Majlis Konvokesyen Kursus Perubatan Islam Darussalam ke-12

MOHD HAFIZY | .

GOMBAK: Rawatan Islam kini bukan sahaja menjadi pilihan di kalangan umat Islam, malah semua lapisan masyarakat di negara ini. Ketaksuban masyarakat Islam terhadap perubatan tradisional yang tidak mengikut syariat menyebabkan ada yang terjerumus kepada perbuatan syirik dan khurafat.

Kepercayaan kepada bomoh dan dukun yang tidak berlandaskan syariat Islam, dikhuatiri membawa unsur syirik dan khurafat seperti penyelewengan ayat suci al-Quran yang boleh merosakkan akidah mereka yang terlibat.

Justeru, menyedari betapa pentingnya kesinambungan ilmu perubatan Islam, maka Persatuan Perubatan Islam DarusSalam di bawah bimbingan Datuk Ismail Kamus telah menghimpunkan peserta-peserta kursus yang terdiri daripada para ustaz, ustazah serta individu yang berminat untuk menyertai kursus perubatan Islam. Diharapkan, dengan adanya kursus seumpama ini, maka dapat mendidik masyarakat agar lebih peka bagi mendapatkan rawatan yang benar-benar berlandaskan syariat.

Penasihat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam, Datuk Ismail Kamus, menegaskan bahawa selain merawat mereka yang sakit perawat bertanggungjawab berdakwah bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. “Keikhlasan dan ketaqwaan adalah dua kunci utama dalam rawatan Islam”, Tegas Datuk Ismail Kamus dalam ucapannya di Majlis Konvokesyen DarusSalam ke-12. Majlis pengijazahan berlangsung di Dewan Tan Sri Hj Abdul Samad Alias, Gombak Setia, pada 11 Februari 2017.

Kursus perubatan Islam DarusSalam diadakan setahun sekali bagi memberi peluang kepada individu yang ingin belajar ilmu perubatan Islam untuk membantu diri dan keluarga juga masyarakat. Pengajian Perubatan Islam DarusSalam memerlukan peserta melepasi semua silibus pengajian yang terdiri daripada dua hari kursus diikuti dengan 10 kuliah lanjutan, peserta akan melalui tasmik' ayat-ayat ruqyah dan bahan, peserta juga perlu menghabiskan 40 jam kredit praktikal termasuk praktikal merawat pesakit dan praktikal rawatan di hadapan Datuk Ismail Kamus.

Setelah melepasi semua silibus pengajian selama setahun itu, maka peserta layak menerima ijazah bersanad perubatan Islam DarusSalam.

Sehingga tahun 2016, Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia telah berjaya melatih dan melahirkan lebih kurang 400 orang perawat perubatan Islam. – HARAKAHDAILY 13/2/2017

Share on Myspace