Seronoknya jadi Perdana Menteri Malaysia

Kolumnis
Typography

LUIZ Inácio Lula da Silva, bekas Presiden Brazil dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun 6 bulan kerana disabitkan menerima suapan sebuah pangsapuri mewah. Nyonya Presiden Dilma Rousseff yang menggantikannya yang digulingkan menunggu nasib kerana dikatakan curang.
     
Nyonya Park Geun-hye yang dilucutkan daripada Presiden Korea Selatan merengkok di penjara sekarang kerana rakan karibnya yang akses terhadap rahsia kerajaan hingga pelanggan-pelanggan rasuah menangguk peluang secara tidak sah daripada kerajaan. Rakan karibnya tidak dapat membersihkan dakwaan curang Presiden Pak.
      
Sebelum ini dua Presiden Korea Selatan telah dipenjara kerana salah laku semasa menjadi Presiden.
      
Biasalah di negeri-negeri di atas angin Presiden atau Perdana Menterinya diseret ke mahkamah atas tuduhan melanggar peraturan sekalipun mereka sedang berkuasa.
     
Maka sekalian yang menjadi MO1 di negara-negara undang-undang dan berdaulat tidaklah dikira orang bertuah apabila beroleh peluang berkuasa di negaranya. MO1 ditujukan kepada orang Malaysia, tetapi dalam tulisan ini MO1 itu adalah orang berkuasa di setiap wilayah.
     
Tidaklah seperti di Malaysia yang sentiasa seronok menjadi Perdana Menteri. Pernah Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman mengenang nasib yang dihadapi oleh setengah MO1 di dunia berdepan nasib malang semasa bekuasa atau selepas berkuasa.
       
Tunku mendakwa di tengah umum, dialah Perdana Menteri paling gembira di dunia atau the world happiest prime minister. Sekalipun selepas mengalami tragedi pahit beliau ditanya adakah dia mengira PM dunia paling gembira lagi, jawabnya, mengikut tahap masalah yang dialaminya, masih merasa PM bertuah lagi.
       
Mungkin PM Tun Hussein Onn dan PM Tun Abdullah Badawi tidak menikmati apa yang Tunku nikmat, justeru gangguan politik Dr. Mahathir, masing-masing berundur sebelum tempoh perkhidmatan tamat, tetapi dikira semua PM kita tidak akan menerima nasib seperti Presiden Brazil dan Korea Selatan itu setakat ini.
       
Kita tidak tahu besar mana nilai pangsapuri mewah yang diberi kepada Presiden Brazil itu?
       
10 jutakah? 2.6 bilionkah? Atau dia mintakah atau dia dihadiahkankah?
        
Tetapi dia tidak meyakinkan mahkamah, 7 tahun selepas tidak lagi jadi Presiden, dia dijatuhkan 9 tahun campur 6 bulan penjara.
       
Mungkin mengikut nilai kita di Malaysia pangsapuri mewah itu tidak jadi kudis kepada orang-orang besar tertentu. Dakwaan yang dikenakan kepada KM Lim Guan Eng kerana membeli banglo rendah daripada harga pasaran hingga PRU14 hendak tiba belum dibicarakan lagi.
      
Setakat ini baru Dr. Khir Toyo baru bebas daripada hukum penjara dan Exco Abdul Latif di Johor Bahru dimahkamahkan. Tetapi mereka bukan MO1 yang ada kekebalan.
      
Hakikatnya MO1 itu tidak kekal. Dicucuk jarum kulitnya lut juga, berdarah juga. Tetapi jawatan PM itu dikira kebal saja tak telus oleh saman dan dakwaan.
      
Mungkin kalau Presiden da Silva dan Presiden Pak jadi Perdana Menteri Malaysia, masing-masing dipercayai boleh terus jadi Presiden atau boleh jadi calon Presiden lagi. Malangnya mereka orang Brazil dan orang Korea Selatan.
       
Di Malaysia asal bernama Perdana Menteri baik pada zaman siapa saja, baik hendak runtuh langit dan rosak bumi oleh pemerintahan dan kelakuannya, runtuhlah langit, rosaklah bumi, tetap Perdana Menteri orang yang seronok.
     
Perdana Menteri hanya tak seronok oleh timbalannya saja. Tunku tidak seronok oleh Tun Razak. Tun Hussein tak seronok oleh Mahathir. Mahathir oleh Musa, Anwar dan Ghafar. Tun Adullah oleh Najib.  Najib oleh Muhyidin. Tiada Muhyidin Najib pun seronok. – HARAKAHDAILY 18/7/2017