Irsyadul Mursyid: Islam Memimpin Perpaduan

Pimpinan
Typography

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (Islam), dan janganlah berpecah-belah.” (Surah Ali Imran: 103)

PERKEMBANGAN politik semasa hari ini telah memperlihatkan hakikat bahawa Islam dan umat Islam telah tersisih daripada arus perdana pemerintahan negara. Punca utamanya ialah perpecahan yang berlaku sejak sekian lama, kemudian menjadi begitu kritikal dalam tempoh yang terakhir ini. Walaupun bangsa Melayu adalah penganut Islam yang terbesar, tetapi bangsa-bangsa lain juga ramai yang beragama Islam. Namun pada hari ini, warna sosial masyarakat kita lebih dipengaruhi oleh politik kepartian, terutama kesan daripada segementasi masyarakat yang dilakukan oleh British suatu ketika dahulu. Orang Melayu beragama Islam, menjadi petani dan tinggal di kawasan luar bandar. Orang Cina beragama Buddha, menjadi peniaga di bandar. Sedangkan orang India yang beragama Hindu menjadi buruh ladang atau kereta api. Segmentasi ini kemudiannya merebak kepada pergerakan politik berasaskan bangsa. PAS sendiri yang berasaskan Islam sangat sukar menembusi ruang politik orang bukan Melayu.

Dalam kalangan orang Melayu, kita berpecah kerana PAS memilih Islam sebagai dasar perjuangannya, sedangkan Umno memilih kebangsaan Melayu sekular. Atas perbezaan dasar inilah kita berpecah begitu lama. Pada akhir 1960-an, oleh sebab merosotnya pengaruh politik Melayu ekoran pertambahan mendadak jumlah rakyat bukan Melayu selepas 10 tahun merdeka, PAS mengambil langkah politik perpaduan untuk kepentingan Islam. Tetapi malang sekali, kerana Umno tidak belajar daripada kesilapan dahulu, lalu PAS disingkirkan. Sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an, pergeseran PAS-Umno begitu kuat sehingga menimbulkan keadaan yang tegang dalam masyarakat. Ketika PAS bertegas dengan Islam, Umno hanya bermain dengan kosmetik agama. Ketika PAS berusaha melaksanakan Islam di Kelantan dan Terengganu, Umno melakukan pelbagai sekatan ekonomi dan politik. Akhirnya keadaan hubungan umat Islam menjadi runcing sesama sendiri.

Saya sebutkan hal ini bukan kerana ingin mengungkit kepada Umno, tetapi ia adalah pelajaran yang sangat besar kepada kita. Hari ini, seluruh kelemahan kita dalam menyatukan umat berasaskan aqidah telah menyebabkan bukan sahaja kuasa politik orang Melayu telah terperosok ke bawah, tetapi berlaku peminggiran Islam secara besar-besaran oleh pemimpin-pemimpin politik yang memusuhi Islam dan mengkhianati Islam. Nah! Di hadapan kita ada dua pilihan. Sama ada kita memilih untuk terus berpecah, lalu membiarkan Islam terpinggir dan umatnya tertindas. Ya! Kita akan mengulangi apa yang telah berlaku di Palestin, Bosnia dan Rohingya! Atau kita melupakan semua kesilapan yang lama, kita lupakan perbezaan fahaman dan kita saling memaafkan. Lalu kita bersatu atas nama Islam, satu landasan yang paling suci dan tidak berkepentingan! Semata-mata untuk mengembalikan kemuliaan umat ini.

Terus-terang saya katakan, bahawa PAS berlapang dada dan bersedia memaafkan seluruh kesalahan dan kesilapan Umno yang lalu jika mereka bersedia menerima Islam sebagai asas perpaduan dan penyatuan ini. Kita jadikan kesilapan itu sebagai teladan dan ibrah untuk umat. Kita lihat sendiri, beban apa yang sedang ditanggung oleh umat Islam di Malaysia hari ini. Lalu kita jadikan semua ini sebagai peringatan yang keras daripada Allah, supaya umat Islam segera membaiki diri, memperbetulkan kesilapan dan kembali kepada Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Dengan peringatan Allah yang sebegini, ertinya kasih sayang Allah untuk kita semua supaya segera mengislahkan diri, sebelum datang azab yang besar. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia, sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka kembali bertaubat” (Surah as-Sajadah: 21).

Perbezaan yang menimbulkan pergeseran sesama kita sebelum ini adalah kerana pemahaman Islam kita yang berbeza. PAS masih percaya bahawa Umno bukanlah menolak Islam, tetapi kerana kuatnya pengaruh sekular ke atas dasar Umno telah menyebabkan mereka memahami Islam dengan cara yang tidak syumul. Kelemahan ini mesti diperbaiki segera supaya kita sama-sama menerima Islam mengikut takrifan para ulamak muktabar yang berteraskan al-Quran dan Sunnah, bukan lagi mengikut hawa nafsu. Jika Umno sudi menerima Islam sebagai alat untuk menyatukan kita, dengan kita melupakan seluruh perbezaan dan kepentingan puak masing-masing, saya sangat percaya umat Islam akan kembali kuat, bersatu-padu dan dapat menguasai semula politik dan ekonomi negara ini. Saya tidak nampak satu wasilah lain yang benar-benar boleh melegakan hati kedua-dua pihak – PAS dan Umno – melainkan Islam.

PAS bukan bermaksud dengan perpaduan orang Melayu Islam ini, maka orang bukan Melayu atau bukan Islam akan dipinggir atau ditindas. Sama sekali tidak! Islam tidak pernah mengajar umatnya menindas orang bukan Islam dan mereka pasti akan mendapatkan seluruh hak mereka. Sepanjang sejarah tamadun Islam, belum ada satu bangsa yang bukan Islam ditindas oleh Islam kerana dia bukan Islam. Belum ada! Tetapi di mana-mana sahaja hari ini, kumpulan minoriti Islam ditindas semata-mata kerana keimanannya. Maka, penyatuan bangsa Melayu Islam bukanlah satu ancaman kepada keamanan negara, bahkan ia akan memperkukuhkannya. Saya menekankan di sini, bahawa penyatuan umat Islam sama ada parti politik, badan-badan bukan kerajaan, kumpulan-kumpulan berkepentingan, kelompok minoriti dan apa jua bentuk masyarakat sivil Islam adalah lebih utama dan menjadi keutamaan bagi PAS sekarang.

Dalam suasana umat Islam yang berpecah dan mulai melemah hari ini, semua perbezaan sama ada kerana berbeza aliran fekah dan ilmu kalam, berbeza kerana fahaman politik dan ideologi, berbeza kerana berlainan kepentingan, berbeza kerana darah keturunan, berbeza kerana darjat sosial dan apa jua perbezaan, saya memperingatkan kita semua, bahawa tanpa kita bersatu padu atas dasar aqidah tauhid ini, kita tidak akan dapat mengembalikan kekuatan kita. Dahulu umat Melayu Islam di Selatan Thai adalah bangsa yang kuat dan bertamadun tinggi, tetapi ketika mereka berselisih dalam hal politik, kepentingan puak telah diutamakan, kepentingan aqidah dipinggirkan. Akhirnya, bumi mereka dipijak orang! Sehingga hari ini, mereka merempat di negeri sendiri. Merintih meminta belas kasihan orang. Hilang kemerdekaan, tiada kebebasan! Marilah kita belajar dari kesilapan. Biarlah Islam yang memimpin perpaduan kita.

DATO’ TUAN GURU HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS – HARAKAHDAILY 8/7/2019