Status milikan pangsapuri sejak 12 tahun terjawab

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penantian 19 penduduk Dun Taman Templer berhubung status milikan Pangsapuri Topaz yang tertangguh sejak 12 tahun lalu terjawab selepas pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara penduduk dan Syarikat SSL Capital Sdn Bhd dibuat, 28 Disember lalu.

Memetik laporan SelangorKini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, penduduk bersetuju menerima sejumlah wang saguhati bagi mengurangkan bebanan mereka menyewa kediaman sementara mendapat tawaran kediaman baru, Rumah Selangorku.
 
“Selepas persetujuan harmoni ini dicapai di antara kedua-dua pihak, maka selepas ini tiada lagi sebarang tuntutan daripada penduduk mahupun SSL,” katanya dalam kenyataan.

Sebelumnya, penduduk terbabit yang juga penghuni Pangsapuri Transit Nilam merupakan penduduk setinggal Bukit Botak Selayang Baru yang diarah berpindah selepas menerima tawaran rumah kos rendah, Pangsapuri Topaz pada 2004.

Bagaimanapun, syarikat pemaju terdahulu, Delpuri Corporation Sdn Bhd gagal menyiapkan projek perumahan terbabit serta diisytihar muflis dan tidak diketahui status pemaju baru yang bakal mengambil alih projek berkenaan.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan notis mengarahkan penduduk mengosongkan pangsapuri dalam tempoh 14 hari selepas pengambilalihan pemaju baru, Syarikat SSL Capital Sdn Bhd dilantik.

Prihatin terhadap masalah tersebut, Zaidy juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri mengadakan perbincangan bersama syarikat pemaju, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG).

Bahkan, perbincangan bersama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut dibuat bagi membincangkan sebarang penyelesaian berhubung masalah itu.

“Perbincangan dibuat dan agensi terbabit bersetuju untuk memberi keutamaan kepada 19 penduduk mengikut spesifikasi yang ditetapkan kerajaan negeri untuk penawaran Rumah Selangorku,” katanya.

Share on Myspace