Siapa rakyat di sisi Najib?

| .

LUMRAH sebagai rakyat pasti akan tertanya-tanya tentang suatu pelaksanaan sama ada baik atau buruk kesannya. Rakyat juga berhak untuk memberi cadangan tentang sesuatu perkara terhadap kepimpinan. Hidup di negara yang mengamalkan sistem demokrasi seadilnya, suara rakyat adalah suara yang paling utama kerana jawatan kepimpinan adalah lantikan dari rakyat.

Sudah lebih sepuluh hari, apa yang terjadi di Malaysia ini cukup membimbangkan. Gaya atau resmi pemerintahan kuku besi seperti jelas diamalkan. Kepimpinan di bawah pemerintahan Najib Razak dilihat semakin pincang dengan siri penangkapan secara besar-besaran dilakukan setiap hari baik pemimpin lawannya mahupun rakyat biasa.

Apakah ini jawapan dari keresahan rakyat yang selama ini memikirkan sebuah kehidupan yang baik di Malaysia terlaksana? Begitu sekalikah layanan terhadap rakyat yang cuba memberi soalan tentang perlaksanaan sistem baru cukai GST (Goods and Services Tax)? Atau seumpama itukah layanan terhadap rakyat Malaysia yang memberi cadangan dari segi desakan untuk menukar Ketua Polis Negara?

Soalan perlulah dijawab, bukan dikenakan hukuman pada penyoal. Jika GST tidak mendatangkan faedah yang baik, jawablah secara berhemah bukan dengan cara mengadakan siri tangkapan sebegitu zalim. Rakyat sudah semestinya khuatir dan sangsi apabila barang keperluan harian yang selama ini tidak dikenakan cukai kelak akan dikenakan pula cukai dengan terlaksananya GST.

Kepimpinan Najib dilihat seperti sudah menunjukkan belang sebenarnya. Jika dilihat perhimpunan rakyat atau demonstrasi jalanan yang berlaku hampir-hampir dengan PRU13 tidak diambil tindakan yang terjadi seperti hari ini. Himpunan-himpunan tersebut seolah-olah berlaku tanpa ada yang bersalah berbanding himpunan-himpunan yang berlaku kebelakangan ini.

Dapat diterka, Najib mengambil langkah selamat untuk memenangi hati pengundi (sebelum PRU13) supaya sokongan terhadapnya tidak berganjak malah mungkin akan bertambah. Tindakan Najib itu berkesan sehingga kerajaan pimpinannya berjaya sekali lagi menerajui Malaysia. Tetapi selepas kuasa diberi perkara yang sebaliknya berlaku.

Boleh dikatakan rakyat terhukum dan tertipu dengan muslihat yang berjaya dipamerkan Najib. Hari ini mimpi ngeri rakyat menjadi realiti. Rakyat sedang menanggung sengsara berbapakan seorang pemimpin yang jelas kejam terhadap suara rakyat. Kesombongan terhadap suatu kepimpinan adalah perkara yang paling dibenci oleh rakyat.

Slogan ‘rakyat didahulukan' sudah pasti terkubur dalam kamus kehidupan seorang pemimpin kuku besi seperti yang Najib amalkan sekarang. Jika pemimpin paling tertinggi mempunyai sifat sombong begitu pastinya orang bawahan pun mengekor. Perkara ini juga berlaku terhadap Ketua Polis Negara.

Selaku pengamal undang-undang seperti pihak berkuasa polis, mereka tidak sepatutnya menyalah gunakan kuasa dengan menyalahkan rakyat yang mempersoalkan intergriti badan tersebut. Sepatutnya pihak polis harus bertindak lebih adil bagi menjaga kemakmuran negara bukan kemakmuran politik pihak tertentu.

Mengapa kecekapan pihak polis tidak mahu bersungguh-sungguh menyiasat tentang kehilangan duit negara yang disalurkan ke program 1MDB? Rakyat melihat dan bila rakyat bersuara, bukanlah hukumannya penjara, pukul dan kezaliman yang lain. Jelaskan kekeliruan rakyat bukan menghukum.

Saya selaku seorang dari jutaan rakyat Malaysia menentang keras tindakan yang dilakukan pihak berkuasa polis terhadap rakyat dan pimpinan rakyat. Saya juga secara terang menjelaskan bahawa pimpinan Najib sudah sampai ke tahap melampau.

Saya ingin bertanya pada Najib, siapa rakyat di sisi anda? Adakah di bawah telapak kaki? Jawab! - HARAKAHDAILY 1/4/2015

 

(Syafiq Aziz ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Pulai)