Kejamnya orang Melayu berkelahi

DR ANGIN BUDIMAN | .

 

AKU cuba menulis sebuah puisi tentang perjuangan. Penganjur meminta aku membacakan puisi sempena perayaan 63 tahun PAS. Satu usia sebuah parti siasah yang memberi sumbangan besar pada pembangunan negara.  

Setiap kali aku duduk mencari ilham untuk menulis, jari jemari aku seperti enggan mengetuk. Bahkan bagai sukar untuk otak aku melakar kembali ingatan silam pada kertas puisi. Entah mengapa. Aku sendiri seperti disantau. Termangu. Beku.

Malam itu, aku mengambil keputusan untuk tidak berpuisi. Bercerita tentang perjuangan parti seperti agak sukar untuk diterjemahkan dalam puisi. Aku bimbang ramai terpesona dengan kata-kata puitis yang indah hingga terlupa pada maknanya.

Memang kita sedang berkhilaf. Ada khabar dari utara, ada khabar dari selatan. Ada cerita dari barat, ada perutusan dari timur. Aku bingung seketika. Aku berhenti bercakap. Berhenti menulis. Tapi jiwaku terus meronta. Otakku bergerak. Hatiku menangis tanpa suara.

Khabarkan pada mereka, kita ada adab berkhilaf. Beriktilaf dalam jamaah.  Berbeza fikiran dalam sekawanan perjuangan. Jangan sampai membakar kota yang kita bina. Jangan sampai begitu jadinya. Bukankah perbezaan itulah yang menemukan akar perjuangan ini. Bukankah perbezaan itulah yang melebarkan wilayah kita?

Kalian mungkin tidak tahu atau lupa, sewaktu Aminuddin Darus mahu ke Hilir Perak untuk bersama Burhanuddin al Helmy membuka ranting di Kg. Gajah, dia tersangkut di Kuala Kangsar. Aku tidak pasti apa masalahnya. Mungkin masanya tidak cukup. Mungkin duitnya tidak cukup. Dia hanya ahli bomba. Bukan hartawan. Bukan bangsawan. Tapi cukup kaya dengan semangat perjuangan.  

Pernah kubaca kisah beberapa pimpinan lama kita yang terpaksa mengikat perut demi perjuangan. Tiada wang dikocek. Makan nasi bungkus dikongsi menampung lapar perut sebelum sampai ke destinasi.

Ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi perjuangan. Rela disingkir, diusir dari desa sendiri. Tragedi Memali adalah contoh yang kini sudah  jarang-jarang disebut. Mungkinkah mereka orang kampung yang miskin. Jauh di pedalaman, tiada jawatan dan kedudukan. Dan berita mereka hilang begitu sahaja.

Ada sejuta lagi cerita bagaimana ahli biasa dalam parti yang berusaha memperkukuhkan perjuangan dengan jiwa, darah dan keringat mereka. Lalu jangan dilupa usaha mereka semua itu. Kerana itu, jangan mudah memecahbelahkan jemaah dengan keegoan, ketaksuban dan kebebalan diri sendiri.

Suatu ketika kulayangkan jasad berlabuh di sebuah kedai makan di pesisir sungai di Kuala Selangor penghujung tahun lalu. Sahabatku menanti di sana dengan kopi O yang masih panas. Sekeping roti bakar pelapik sebelum berbual bicara. Kami bertemu bukan untuk berbual kosong tetapi adalah bagi mengisi kekosongan fikiran, kekusutan jiwa tentang khilaf dalam jamaah yang berpanjangan ini. Sesekali kami ketawa tetapi ada kalanya aku hanya buat-buat ketawa sahaja. Mengambil hati. Tetapi sahabatku cepat menangkap maksud ketawa yang dipaksa.

Dari manapun kita, hakikatnya kita adalah orang Melayu. Dia pun mengeluarkan keris pusakanya. Lalu dibaringkan keris Melayu yang cukup bermakna di atas meja makan kami. Kulihat dari jauh. Bukan takut keris itu ada badi. Keris ini senjata istimewa orang Melayu, katanya. Ia dicipta hanya satu pengunaan sahaja. Ia bukan digunakan untuk memotong bawang, daging atau menebang pokok. Sejarah asal usulnya keris itu tidak dapat lari daripada tujuan asalnya iaitu membunuh. Jika tidak membunuh sekalipun, keris adalah lambang kepahlawanan, wira dalam masyarakat Melayu. Apa guna ada keris, jika takut membunuh!

Terasa seperti berada di dalam zaman Laksamana Bentan atau Majapahit di Jawa. Keris adalah jalan penyelesaian masalah daripada menegakkan keadilan, melebar kuasa, membalas dendam ataupun menagih hutang. Dari masjid, pasar hingga ke balai rong istana, keris disisip dipinggang lelaki merdeka.

Keris memang bukan sembarangan peralatan atau perhiasan tetapi ia adalah gambaran falsafah orang Melayu. Biarpun sekarang, fungsi keris dijadikan sekadar bahan pameran namun asas pemikiran orang Melayu itu dapat ditafsir melalui sebilah keris.

Lalu, kuaturkan kalimat-kalimat itu menjadi sebuah puisi dalam menggambarkan akibat khilaf yang panjang dalam jemaah.  Itupun jika ada yang berminat untuk mengambil tahu. Asal sedikit memberi ruang waktu memahami, semoga Tuhan melapang jiwa dan membuka hati kita bersama.

Orang Melayu itu lemah lembut,
pemalu, penuh bertatasusila
Sesekali orang Melayu itu kejam
Tidak berperikemanusiaan

Kalian lihatlah bagaimana keris dibentuk
Berliku-liku tumpul
Di hujungnya ada racun
Sekali tertusuk ke tubuh musuh
Bukan sehari dua akan mati
Tidak seminggu
Berminggu-minggu
Menanggung azab derita bisanya keris Melayu
Tidak sebagaimana pedang Arab, sekali libas tersungkur musuh

Orang Melayu bijak menggunakan kata-kata
Kata-kata yang beracun
Akan membunuh saudaranya,
sahabatnya,
Beransur-ansur
Dan ketika itu, Hang Tuah akan kehilangan Hang Jebat
Kita kehilangan sahabat. - HARAKAHDAILY, 10/2/2015