PAS Putatan sumbang bantuan persekolahan

ASRUL SAMAT | .

KOTA KINABALU: Seramai 125 orang kanak-kanak yang terpilih telah menerima bantuan persekolahan dalam program tahunan ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Putatan, baru-baru ini.

Tujuan utama program itu adalah untuk membantu meringankan beban para ibu bapa yang memerlukan bantuan dalam menghadapi persiapan sesi persekolahan 2017 tidak lama lagi, berikutan kos perbelanjaan untuk anak yang bersekolah pada ketika ini begitu tinggi.

Program itu telah dijalankan di dua tempat berasingan, iaitu di Kampung Sembulan Tengah pada waktu pagi dan di Kampung Tanjung Aru Lama pada sebelah tengah hari.

Antara aktiviti yang telah diadakan dalam program itu ialah slot motivasi kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang telah disampaikan oleh dua orang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan, yang juga merupakan pendidik.

Dalam slot motivasi tersebut, kanak-kanak diberikan beberapa tips belajar dan menjadi pelajar yang baik, nasihat dan kata-kata semangat untuk berjaya dengan cemerlang dalam akademik, kemudian dapat menggembirakan ibu bapa serta dalam masa yang sama, tidak melupakan kewajipan sebagai seorang Muslim untuk menunaikan solat dan menjadi insan yang berakhlak mulia.

Sumbangan yang diterima berupa satu set kelengkapan alat tulis, buku latihan dan tudung sekolah bagi penerima perempuan yang telah disediakan oleh pihak Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan.

Sumbangan di Kampung Sembulan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Cawangan PAS Sembulan iaitu kepada 75 orang penerima, manakala sumbangan di Kampung Tanjung Aru Lama disampaikan oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) kepada 50 orang penerima. - HARAKAHDAILY 27/12/2016

Share on Myspace