283 pelajar KTD terima anugerah cemerlang

SALMAH MAT HUSAIN | .

PENGKALAN CHEPA: Golongan muda disaran melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan seharian demi untuk mendapat keberkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat berkata, apabila hidup dinaungi  Islam, manusia akan mendapat keberkatannya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar sesi 1 2016/2017 Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Menurutnya, pengalamannya sebagai wakil rakyat yang turun ke bawah, didapati ada juga masyarakat yang miskin kehidupan mereka kerana tidak patuh syariat.

“Walaupun tidak semua, tetapi ada di kalangan mereka yang susah dan tidak solat, tidak mengamalkan kehendak Islam dengan baik,” ujarnya.

Tambahnya, kalau malas menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, bagaimana Allah ingin permudahkan kehidupan mereka.

Katanya, hanya kehidupan yang mengamalkan syariat Islam akan selamat.

Tegasnya, itu janji Allah pada setiap hambanya yang tidak perlu diragui.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua warga penggerak KTD kerana menjadikan Islam sebagai amalan kehidupan setiap penuntutnya.

“Kerana itu, pelajar KTD semakin hari semakin berjaya dan cemerlang dalam pengajian mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola KTD, Dr. Abdullah Sudin  Ab Rahman, mengingatkan warga KTD mengamalkan 10 ciri utama dalam kehidupan mereka.

Katanya, antaranya Aqidah yang sejahtera, ibadah yang benar, akhlak yang mantap, mampu berdikari, luas pengetahuan, sihat tubuh badan, melawan hawa nafsu, tersusun dalam urusan, sangat menjaga masa dan bermanfaat kepada orang lain.

Sementara itu, seramai 283 orang pelajar menerima pelbagai anugerah kecemerlangan  pada majlis itu.

Antaranya Anugerah Cemerlang, Anugerah Dekan, Anugerah Bestari, Anugerah Gemilang, Anugerah Ahli Lembaga Pengelola dan Anugerah Nilam.

Sementara itu, Hanisah Shamsul Bahari, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan mendapat Anugerah Pelajar Terbaik (Anugerah Nilam).

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Eksekutif KTD, Mohd Noor Hussin, Timbalan Ketua Eksekutif 1 KTD, Prof Madya Dr Asry Yusof. – HARAKAHDAILY 17/2/2017

Share on Myspace