Warga emas gagal dapat wang simpanannya

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Impian Mat Hassan Hamat, 64 mahu menggunakan wang miliknya yang kini berada di Pejabat Pendaftar Wang Tak Dituntut untuk membeli keperluan sekolah cucunya mungkin tidak kesampaian.

Hal ini kerana lebih tujuh tahun beliau menunggu bagi mendapat kembali wang miliknya namun masih gagal.

Beliau yang tinggal di Kampung Perak, Star berkata pelbagai usaha dilakukan bagi menuntut kembali wangnya berjumlah RM4,951 sebelum ini disimpan di Bank Bumiputera Malaysia Bhd (BBMB).

“Saya menyerah sendiri surat menuntut wang tersebut kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut, Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti Menara Maybank pada 19 Ogos 2009.

“Surat permohonan tersebut turut disertakan salinan Borang UMA-7, salinan kad pengenalan dan buku akaun simpanan.

“Saya juga membuat akuan sumpah dengan Pesuruhjaya Sumpah pada 28 Mac 2005 mengenai kehilangan wang dalam akaun di BBMB cawangan Gua Musang,” katanya di sini.

Menurutnya juga sebelum ini beliau mempunyai dua akuan di BBMB iaitu akaun simpanan dan akaun semasa.

Katanya beliau tidak dimaklumkan mengenai jumlah wang tersebut sehingga menerima surat pemberitahuan wangnya kini berada di Pejabat Pendaftar Wang Tak Dituntut.

Malah kata beliau CIMB Gua Musang mengesahkan mengenai wang tersebut yang dihantar melalui sepucuk surat kepada Pendaftaran Wang Tak Dituntut pada 18 Ogos 2009.

Oleh itu beliau yang lebih dikenali sebagai Ali berharap wang tersebut dapat dipulang segera kepadanya bagi membeli keperluan sekolah tiga cucunya. – HARAKAHDAILY 28/12/2016

Share on Myspace