Tulisan jawi warisan tamadun Islam

Presiden
Typography

SEMUA ilmuan Timur dan Barat secara ikhlas tanpa fanatik dan prejudis, mengakui peranan Islam mencipta tamadun yang menjadi asas kepada kemajuan dunia terkini.

Namun, munculnya tanda-tanda kemusnahan tamadun sekarang kerana mengambil manfaat daripada tamadun Islam secara tidak sempurna dengan mengubah kepada konsep sekularisme yang menolak atau memisahkan hubungan dengan agama, khususnya Islam itu sendiri.

Tamadun Islam berpandukan ilmu dan iman mengikut petunjuk wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam permulaan Surah Al-‘Alaq:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ١ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ٢ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ٣ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ٤ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ٥[العلق: 1-5]

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)(1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;(2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,(3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan,(4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)” [Al-Alaq: 1-5]

Ayat ini menegaskan semua ilmu itu dengan nama Tuhan, perlunya membaca dan alat tulis serta menuntut ilmu bersama hidayah (petunjuk Allah), bukan akal sahaja.

Konsep ilmu diluaskan kepada mencari dan menerima semua yang positif daripada seluruh pelosok dunia walaupun ke negeri China yang dikira paling jauh pada zaman dahulu, dan menolak segala yang negatif sekalipun datang daripada Makkah dan Arab.

Tamadun Islam juga tidak sama dengan tamadun bangsa dan negeri lain yang tidak boleh dibanggakan dengan warisan tamadun yang menjadi kunjungan pelancong hari ini, seperti Piramid Mesir, Tembok Besar China, kota-kota Rom dan Parsi, termasuk Taj Mahal daripada orang Islam sendiri kerana dibangunkan dengan memperhambakan rakyat yang dikorbankan dan harta negara yang dirompak serta dicuri.

Islam mencipta tamadun ilmu yang bermanfaat kepada manusia berlandaskan konsep Iman (akidah), Islam (syariat) dan Ihsan (akhlak), berkebajikan dan adil terhadap semua, serta menunaikan hak mereka tanpa melampau. Maka tamadun Islam yang berasaskan ilmu itu telah mewujudkan konsep politik, ekonomi, sains dan teknologi yang saksama.

Politik Islam ditunjukkan kepada seluruh dunia dengan melaksanakan konsep berkebajikan yang menyeluruh dalam politik syura dan nasihat membina yang diwajibkan kepada semua pemimpin dan rakyat. Hal ini lebih beradab daripada demokrasi Barat.

Adapun sistem ekonomi Islam yang menjaga hak individu, keluarga dan masyarakat, berbeza dengan semua ideologi Timur dan Barat, sehinggalah berjaya mencipta kemajuan sains dan teknologi serta segala alatnya dengan menjaga sempadan yang tidak melampau sehingga memusnahkan manusia dan alam sekitar.

Islam mendahului beberapa abad Revolusi Industri di negara Barat yang banyak menumpang selepas mereka menjajah dunia Islam.

Tamadun Islam pula mempengaruhi tulisan bahasa sesuatu bangsa yang menganut Islam dengan menggunakan huruf Arab bahasa Al-Quran, seperti bahasa Turki, Parsi, Urdu, Swahili dan lain-lain.

Semua bangsa itu telah bangkit bersama Islam dengan bahasa masing-masing, serta menubuhkan negara yang bersejarah di tempat masing-masing tanpa menghilangkan bangsa dan bahasanya yang tetap bersama Islam.

Tulisan jawi menggunakan huruf Arab dan huruf tambahan semua sebutan bahasa dunia, sehingga terpaksa digabungkan oleh bahasa lain dengan dua huruf, menunjukkan kesempurnaannya yang sangat hebat. Sehinggalah huruf jawi menjadi tulisan nusantara dalam pelbagai bahasa etnik, bukan sahaja Melayu, termasuk Jawa, Acheh, Bugis, Tagalog dan Cham.

Perkembangan ilmu di seluruh nusantara dengan tulisan jawi menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perantaraan di rantau ini. Maka tidak ragu-ragu lagi dengan adanya penemuan yang dicuri oleh Barat masih tersimpan di negara-negara Inggeris, Belanda, dan Perancis. Bukan sahaja dalam ilmu agama dan sastera, bahkan termasuk ilmu perubatan dan lain-lain. Bahkan tawanan Melayu yang dipaksa belayar mengelilingi dunia oleh kapal penjajah membawa ketinggian keilmuan ini dalam pelayaran, ketenteraan dan sebagainya.

Tulisan jawi mendekatkan penganut Islam dengan pendidikan agama Islam dan bahasa Al-Quran, sehingga penduduk pelbagai kaum di nusantara membaca Al-Quran dengan fasih seperti orang Arab.

Jangan jadi Melayu yang lupa bahawa dokumen Perjanjian Pangkor yang malang dan banyak surat rasmi kerajaan pada zaman penjajahan menggunakan tulisan jawi, sehingga kedai pajak gadai kepunyaan Cina juga dengan tulisan jawi.
 
Mendiang Lee Kuan Yew, pemimpin Singapura dan Dr. Tan Seng Giaw, mantan pemimpin DAP mampu menulis dengan tulisan jawi, menunjukkan tulisan jawi dirasmikan dalam amalan politik, ekonomi dan sosial. Maka sedarlah bahawa penjajah melaksanakan agenda menghapuskan tulisan jawi dalam agenda penjajahan dan permusuhannya terhadap Islam dan penganutnya. Tegasnya bahawa musuh tulisan juga adalah musuh Islam.

Segala usaha menghidupkan tulisan jawi adalah mulia dan murni yang menunjukkan ada jiwa agama dan bangsanya. Sangat nyata golongan yang menentangnya adalah anak-anak penjajah atau wakilnya yang masih berada di sini, walaupun penjajah Barat itu dikatakan sudah pulang ke negara asal mereka.

Akhirnya, menghidupkan tulisan jawi adalah sebahagian daripada usaha mengisi kemerdekaan yang dicapai. Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy pernah berpantun:

Di atas robohan Kota Melaka,
Papan di Jawa kita dirikan,
Di atas penjajahan di negara kita,
Jiwa merdeka kita tegakkan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS    
Bertarikh: 3 Zulhijjah 1440 / 5 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 5/8/2019