GST: 'Guane' setakat 7 hari dilaksanakan?

| .

 

SEMALAM 8 April 2015, genap seminggu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan di Malaysia. Apa khabar agaknya keadaan rakyat Malaysia, cukup makankah, cukup pakaikah?

Saya yakin sudah tentu kaum wanita paling merasai beban kenaikan harga barang secara tidak langsung kesan daripada pelaksanaan GST ini kerana golongan wanita merupakan 63% pembuat keputusan utama dalam perbelanjaan keperluan rumah sekaligus mendominasi kuasa beli pengguna.

Pemerhatian saya sepanjang seminggu GST ini dilaksanakan, ada harga barang dikenakan bayaran tambahan sebanyak enam peratus (6%) bagi setiap barang dan ada juga barang dikenakan caj tambahan pada jumlah akhir semua belian barang.

Ironinya, kerajaan masih lagi tertumpu kepada memberi kefahaman rakyat berkaitan GST ini walaupun persediaan ke arahnya telah berlaku 17 bulan lebih awal sebelum ini, termasuk sesi dialog soal jawab di kaca televisyen TV3 lewat malam tadi.

Tindakan kerajaan ketika ini dilihat tidak sensitif kepada ķeterpaksaan rakyat menerima pelaksanaan GST kerana mood rakyat Malaysia sekarang tertumpu kepada soal pengiraan kenaikan harga belian.

Selain itu, rakyat juga perlu juga menghadapi situasi masih banyak syarikat dan peniaga tidak memahami kaedah pengiraan GST ini.

Ya, saya memahami kita masih baru dengan kaedah pengiraan GST ini. Cuma, keadaan ini telah menyulitkan kaum wanita khususnya bagi merancang dan menyediakan perbelanjaan keperluan rumah tambahan pula terdapat segelintir syarikat dan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dalam keadaan kerajaan hilang kawalan terhadap kes-kes seperti ini.

Bagi memudahkan golongan wanita terutamanya kaum ibu mengira kenaikan kos belian barangan GST, saya menyarankan untuk menggunakan aplikasi kalkulator GST di atas talian laman sesawang gst.astroawani.com.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan kepada diri saya sendiri serta pihak kerajaan khususnya agar bersama-sama berwaspada dengan ancaman Allah SWT di dalam surah Asy-Syura, ayat 30 :

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

" Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu (kesusahan atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan dalam pada itu Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu "

Adakah belum cukup peringatan Allah SWT melalui musibah dan tragedi sedih melanda negara kita untuk kita semua kembali kepada urus tadbir cara hidup Islam yang turut memberi kesejahteraan kepada masyarakat bukan Muslim di negara kita ini?

Justeru, saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia yang turut sama merasai keperitan pelaksanaan GST ini khususnya, untuk hadir berhimpun bersama-sama di dalam Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) pada hari Sabtu ini, 11 April 2015 jam 04.00 petang di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Maka benarlah dari BR1M ia datang, kepada GST ia dikembalikan. - HARAKAHDAILY 9/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.