syaulatiyah al-Hindiyah Mekah, dan hadir mewakili Umno Perak. Beliau pernah menjadi Imam Masjid Negara, sebelum dilantik sebagai Mufti Selangor dan Perak.

2) Naib-naib Yang Dipertua PAS
a - Tuan Guru Hussin Che Dol yang mewakili Zon Utara dan Pantai Timur. Beliau adalah Mudir Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Cempedak, yang juga Pengerusi Umno Kedah merangkap Yang Dipertua Persatuan Ulamak Kedah (PUK);

b - Tuan Fakeh Mohamad Nor Mohd Zain yang mewakili Zon Tengah. Beliau adalah seorang ulamak fekah yang terkenal di Lembah Kelang yang berketurunan Minang dan merupakan seorang guru agama di madrasah agama rakyat. Beliau adalah aktivis Perikatan Madrasah Daerah Kuala Lumpur. Beliau tidak terlibat secara langsung dengan mana-mana parti politik.

c - Ustaz Haji Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli yang mewakili Zon Selatan. Beliau merupakan guru agama di Madrasah al-Junied, Singapura dan berasal dari Jempul, Negeri Sembilan. Beliau adalah bekas ahli Umno yang menyertai IMP.

3) Setiausaha Agung PAS
Ustaz Haji Ahmad Maliki, seorang lulusan Maahad al-Ihya as-Syarif yang berkhidmat sebagai guru agama di Kepala Batas. Selepas Hizbul Muslimin dilumpuhkan, beliau aktif dalam Umno dan pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung Umno dan merupakan Kadi Besar Pulau Pinang.

4) Bendahari Agung PAS
Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin. Putera kepada ulamak besar berketurunan Banjar, Tuan Hussin Kedah ini belajar di Mekah sebelum menjadi Mudir Madrasah al-Khairiyah, Pokok Sena. Beliau aktif dalam Umno Seberang Perai sebelum menyertai PAS. Selain itu, beliau adalah wakil rakyat tunggal PAS pada 1955 dan dilantik menjadi Kadi Besar Pulau Pinang kemudiannya.

5) Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja
a - Tuan Guru Haji Yahya Junid, Mudir Pondok Batu 16 Yan. Beliau adalah lepasan Pondok Bunut Payung Kelantan, aktif dalam Umno Kedah dan memimpin PUK;

b - Haji Othman Talib, tokoh politik dari Rembau, Negeri Sembilan. Beliau meninggalkan Umno dan aktif dalam IMP;

c - Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin, seorang ulamak yang terkenal di Kuala Lumpur. Beliau aktif di sekitar Segambut dan merupakan aktivis Perikatan Madrasah Daerah Kuala Lumpur;

d - Ustaz Haji Zabidi Ali, lepasan Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar yang merupakan pemimpin Umno Seberang Perai. Beliau pernah menjadi guru agama di Terengganu dan merupakan Yang Dipertua Persatuan Tani Malaya;

e - Ustaz Haji Abdul Wahab Mohd Noor, seorang guru agama terkenal di Kuala Lumpur. Beliau adalah guru di Sekolah Agama Pudu Pasar selain menjadi imam Masjid Pudu yang aktif bersama Umno Kuala Lumpur;

f - Ustaz Haji As'iya Abdul Majid, seorang tokoh agama dari Teluk Intan, Perak. Beliau merupakan pemimpin Majlis Ulamak Perak, kemudian menjadi kadi di Perak;

g - Mohd Majzub Yunus, seorang bekas aktivis Pemuda Umno yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Sebelumnya beliau adalah ahli PKMM, tetapi menyertai IMP pada 1951; dan

h - Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah, putera kepada Sheikh Abdullah Fahim. Selepas tamat belajar di Mekah, beliau aktif dalam Persatuan Pelajar Hijaz dan memimpin Persatuan Melayu Seberang Perai, kemudian menjadi Wakil Ketua Pemuda Umno Malaya dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung Umno. Beliau menggantikan ayahandanya sebagai Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah.

Secara keseluruhannya, rata-rata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS yang dipilih ini adalah aktivis Umno dan IMP. Daripada 15 orang yang dipilih, 10 daripadanya adalah pemimpin Umno, termasuk tokoh-tokoh terkemuka Umno. Manakala beberapa lagi merupakan ahli-ahli IMP, kecuali Fakeh Mohamad Noor dan Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin yang tidak terlibat aktif dalam mana-mana parti politik. Walaupun mempunyai latar belakang politik yang pelbagai, mereka yang dipilih telah berjaya memimpin pergerakan PAS sehingga awal Januari 1953.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 2/6/2019