Sidebar

24
Sun, Sep

Seronoknya makhdum Raja Saudi tiru BRIM

Kolumnis
Typography

ALANG kepalang seronoknya Makhdum betapa Raja Saudi yang melawat Malaysia itu dikatakan hendak meniru pemberian BRIM kepada rakyatnya dan hendak mengadakan GST pula di negaranya.
     
Orang-orang yang menceceh hal itu di sini seperti Dr. Mahathir dan lain-lain hendak kata apa lagi.
     
Kata Makdum, kalau di negeri kita dikatakan rasuahlah! Menindas rakyatlah! Apakah Raja Salman merasuah rakyatnya dengan BRIM dan menindasnya dengan GST?
      
Bagi Makhdum yang seronok itu, kita tanya bila Saudi ada pilihan raya? Rajanya hendak rasuah politik apa sedang kerajaannya tidak pernah diundi.
      
Yang ditempelak rasuah itu ialah BRIM itu mula diperkenalkan menjelang PRU lalu. Tahun berikutnya, PRU belum diadakan lagi diberi sekali lagi.
      
BRIM yang pertama dulu di kebanyakan tempat diberi di majlis-majlis anjuran Umno. Seganlah si miskin yang tidak Umno hendak masuk ke kandang Umno. Sekarang dielokkan sedikit sistemnya supaya  tidak dilihat Unmo dan tidak dikatakan rasuah.
       
Mungkin pemberian di sini – niat dan sistemnya – kurang sah, tetapi di negara Wahabi itu sah. Bahkan berpesan Raja Wahabi itu kepada tuan rumah, memerintahlah mengikut syarah; berpesan kerana kebenaran dan kerana kesabaran. Jika pemberian ikut syariah tiada diraguilah sahnya.
       
Jika Raja Salman adakan BRIM, negaranya mampu dan berduit banyak. Dari beri derma RM2.6 bilion pada oang tak tentu hala buat apa duit itu, beri berbilion pada Mesir kerana dapat tumbangkan kerajaan Mursi, buang berbilion perangi Yaman, baiklah bagi pada rakyat berpendapatan kecil.
       
Negaranya berkecukupan dalam semua perkara. Tidak diketahui ia berhutang. Dengan duit berguni-guni tidak sewajarnya berhutang.
       
Biar jadi macam pemerintahan Umar Abdul Aziz tiada yang mahu terima zakat (BRIM), yang belum nikah diberi perbelanjaan nikah. Duitnya memang tak habis. Tak perlu Saudi tiru BRIM, tapi tiru apa yang Umar Abdul Aziz Berjaya hapuskan kemiskinan.
      
Apapun Malaysia yang memberi BRIM adalah ibarat berkain singkat. Tarik ke atas nampak lutut, tarik ke bawah nampak pusat. Bagi BRIM terpaksa batal subsidi. Bagi  bantuan peladang, potong geran pelajar di luar negara.
      
Dengan ekonomi jatuh, duit jatuh, harga barang naik, BRIM suatu yang menelan belanja. Ia diadakan bukan sangat kesian kepada si miskin, tetapi  cara baru mengekalkan kuasa.
      
Jika GST diadakan adalah kerana kerajaan tidak cukup pendapatan dan hilang banyak punca pendapatan. Ada yang komoditi jatuh harga, adalah duit dicuri dan ditipu, ada bayaran hutang terlalu besar dan  ada kerana rasuah menjolok ozon.  
       
Dengan GST beban negara dapat diringankan tetapi ia mendera rakyat seperti Firaun kerah rakyat bina piramid.
       
Tidak diketahui kewangan Saudi teruk hingga memaksa mengadakan GST. Sebagai negara kaya ia tidak perlu mencukai berat rakyat. Jika kekayaan negara-negara teluk membebaskan rakyat dari cukai pendapatan, maka teruklah ertinya kalau Saudi adakan GST.
       
Lainlah kalau pendapatan rakyat tinggi, GST tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Sekalipun rakyat tidak terasa beban GST, ia mengancam umat yang naik haji dan umrah. Perbelanjaan haji akan naik. Sekarangpun sudah diancam dengan visa yang tinggi. Bila ada GST akan mnyebabkan penyimpan Tabung Haji menabung lama atau meninggikan caruman bulanannya.
      
Makhdum gembira Raja Wahabi hendak meniru BRIM dan GST, tapi sangka ia membetulkan tindakan kita yang tidak sah. Di Saudi ia sah, di sini belum tentu. – HARAKAHDAILY 4/3/2017