Freeport: Lubuk emas yang menumbangkan Jokowi?

| .

 

BEBERAPA hari lalu, akhbar di Indonesia memuatkan tajuk utamanya, “Megawati: Mantan Presiden atau Presiden Yang Sebenar”. Tajuk itu memberi gambaran kerajaan baru pimpinan Jokowi sentiasa dipengaruhi dan dikawal Megawati sebagaimana jangkaan pengamat politik ketika diawal pencalonan nama beliau sebagai Presiden. Ia satu kritikan terhadap Megawati yang banyak memberi ‘ceramah’ kepada menteri-menteri kabinet Jokowi berbanding Presiden Jokowi sendiri. Kemudian, keluar di televisyen, kenyataan kesal oleh ‘kumpulan Relawan Rakyat’ yang menjadi pendokong utama Jokowi bukan dikalangan orang parti dalam pilihanraya Presiden yang lalu. Mereka kesalkan beberapa janji Jokowi yang tidak ditunaikan. Oleh itu dikaitkan, Jokowi sukar menunaikan janji kerana berada dalam ‘pemeliharaan’ Megawati. Disiapkan karikatur Megawati menggendong Jokowi seperti seorang ibu menggendong bayinya.

Pokoknya di Indonesia hari ini politiknya bergolak. Jokowi memenangi pilihanraya Presiden dengan undi daripada rakyat bawahan yang sudah lama mengimpikan seorang Presiden dikalangan mereka. Sudah lama jawatan Presiden ini disandang oleh golongan elit, anak bangsawan dan jeneral tentera. Soharto dan Sosilo Bambang Yudiyano merupakan bekas pemimpin tinggi dalam angkatan tentera. Megawati anak kepada bekas Presiden pertama Indonesia iaitu Sukarnoe. Kebetulan lawan Jokowi iaitu Probowo juga pernah menjawat jawatan tinggi dalam angkatan tentera dan pernah bermenantukan Presiden Sohartoe. Oleh itu rakyat yang bosan dengan kemiskinan, pengangguran dan kemelut ekonomi tidak menentu, mula tertarik dengan calon Presiden yang berasal dari kampung, anak kepada tukang kayu dan kerap turun menjenguk rakyat bawahan. Maka Jokowi menang dengan undi rakyat bawahan.

Dalam masa yang sama, pakatan parti yang mendokong Jokowi tidaklah sebesar pakatan parti yang mendokong Probowo. Parti tersebut seperti Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), Nasdem, PKB dan lain-lain. Jumlah kerusi di parlimen dikuasai oleh parti-parti yang mendokong Probowo seperti Gurindra, Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan lain-lain. Masalah berlaku apabila sesuatu tindakan yang memerlukan sokongan dan dokongan parlimen. Maka berlaku pertembungan diantara eksekutif yang diketuai Presiden dengan legaslatif yang dikuasai lawan Jokowi. Maka ia satu masalah kepada Jokowi.

Berbeza di zaman Sosilo, walaupun berdepan tentangan ketika pilihanraya Presiden. Apabila menang, beliau menjemput hampir kesemua parti untuk menyertai kabinet beliau. Maka musuh beliau semakin mengecil. Namun Jokowi hanya menjemput beberapa parti sahaja khususnya yang menyertai pakatan dengan beliau ketika pilahanraya Presiden. Maka permusuhan berterusan dan berkemungkinan mewujudkan polarisasi politik di Indonesia. Tindakan tidak membentuk kabinet perpaduan atau campuran ini dikaitkan dengan kehendak Megawati atau partinya PDI-P. Maka di sinilah kelompok non partisan yang mendokong Jokowi kecewa dan ia memberi impak negatif kepada kestabilan pemerintahnnya.

Kemelut ini membawa kepada isu-isu berikutnya. Sehingga pengamat politik sebahagiannya merasakan Jokowi akan tumbang sebelum tamat penggalnya 2019. Namun ramai juga yang mengatakan Jokowi akan kekal selama dua penggal. Kelompok yang meletakkan Jokowi akan tumbang ini menggariskan beberapa sebab utama. Diantaranya kenaikkan harga petrol dan gas seawal beliau menjadi Presiden. Kenaikan ini menimbulkan kemarahan tetapi tidak lama kerana keesokan harinya media menyiarkan Jokowi ke majlis graduasi anaknya di Singapura dengan hanya menaiki pesawat tambang murah dan duduk di kerusi kelas ekonomi dan tidak di bisnes kelas sebagaimana kebiasaan orang-orang besar. Namun kesan berantainya tetap dirasakan. Jika di Malaysia dikejutkan dengan isu 1MDB yang rugi senbanyak RM40 bilion dan dilihat penyelewengan terbesar negara, di Indonesia kes Freeport lebih hangat daripada 1MDB. Freeport sebuah syarikat carigali emas milik Amerika Syarikat telah mendapat projek carigali emas sejak 30 tahun yang lalu di wilayah Papua.

Papua dikatakan lubuk emas antara yang terbesar di dunia. Isunya, sumber emas yang dicarigali tersebut tidak memberi sumbangan kepada negara dalam sekala yang besar. Sebagaimana kebiasaan pelaburan melibatkan khazanah negara, hasilnya secara majoriti mesti diberikan kepada negara setidaknya 51 peratus. Namun dalam kes Freeport ini, hasilnya secara majoriti diambil oleh syarikat Amerika tersebut dan kerajaan Indonesia hanya menerima hasil dalam jumlah yang terlalu kecil dibawah paras 10 peratus. Inilah yang mendatangkan kemarahan kepada rakyat Indonesia semenjak mereka mengetahui hakikat tersebut sejak 10 tahun yang lalu. Sudah lama rakyat di Papua dan seluruh wilayah Indonesia mengadakan penentangan terhadap carigali tersebut. Negara asing kaya raya dengan hasil bumi kita dan kita dengan rela menyerahkan kekayaan tersebut tanpa mendapat bahagian yang sepatutnya.

Namun perjuangan rakyat tersebut tidak mendapat apa-apa respon daripada pemerintah kerana mereka terikat dengan perjanjian berat sebelah tersebut selama 30 tahun. 2015 dianggap tahun cerah bagi rakyat Indonesia kerana tempoh 30 tahun itu sudahpun tamat. Walaupun 30 tahun rugi, namun sumber emas masih banyak di Papua dan harapan sumber kewangan negara akan meningkat apabila diusahakan sendiri oleh kerajaan. Namun mengejutkan apabila dalam diam-diam Jokowi telah menandatangani penyambungan kontrak kepada Freeport selama 25 tahun lagi. Perkara ini bertentangan dengan hasrat rakyat dan juga undang-undang Indonesia. Adakah beliau tidak tahu hal tersebut. Jawabnya pasti beliau tahu. Tetapi kenapa dengan sengaja membangkitkan kemarahan rakyat khususnya Papua yang menjadi penyokong besar Jokowi dalam pilihanraya Presiden yang lepas. Lalu, ada yang mula mengesyaki, ‘boleh jadi’ beliau dibiayai oleh syarikat Freeport ini ketika pilihanraya Presiden menyebabkan dia terikat. Walaubagaimanapun ianya masih bersifat spekulasi. Tetapi kes Freeport ini dilihat sebagai mother of the issues di Indonesia ketika ini.

Ketiganya isu pengedar dadah warga Australia yang dijatuhkan hukuman mati. Australia menentang habis-habisan hukuman tersebut dan konsisten mendesak Indonesia membatalkan hukuman mati. Hukuman ini hanya boleh dibatalkan dengan pengampunan oleh Presiden. Namun Jokowi bertegas tidak akan membatalkan. Ini sikap yang baik dan disokong oleh rakyat. Namun Australia terus menekan dengan mengugut untuk mendedahkan rakaman perbualan Jokowi dengan beberapa orang berkepentingan sepanjang kempen pilihanraya Presiden. Hal ini menimbulkan kesulitan. Walaupun hukuman masih dikekalkan, namun berlaku kelewatan melaksanakan hukuman sehingga ke hari ini. Kita tidak tahu apa yang akan didedahkan. Namun jika sesuatu yang positif, maka tidak perlu diugut begitu. Maka tanggapan mudahnya ada sudut negatif yang akan didedahkan. Namun rakyat masih menanti samada Jokowi tunduk atau tidak kepada desakan tersebut. Jika beliau tidak tunduk, maka ia suatu kegembiraan buat rakyat, namun bimbang-bimbang bersifat sementara kerana Australia akan mendedakan sesuatu yang tidak dipastikan apakah isinya. Maka tersepit Jokowi.

Keempat. Isu pertembungan diantara pasukan polis dengan pihak pencegah rasuah atau disebut KPK. Jokowi hendak melantik Budi Gunawan sebagai Ketua Polis Indonesia. Ia menimbulkan kontroversi kerana Budi Gunawan mempunyai imej buruk dimata penjawat awam dan juga rakyat diatas beberapa kes yang melibatkan beliau sebelum ini. Tindakan menamakan Budi Gunawan mendatangkan protes. KPK sebagai badan pencegah rasuah telah melakukan beberapa tangkapan terhadap pegawai kanan polis dengan tuduhan rasuah. Pihak polis pula membalas tangkapan anggota KPK dengan pelbagai tuduhan jenayah termasuk pengakuan beberapa orang perempuan yang pernah mengadakan hubungan seks dengan pegawai kanan KPK. Maka berbalas-balas tindakan kedua badan ini disaksikan oleh masyarakat umum dan menimbulkan persepsi buruk kepada kedua badan. Jokowi pula tidak dilihat menyelesaikan konflik kedua pihak dan rata-rata menyalahkan beliau sebagai puncanya kerana menamakan Budi Gunawan sebagai Ketua Polis.

Faktor kelima dan dianggap antara terpenting ialah kejatuhan nilai rupiah ke paras paling buruk. Ia hampir menyamai nilai rupiah dihari-hari akhir pemerintahan Sohartoe ditengah kebangkitan rakyat menumbangkan beliau pada tahun 1998. Maka lima faktor besar di atas dilihat sebagai asbab kejatuhan Jokowi akan berlaku sebelum tamat penggal beliau sebagai Presiden yang sepatutnya lima tahun. Bagaimana bentuk kejatuhan tidak dapat digambarkan samada melalui kebangkitan rakyat atau lain-lain cara.

Namun ramai juga pihak optimis Jokowi akan kekal sehingga tamat penggal dan akan menang lagi dipenggal kedua. Kenapa hal ini berlaku? Pertamanya Jokowi dilihat Presiden yang bekerja keras. Beliau tidak hanya dilihat di Jakarta sebagaimana sepatutnya dan kebiasaanya bagi seorang ketua negara, tetapi wajah beliau sentiasa dilihat di seluruh wilayah di Indonesia. Sebagaimana beliau turun padang ke sawah, ke desa ketika kempen pilihanraya, begitulah aktiviti beliau setelah menjadi Presiden. Rakyat akan keluar berbondong-bondong untuk menonton ketua negara mereka yang turun ke sawah berselut dengan penduduk menabur benih padi. Begitu juga dilokasi lain.

Media menyiarkan gambar Presiden yang sentiasa turun padang dan sinsing lengan. Jika sebahagian ahli politik turun ke desa mengenakan sarung tangan, kasut panjang, kemudian melakukan aksi menabur benih padi atau meletakkan seketul batu-bata menjadi tanda pemimpin itu sedia turun padang, Jokowi turun tanpa mengenakan sarung tangan, berkaki ayam, terus berselut dan menabur benih padi dalam skala yang besar. Ia tidak dilihat dibuat-buat, tetapi Nampak bersahaja dan sudah menjadi kebiasaannya. Walaupun tidak banyak membantu, tetapi persepsi umum cukup baik kerana rakyat bawahan hanya mahu tahu pemimpin sedia bersusah senang dengan mereka.

Keduanya tindakan kerajaan memberi kad Indonesia sihat, kad pintar dan kad sejahtera untuk rakyat. Ia lebih kepada kebajikan, pendidikan dan khidmat kesihatan percuma. Hakikatnya kad kesihatan yang diberikan itu tidak merubah apa-apa. Khidmat kesihatan ditahap lama. Kadang-kala ubat-ubatannya juga tidak diberikan. Namun ia cukup menggembirakan rakyat. Sebahagian besar mereka tidak pernah ke klinik pun. Namun dengan zahirnya kad-kad percuma yang ada pada mereka itu, cukup menyeronokkan menggambarkan perubahan drastik layanan pemerintah kepada rakyat.

Ketiga berkait dengan perikanan. Indonesia merupakan negara yang dibentuk oleh ribuan pulau-pulau dan perikanan merupakan salah satu industri terbesar Indonesia yang melibatkan sejumlah besar rakyat. Namun perikanan tidak memberikan hasil yang besar kepada negara. Kebanyakan nelayan berada diparas kemiskinan. Jokowi melantik Ibu Susi menjadi menteri perikanan dan diantara tindakan awal beliau ialah meletupkan kapal-kapal asing yang memasuki perairan Indonesia. Kapal-kapal yang berdaftar di Thailand, Myanmar dan Malaysia diantara yang telah diletupkan. Hal ini menimbulkan kegembiraan kepada nelayan-nelayan yang menjadi antara kumpulan besar pengundi. Samada berjaya atau tidak tindakan tersebut, ia sudah memberi gambaran positif kepada pemerintahan beliau disebabkan keazaman tersebut.

Keempat. Penumpuan kepada pembangunan Infrastruktur luar bandar yang ditekankan. Pembinaan lebuhraya di wilayah-wilayah luar Jakarta menjadi fokus. Diantara yang popular, projek lebuhraya merentasi sumatera diantara Acheh ke Lampung. Ia menjadi lebuhraya terpanjang dan menghubungkan banyak bandar utama seperti Aceh, Medan, Palembang dan lain-lain. Siap lebuhraya ini akan memberi impak ekonomi setempat di Sumatera yang menjadi wilayah terbesar di Indonesia. Menariknya lebuhraya ini dibina di pesisir pantai yang menyebabkan kosnya menjadi rendah disebabkan tidak perlu mengambil tanah rakyat. Kemudian kawasan pesisir di Indonesia dikenali sebagai kawasan rakyat miskin diantara yang paling teruk. Sudah tentulah ia berita gembira kepada penduduk tersebut. Maka keempat perkara tersebut dikira sebagai asbab kelompok yang optimis melihat Jokowi akan kekal memerintah sehingga penggal kedua.

Namun adakah sekadar dua situasi ini sahaja yang akan berlaku iaitu jatuh sebelum tamat penggal pertama atau kekal sehingga penggal kedua. Jawapannya tidak. Ini kerana ada kelompok ketiga yang mempunyai pandangan berbeza. Diantaranya Dr Mardani Ali seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Beliau mengatakan Jokowi tidak akan tumbang dan akan kekal sehingga habis penggal. Namun Jokowi akan tewas dalam pilihanraya Presiden untuk penggal kedua. Maka Indonesia mesti mempersiapkan bakal Presiden seterusnya empat tahun daripada sekarang. Situasai mana yang akan berlaku tidak dapat dipastikan sehinggalah ianya berlaku. Walaubagaimanapun, banyak pengajaran yang boleh diperolehi oleh kita di Malaysia.

Sebagai individu atau parti yang bersedia untuk menjadi pemerintah, kedua aspek yang lebih dan kurang pada Jokowi mesti dimiliki. Keupayaan untuk mentadbir negara dan juga kesediaan untuk turun padang seikhlasnya harus berjalan serentak. Bijak mentadbir sahaja tetapi sukar dengan rakyat menyebabkan kita kehilangan undi kelompok besar ini. Malah upaya kita untuk memahami hasrat dan masalah sebenar rakyat juga terbatas dengan hanya melihat dari jauh. Begitu juga hebat turun padang mendengar permasalahan rakyat, tetapi lemah mentadbir dan tidak mampu menyelesaikan permasalah secara tuntas juga akan merosakkan negara untuk jangka masa pendek dan panjang. Maka keduanya harus disekalikan jika benar-benar hendak menjadi kerajaan. - HARAKAHDAILY 12/3/2015

(Mohd Nasaie Ismail ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia)