Bantah GST: Terkenang himpunan mansuh PPSMI 2009

| .

 

TERKENANG (GMP)Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) beberapa tahun lalu yang dipimpin oleh Dato Dr Hasan Ahmad, Hasni Abas, Prof Emeritus Abdullah Hasan, Suhaizan Kaiat dan ikon mereka Sasterawan Negara A.Samad Said. Isu PPSMI berjaya memecah tembok politik kepartian. Walaupun parti pembangkang sudah lama menolak PPSMI, tetapi isu ini kembali hangat apabila satu program akedemik diadakan di Pusat Peradaban Melayu, Fakulti Sastera Universiti Malaya.

Sesi yang dipengerusikan oleh tokoh budaya dan bahasa Prof Dato Dr Latif Bakar itu menjadi panas apabila dibangkitkan isu PPSMI. Seorang ahli pensyarah matematik UKM Prof Shahrin Mat Zin mencabar ahli akedemik bangkit melawan PPSMI. Dan beliau mengistiharkan sedia memecah tempok penjara jika benar benar ahli akedemik hendak tentang PPSMI (maksudnya begitu, istilahnya mungkin berbeza). Beberapa ahli akedemik dalam majlis tersebut menyambut cabaran Prof Shahrin walaupun pengerusi mengambil sikap 'diam tersenyum'. Saya tahu sebab apa Prof Latif diam, sebab 3 tahun saya menjadi pelajar beliau dalam bidang komunikasi dan bahasa di Jabatan Pengajian Media.

Bermula daripada saat itulah beberapa pertemuan diadakan. Hasni Abas seorang kakitangan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Suhaizan Kaiat menjadi kordinator. Hasni menjadi SU dan Suhaizan sebagai PSU. Mereka melamar almarhum Datuk Dr Hasan Ahmad bekas pengarah DBP untuk pengerusikan Gerakan Mansuhkan PPSMI. Gerakan ini memulakan roadshow mereka ke seluruh negara dan semakin ramai mendapat sambutan kalangan ahli akedemik, budayawan, sasterawan. Tidak lupa ahli politik, akrivis masyarakat yang sememangnya bersama sejak awal menentang PPSMI.

Kemuncaknya 7 Mac 2009 diadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur. Perarakan dari beberapa tempat termasuk Masjid Negara ke Istana Negara. Sebelum sampai ke persimpangan Istana Negara, pihak polis menembak gas pemedih mata dan menggempur peserta. A.Samad Said yang menjadi ikon ketika itu turut terkena gas pemedih mata dan terpaksa dipapah oleh beberapa petugas. Pemimpin politik seperti Presiden PAS (TGHH), pimpinan PKR dan DAP yang berada di barisan hadapan turut berpecah selepas gas yang kuat ditembak tepat ke perkumpulan pimpinan.

Di hadapan Masjid Negara beberapa kumpulan pelajar sekolah menengah yang datang dari Johor dan Terengganu dipimpin almarhum Ustaz Abu Bakar Cik turut menyertai himpunan. Mahasiswa juga tidak kurang mengusung keranda mengingatkan kematian bahasa. Berakhir dengan kerajaan mengumumkan PPSMI dibatalkan. Apa yang hendak disampaikan di sini adalah bukanlah jumlah kehadiran pada hari bantahan tersebut. Biasa sahaja pakatan parti pembangkang boleh menghimpun ratus ribu ke jalan raya sebagaimana himpunan BERSIH. Tetapi kehadiran golongan luar kebiasaan ke himpunan ini.

Ketika solat zohor di Masjid Negara, saya terpandang kelibat Prof Emeritus Dato Dr Abu Bakar Hamid. Seorang tokoh akedemik yang tidak dilihat dalam perkumpulan GMP sejak awal tetapi hadir pada hari bantahan. Usinya sudah 70-an ketika itu. Teringat dalam kelas, ketika sesi pembelajaran, Prof Bakar dihubungi Naib Censelor UM ketika itu (Prof Hashim Yaakub) untuk bertemu beliau. Isunya keluar di muka hadapan akhbar Harakah satu berita berjudul 'NC Ketua SB'. Jika tidak silap berita itu memetik kenyataan Prof Bakar yang mengatakan Naib Canselor sekarang sudah seperti SB. Kritikan mereka terhadap PPSMI dan lain lain hal di ruang Kafe Fakulti pun sampai ke pengetahuan Naib Cancelor. Lalu beliau mohon ditamatkan kelas sebab NC mahu mengadap beliau, bukan beliau mahu mengadap NC. Begitulah layaknya Prof Bakar melayan NC yang kuat politik. Saya dimaklumkan juga Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim (pakar bahasa) turut serta dalam bantahan ini. Bahkan Dato' Hasan Ahmad itu sendiri adalah ahli Umno. Agak janggal pada awalnya dia bekerjasama dengan orang PAS dan Pakatan Rakyat.

Tetapi dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Prof Emeritus Abdullah Hasan dan isterinya Ainon Mohd serta Prof Shaharin Mat Zin, mereka bersemangat menggiatkan kempen tersebut. Sasterawan Negara A. Samad Said juga agak janggal pada awalnya. Namun selepas isu PPSMI, beliau turun padang bersama rakyat sehingga sedia ditarik balik gelaran Sasterawan Negara. Isu ini luar biasa kerana bantahannya melampaui kepartian. Walaupun tidak dinafikan parti politik antara terkuat menggerakkan kempen ini.

Hari ini kita berdepan isu GST. Dalam tempoh sehari ini, rakyat mula bersuara. Hilang imej kepartian. Rakan rakan daripada UMNO dan BN turut mengeluh. Penjawat awam termasuk pegawai kastam dan polis pun mengeluh. Dua hari dalam tahanan, kami mendalami anggota polis yang menerangkan buruknya GST ini dengan kefahaman yang tinggi. Bukan dibuat-buat melainkan mereka turut membaca dan mengkaji. Hari ini pakat-pakat mula rasai kesannya.

Tidak timbul isu ini percukaian terbaik. Asas utama ia membebankan rakyat. Negara dan rakyat belum bersedia. Gaji tidak setimpal. Khidmat kerajaan kepada rakyat di tahap tidak memberangsangkan berbanding cukai dibayar. Perdana Menteri, ahli keluarga dan pembesar-pembesar negara hidup terlajak mewah. Projek-projek kerajaan banyak gagal, tiris, membazir mengakibatkan kerugian wang rakyat berpuluh-puluh bilion. Hutang negara ditahap kritikal. Akhirnya penyelesaian rakyat perlu berkorban atas kegagalan mereka.

Isu ini sudah melangkaui parti. Saya menolak kutukan sinis kita kepada rakan-rakan daripada parti sebelah yang mengeluh. Kita menyeru mereka turut bersama. Seorang pegawai kanan KASTAM memaklumkan kepada kami pagi tadi, polis hadir ramai di KASTAM walaupun diketahui kehadiran kami hanya 10 orang disebabkan mereka bimbang rakyat yang tidak dijemput turut hadir. Mereka mengatakan perkumpulan rakyat yang berkumpul di Giant, Tesco, Econsave dan lain lain kedai malam semalam untuk membeli stok barangan cukup membimbangkan. Jika mereka itu turun serta ia mencemaskan. Kami katakan benar. Tetapi bukan hari ini. Tetapi nantikan bantahan besar besaran daripada rakyat, semua akan dan mesti turun. Ketika itu pegawai kerajaan, ahli akademik, pelajar sekolah, pegawai kastam, anggota polis, ahli Umno mesti turun bersama penentang setia daripada parti pembangkang, NGO-NGO dan aktivis masyarakat.

Kalau ahli Umno tegar seperti almarhum Datuk Dr Hasan Ahmad berani turun dalam bantahan PPSMI, apalah sangat dengan yang berjawatan kecil. Ayuh kita gerakkan bersama. Bukan untuk sesiapa tetapi untuk rakyat seluruhnya dan generasi akan datang. - HARAKAHDAILY 1/4/2015

(Mohd Nasaie Ismail ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia)