Bekas AJK Ulamak PAS Pahang meninggal dunia

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Bekas AJK Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Alias Sichik, 78, kembali ke rahmatullah malam tadi (malam Jumaat) setelah menghabiskan sepanjang usianya dengan mengajar.   
        
Allahyarham yang berasal dari Kampung Durian Tawar, Bera memulakan pendidikan agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abdul Majid, Guai sebelum melanjutkan pengajian di India.

Sekembalinya dari India Ustaz Alias terus berkhidmat mengajar di Madrasah Al Wosto Kampung Berhala Gantang iaitu sebuah pesantren moden pertama yang wujud di Negeri Pahang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Hassanuddin Mohamad selepas penjajahan Jepun.

Selain mengajar secara formal, Ustaz Alias sangat aktif berceramah dan memberi kuliah di serata surau dan masjid seluruh negeri Pahang.

Ustaz Alias suami isteri merupakan guru yang diserap daripada madrasah tersebut sehingga ia diambil alih dan ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Agama Kerajaan Negeri Pahang dengan nama Sekolah Menengah Agama Al-Wosto dan berkhidmat sehingga bersara.

Selepas bersara, Allahyarham banyak menumpukan masa kepada pertanian pada waktu-waktu terluang. Bahkan beliau merupakan orang pertama menanam salak Sabah di daerah ini.

Sebelum aktif dalam PAS beliau pernah memimpin Abim Pahang.

Menurut anaknya Ustaz Samhari, di akhir-akhir usianya Allahyarham menghidap sakit kencing manis dan pelbagai komplikasi sebelum pergi dengan tenang menemui penciptanya di malam yang mulia.

Sebelum waktu Solat Jumaat hari ini, beratus-ratus anak murid, sahabat handai, pemuka masyarakat dan kaum keluarga serta pimpinan PAS menunaikan Solat Jenazah di Masjid Al-Hasan Berhala Gantang sebelum ‘bintang yang menyinari’ itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di kampung tersebut.

Tokoh ulamak tersebut meninggalkan isteri Ustazah Rokiah Omar, anak-anak Ustazah Zaiti, Samhari serta empat orang cucu.

Semoga Allah merahmati Ustaz Alias dan menempatkan ulamak dan pimpinan kami itu di kalangan para solehin. Amin

Al-Fatihah...

Share on Myspace