Mengapa Tanjung Bin, Jimah East lambat siap?

| .

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan isu mengenai kelewatan dalam menyiapkan pembinaan loji janakuasa Tanjung Bin dan Jimah East beberapa kali. Berdasarkan pemodelan AWER, kelewatan dalam menyiapkan loji janakuasa 1000MW Tanjung Bin akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM 321.97 juta untuk kelewatan selama 6 bulan dan kos tambahan boleh mencecah RM 643.94 juta untuk kelewatan selama setahun. Di samping itu, kelewatan selama 6 bulan bagi loji janakuasa 2000MW Jimah East akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM 643.94 juta jika ditanda aras dengan anggaran kos bahan api tambahan yang disebabkan oleh kelewatan Tanjung Bin. Untuk mengelakkan kos bahan api tambahan disalurkan kepada tarif elektrik, AWER telah mencadangkan kepada Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan Tanjung Bin menanggung semua kos tambahan dan telah memberikan 3 pilihan untuk kelewatan Jimah East. 3 pilihan tersebut adalah seperti berikut:

i. Pilihan 1: Batal penganugerahan loji janakuasa arang batu Jimah East kepada 1MDB dan laksanakan pembidaan kompetitif yang baru untuk pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT);

ii. Pilihan 2: Pastikan 1MDB menanggung semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Jimah East; dan

iii. Pilihan 3: Kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan penyiapan pembinaan loji janakuasa arang batu Jimah East dibayar oleh Kabinet dan pegawai-pegawai kementerian yang membenarkan pelanjutan.

Dalam sejarah, teknik yang penting dalam peperangan untuk mengalahkan musuh adalah teknik menangguh (delay technique). Menangguh perang terbuka dengan musuh yang mempunyai bekalan yang berkurangan akan memberikan kemenangan penuh jika dirancang dengan teliti. Akan tetapi, teknik menangguh yang digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat mahupun negara. Ia hanya akan membantu Tanjung Bin dan Jimah East untuk mendapatkan kelulusan pelanjutan tanpa perlu membayar kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa.

Adakah ini merupakan kali pertama Suruhanjaya Tenaga menggunakan teknik menangguh?

1. KELEWATAN DALAM RUNDINGAN SEMULA PPA GENERASI PERTAMA

Secara umum, pembinaan loji janakuasa yang baru (dan berkecekapan tinggi) mengambil masa di antara 3 hingga 5 tahun. Suruhanjaya Tenaga dan kerajaan sememangnya mempunyai masa yang mencukupi untuk membina loji janakuasa berkecekapan tinggi, tetapi mereka telah melanjutkan beberapa Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Penjana Bebas (IPP) generasi pertama disebabkan 'kesuntukan masa' untuk pembinaan. Alasan 'kesuntukan masa' tidak boleh diterima pakai langsung kerana proses rundingan semula PPA IPP generasi pertama telah dimulakan sejak tahun 2007. Pembinaan loji janakuasa bukan seperti pembinaan taman permainan kanak-kanak di sesebuah komuniti. Ia memerlukan perancangan yang teliti dan keperluan untuk membina loji janakuasa yang baru akan diketahui lebih awal sebelum tempoh masa yang diperlukan untuk melaksanakan pembidaan kompetitif. Alasan sebegini ('kesuntukan masa') telah memandang rendah kewujudan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET). Apakah yang JPPPET lakukan sehingga jawatankuasa ini terlepas pandang keperluan untuk membina loji janakuasa yang baru? Menangguhkan perundingan semula PPA telah menyebabkan kos tambahan bernilai berbilion ringgit disalurkan kepada tarif elektrik akibat daripada caj kapasiti dan kos bahan api dari loji-loji janakuasa yang tidak berkecekapan tinggi.

2. KELEWATAN MALAKOFF DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU TANJUNG BIN 1000 MW

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Tenaga telah melaksanakan pembidaan terhad (restricted bidding) untuk brown field (lokasi yang mempunyai loji janakuasa sedia ada) untuk dua loji janakuasa arang batu 1000 MW (MegaWatt) dan projek kedua loji janakuasa arang batu (1000 MW) dianugerahkan kepada Malakoff tanpa proses pembidaan yang baru. Malakoff kalah dalam proses pembidaan yang pertama kepada TNB Janamanjung.

Kini, mengapakah Suruhanjaya Tenaga masih menangguh dalam membuat keputusan untuk memastikan Tanjung Bin membayar semua kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan dalam menyiapkan pembinaan loji janakuasa? Tambahan pula, adakah kerajaan akan batalkan PPA dan mengambil alih projek loji janakuasa arang batu 1000MW yang lewat jika masalah pembinaan masih tidak dapat diselesaikan? Mengapakah Suruhanjaya Tenaga membisu dalam isu kelewatan ini?

3. KELEWATAN 1MDB DALAM MENYIAPKAN PROJEK LOJI JANAKUASA ARANG BATU JIMAH EAST 2000 MW

Seksyen 4(d)(ii) dan 4(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah memberi mandat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memastikan jaminan bekalan elektrik tidak terjejas manakala Seksyen 4(d)(i) Akta Bekalan Elektrik 1990 telah memberi mandat kepada Suruhanjaya Tenaga untuk melindungi kepentingan pengguna dan tidak menyalurkan apa-apa kos tambahan kepada tarif elektrik dengan sewenang-wenangnya. Berdasarkan peruntukkan ketat dalam undang-undang yang memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga, AWER ingin memberikan penyelesaikan yang ringkas:

(i) Batalkan Jimah East dan Track 4B (CCGT 2000 MW di Melaka)

Berdasarkan laporan media, Jimah East mempunyai masa sehingga pertengahan April untuk memastikan sumber kewangan (financial close) dimuktamadkan. Suruhanjaya Tenaga adalah bertanggungjawab untuk memastikan jaminan bekalan elektrik dan menolak permintaan pelanjutan serta membatalkan penganugerahan Jimah East kepada 1MDB jika Jimah East gagal menepati keperluan untuk memuktamadkan sumber kewangan (financial close) pada pertengahan April seperti yang termaktub dalam Seksyen 4(f) Akta Bekalan Elektrik. Pada masa itu, satu bidaan kompetitif bagi loji janakuasa turbin gas kitar bersepadu (CCGT) mesti dilaksanakan dan Notice to Proceed (NTP) boleh diberikan menjelang April 2016. CCGT mengambil masa di antara 32 hingga 36 bulan untuk disiapkan. Masa tambahan sebanyak 4 bulan menjadikan CCGT pilihan serta merta untuk mengganti loji janakuasa arang batu Jimah East. Ironinya, teknik penangguhan (tangguh untuk membuat keputusan) yang digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga sedang cuba membatalkan penyelesaian ini. Sekali lagi, ini bukanlah kali pertama Suruhanjaya Tenaga menggunakan teknik penangguhan!

Di samping itu, Track 4B (CCGT 2000 MW di Melaka) yang telah dianugerahkan 7 tahun lebih awal daripada tarikh penyiapan secara rundingan terus kepada 1MDB mesti dibatalkan kerana ia telah melanggar kedua-dua Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik. Sebab-sebab yang diberikan untuk menjustifikasi rundingan terus juga tidak selari dengan kedua-dua akta ini. Projek ini mesti dibatalkan dan ditukar kepada bidaan kompetitif 2000MW loji janakuasa arang batu yang boleh diumumkan dalam pertengahan tahun 2015. Melalui kaedah ini, campuran tenaga (energy mix) dapat dikekalkan seperti yang dirancang. Ia juga memberikan peluang kepada Suruhanjaya Tenaga untuk memperbetulkan kesilapan mereka sebelum ini. Suruhanjaya Tenaga mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan bidaan kompetitif bagi Track 4B.

(ii) Penjualan Ekuiti Jimah East - Pemilik Baru Perlu Mambayar Semua Kos Tambahan

Terdapat beberapa laporan media yang menyatakan bahawa Jimah East sedang mempertimbangkan penjualan ekuiti kepada entiti lain untuk mendapatkan sumber kewangan atau keluar terus dari projek loji janakuasa arang batu ini. Apapun cadangan yang dibuat, pemilik baru masih perlu membayar segala kos tambahan jika berlaku kelewatan dalam pembinaan Jimah East. Sekirannya Suruhanjaya Tenaga memberikan pelanjutan tanpa memastikan pemilik projek mambayar segala kos tambahan yang disebabkan oleh kelewatan pembinaan loji janakuasa, siapakah yang cuba dilindungi oleh Suruhanjaya Tenaga? Rakyat atau pemilik projek?

KESIMPULAN

Apa-apa contoh salah (keputusan salah) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga akan memberikan ruang kepada operator-operator loji-loji janakuasa yang baru untuk menggunakan contoh ini bagi menjustifikasikan kelewatan dalam pembinaan loji-loji janakuasa mereka dan menyalurkan kos tambahan ini kepada tarif elektrik. Jika ini berlaku, apa gunanya Suruhanjaya Tenaga wujud? Penyelesaian bagi kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa adalah ringkas. Adakah Suruhanjaya Tenaga yang ditadbir oleh pesuruhjaya-pesuruhjayanya akan mengikut peruntukkan Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik untuk melindungi rakyat, perniagaan dan negara? Pegawai-pegawai Suruhanjaya dibayar untuk melaksanakan tugas-tugas mereka dan BUKANNYA memanaskan kerusi-kerusi mereka! - HARAKAHDAILY 4/3/2015

(Piarapakaran S. ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia)