CAP gesa kerajaan negeri teliti mutu bina jalan raya

HARAKAHDAILY | .

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya meneliti semula mutu pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya memandangkan banyak jalan yang berlubang dan permukaannya yang tidak rata.

"Keadaan ini mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya," ujarnya Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurutnya, dalam tinjauan yang dijalankan oleh CAP baru-baru ini, pihaknya mendapati antara jalan utama yang rosak termasuklah sepanjang laluan Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Bayan Lepas, Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Batu Feringghi, Jalan Jelutong, Jalan Perak dan Lorong Hutton.

Tambahnya, dengan peningkatan 120% kenderaan bermotor, terutama sekali kereta persendirian di atas jalan raya Pulau Pinang dalam tempoh 10 tahun lepas, adalah amat kritikal sekali untuk jalan itu diselenggarakan dengan baik.

Katanya lagi, kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk membina, mengekalkan dan menyelenggara jalan perlu dipertanggungjawabkan bagi sebarang kerja jalan yang buruk yang mengakibatkan jalan berlubang dan permukaan jalan yang tidak rata.

Beliau berkata, berulangnya keadaan permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang hanya menunjukkan bahawa kerja yang dilakukan adalah amat buruk sekali.

Menurutnya lagi, perlu dilaksanakan agar prosedur operasi standard mereka untuk menjalankan pemeriksaan mingguan ke atas semua jalan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mencontohi negara jiran, Singapura dalam memastikan jalan mereka dalam keadaan terbaik, ujarnya.

Katanya, keadaan jalan yang rosak amat berbahaya kepada pengguna jalan raya dan terutama sekali jika Pulau Pinang menjadi tumpuan kepada kemasukan pelancong yang ramai terutama ketika musim cuti atau perayaan.

"Langkah untuk membaik pulih dengan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya kita tidak mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya," kata beliau.

Tambahan pula, ujar beliau permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang boleh menyebabkan kerosakan kepada alat pergantungan dan penyerap kejutan kenderaan. - HARAKAHDAILY 30/12/2016

Share on Myspace