PAS Jabi beri basikal mudah jenguk adik sakit

HARAKAHDAILY | .

SETIU: Demi kasih kepada adiknya, seorang kakak di Kampung Tok Dor Luar, Jabi yang mesra dipanggil Kak Dah sanggup berulang-alik lebih 1 km berjalan kaki setiap hari untuk menghantar makanan kepada adiknya yang terlantar uzur seorang diri di Kampung Dalam Huma, Tok Dor.

Penderitaan mereka mendapat perhatian PAS Jabi.

Sewaktu diziarahi oleh Ketua PAS Cawangan Tok Dor Luar, Abang Din Tel, Kak Dah yang juga hidup dalam keadaan dhaif memohon sebuah basikal bagi memudahkannya menjenguk adiknya setiap hari.

Kata Kak Dah, dia pun hidup dengan mengharapkan ihsan sumbangan jiran-jiran. Cukup-cukup makan saja.

Adiknya pula terlantar tak dapat bergerak di sebuah teratak yang sangat uzur tanpa bekalan air.

Tindakan segera diambil oleh Ketua Kebajikan PAS Jabi Ab Aziz Ab Rashid untuk menyumbang sebuah basikal petang semalam. Sumbangan yang kecil tapi sangat besar ertinya bagi yang memerlukan.

Kebajikan itu bermakna kita hadir ketika diperlukan. Hadir dengan rasa persaudaraan dan simpati sesama insan.

Pemuda PAS Cawangan Tok Dor Luar akan mengambil langkah perlu untuk menyalurkan bekalan air ke rumah pesakit ini. - HARAKAHDAILY 14/2/2017

Share on Myspace