23
Sun, Apr
13 Artikel Baru

Pembunuhan Kim Jong-Nam. Inna Lillah

Kolumnis
Typography

DENGAN sedihnya diberitakan pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri Presiden Korea Utara di KLIA-2  pada 13 Februari lalu.
      
Apa yang dikatakan atas tragedi itu ialah Inna Lillah Wainna Ilaihi Rajiun.
      
Sebagaimana reaksi spontan setiap umat atas semua musibah termasuk kematian atas sesiapa jua, maka ia adalah seelok-elok reaksi yang dapat diberi terhadap yang menimpa cucu Presiden pertama Korea Utara, anak Presiden selepasnya dan abang kepada Presiden  sekarang.
       
Dia pergi bukan dengan kehendaknya. Allah menentukan musibah begitu. Kerana ia berlaku di bumi Malaysia, umat Malaysia wajar sabar dan bertenang menerimanya, dan dengan mengungkapkan kata-kata Inna Lillah itu moga-moga kita tidak ditambahkan dengan musibah selanjutnya!
       
Ia bukan musibah keluarga dan waris Kim, tragedi bagi bangsa Korea Utara, bahkan ia bencana bagi Malaysia dan rakyatnya kerana ia berlaku di  Malaysia.
      
Doa dan harapan kita, pembunuhan itu tidak mempengaruhi hubungan diplomatik antara Malaysia dan tanah air mangsa sebagaimana hikmat kalimah Inna Lillah tadi, bahang seterusnya menjadikan kita ada ekoran musibah lagi.
        
Reaksi duta Besar Korea utara di sini menempelak layanan dan tindakan kerajaan dan polis menyiasat kes bunuh itu mengikut undang-undang di sini. Malaysia cuba dijadikan pihak yang bersalah atas  tindakannya, sedang Malaysia menerimanya sebagai masalah kerana berlaku dalam negara ini.
      
Cara kita menangani kes itu tidak dihormati. Ia mahu mayat disiasat bersama dan jika boleh serahkan mayat kepada kedutaan. Malaysia tidak boleh setuju. Banyak kerjasama yang diminta belum disetujui.
       
Setakat ini hubungan  kedua negara sudah jadi musibah lain selain dari musibah dia terbunuh.
      
Hasil penyiasatan awal tentang senjata yang digunakan ialah komponen senjata kimia yang sangat bahaya dan diharamkan dibawa masuk. Dengan penggunaan senjata itu, Malaysia terima satu lagi musibah yang kena lafazkan inna Lillah lagi. Musibah ini menambah masalah lagi buat negara kita.
       
Malaysia setakat ini hanya bermasalah dengan politik dalaman dan kerajaan yang tidak telus. Ia ada masalah keyakinan kepada kerajaan menurun. Masalah politik itu diselesaikan oleh pilihan raya saja. Bencana besar selain daripada banjir tidak ada. Keseluruhannya ia tenang.
       
Tetapi tragedi Jong-Nam ini boleh jadi satu mala petaka yang kini menjadi perhatian dunia. Dunia memang bermasalah dengan Korea Utara dalam banyak perkara. Tidak banyak masalah negara itu membabitkan kita.
       
Korea Utara diketahui memiliki pelbagai senjata nuklear canggih. Dia dipercayai mati kerana mukanya dicekup kain, setelah disiasat membawa racun kimia. Rakaman sulit menujukkan dua wanita menyekup mukanya. Keduanya sudah ditahan polis. Beberapa laki-laki yang disyaki terlibat sudah tiada dalam negeri antaranya seorang diplomat Korea Utara.  
      
Korea Utara ada  senjata itu. Yang terbunuh orang  Korea Utara, antara yang dapat lari pegawai kedutaan. Tiba-tiba didapati pula senjata kimia. Maka dunia boleh membuat syak.
      
Walaupun orang tidak yakin atas siasatan pelbagai skandal melibatkan pimpinan yang tidak banyak hasil, tetapi umum tidak pertikai ketepatan siasatan tentang Kim Jong-Nam ini .
       
Sebagai negara yang tidak banyak bencana alam yang besar, satu tuah kepada semua. Entah apa malangnya Allah timpakan kita dengan bencana perbalahan keluar pemimpin Korea Utara berlaku di Malaysia. Ia mungkin balasan terhadap perkara tidak telus. Maka musibah itu datang sebagai ujian dan amaran atas kepincangan masyarakat supaya diinsafi. – HARAKAHDAILY 1/3/2017