MB ziarah mangsa banjir Kuala Krai

SALMAH MAT HUSAIN | .

KUALA KRAI:  Menteri Besar, Ustaz  Datuk Ahmad Yakob, meluangkan masa melawat mangsa banjir yang semakin meningkat khususnya di jajahan ini.

Keperihatinannya itu, membuatkan beliau terpaksa menangguhkan pertemuannya dengan Pemangku Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang sepatutnya berlangsung pada hari yang sama.

Apa lagi, sebahagian besar mereka telah melalui pengalaman pahit sewatu  banjir besar 2014 lalu.

“Saya tidak mahu emosi mangsa terus terganggu. Jadi saya turun untuk memberikan kekuatan supaya trauma mangsa tidak berulang.

“Yang penting sekarang semua harus mengikuti arahan dikeluarkan oleh pihak bertanggung jawab supaya banjir tidak membawa kesan buruk kepada mereka,” Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Veterinar di sini, semalam.

Terdahulu , beliau melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil.

Pada lawatan ini, beliau mengucapkan terima kasih pada pasukan penyelamat dan penempatan mangsa di pusat pemindahan.

“Terima kasih kepada semua, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta semua jabatan berkaitan yang awal-awal lagi turun membantu mangsa,” katanya

Pada lawatan itu juga Ahmad turut mengagihkan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Turut bersama, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman, Mumtaz Md Nawi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat. – HARAKAHDAILY 2/1/2017

Foto:  Unit Komunikasi Menteri Besar

Share on Myspace